Monday, 13 March 2017

Putus kaki ditetak ibu

Beijing: Seorang kanak-kanak putus kaki kanannya selepas ditetak dengan parang oleh ibunya ketika wanita itu bergaduh dengan nenek kanak-kanak berkenaan.
Budak berusia dua tahun itu berada di rumah bersama ibu dan neneknya ketika kedua-dua wanita berkenaan bergaduh di kediaman mereka di Bandar Guyuan, di wilayah autonomi Ningxia Hui, barat laut China, menurut laporan media tempatan.
Wanita berusia 30 tahun itu dikatakan mencapai parang yang digunakan untuk memotong daging dan melepaskan kemarahannya pada anaknya dengan menetak kaki mangsa.
Polis yang menerima aduan daripada jiran terpaksa memecahkan tingkap untuk masuk memandangkan semua pintu dikunci dari dalam.
Mereka menahan wanita itu sebelum menghantar kanak-kanak berkenaan yang tidak sedarkan diri itu ke hospital.
Seorang anggota polis juga dilihat berlari dari tempat kejadian sambil membawa beg plastik, dipercayai mengandungi kaki kanak-kanak itu.
Sementara itu, doktor berjaya menyambung semula kaki mangsa tetapi kesan jangka panjang kecederaan yang dialami kanak-kanak itu sukar diramalkan kerana kakinya yang putus mengalami ‘kematian otot’ akibat kehilangan terlalu banyak darah.
Beberapa saksi memberitahu wartawan, wanita terbabit mempunyai masalah mental.

-Metro

Friday, 10 March 2017

Penggal, berjalan bawa kepala ibu



Raleigh, Amerika Syarikat: Anggota polis yang bertindak terhadap panggilan kecemasan melalui talian 911 daripada seorang seorang lelaki memberitahu dia membunuh ibunya, terkejut apabila sampai ke lokasi kejadian mendapati remaja 18 tahun berjalan mundar-mandir di jalan raya sambil menjinjing kepala manakala satu lagi tangan memegang pisau berlumuran darah.
Dalam kejadian di Daerah Franklin, Carolina Utafra, Isnin lalu, Oliver Mauricio Funes Machada yang berada di jalan raya depan rumah keluarganya, terus menyerah diri kepada polis yang tiba.
Polis kemudian menemui mayat ibunya, Yesenia Funez Beatriz Machada, 35, terbaring dalam rumah dipenuhi kesan tikaman.
Dua adik perempuan Machada turut ditemui dalam rumah berkenaan namun mereka tidak cedera.
Jurucakap polis, Kent Winstead berkata, pegawai penyiasat sedang mencari punca Machada membunuh dan memenggal kepala ibunya.
“Keadaan sungguh mengerikan dan ia memberi kesan kepada keluarga mangsa serta jiran,” katanya.
Jabatan Penguatkuasa Imigresen dan Kastam menyatakan remaja itu berasal dari Honduras dan memasuki Amerika secara haram.
Dia yang menghadapi dakwaan membunuh, dihadapkan ke mahkamah hari ini dan tidak dibenarkan ikat jamin.
Peguam awam yang mewakilinya, C Boyd Sturges III, berkata remaja itu menghadapi masalah mental.

-Metro

Monday, 6 March 2017

'Manusia' gergasi di langit Zambia



Kitwe: Satu bentuk menyerupai manusia yang muncul di langit di Zambia menyebabkan sebahagian penduduk yang melihatnya bertempiaran lari kerana ketakutan.
Bentuk itu yang dikatakan menyerupai Dementor dalam filem Harry Potter dilihat di ruang angkasa Mukuba Mall di Kitwe.
Gambar yang dimuat naik di media sosial menunjukkan bentuk berkenaan lengkap dengan kepala, seperti manusia, terapung di langit dan dipercayai berukuran lebih 100 meter panjang.
Bentuk hitam itu juga kelihatan seperti ia terbentuk hasil cantuman beberapa bahan di udara.
Ia terawang-awang diudara lebih setengah jam. Sebahagian penduduk yang menyaksikannya yakin ia peringatan daripada tuhan.
Seorang saksi berkata: “Kami terkejut melihat imej itu yang kelihatan seperti manusia terapung di udara. Ada yang mula berdoa tetapi ramai yang melarikan diri. Ia sungguh pelik.”

-Metro

Thursday, 23 February 2017

Bertafakur dalam kubur


Chongqing: Ramai wanita yang bercerai dengan pasangan mereka berdepan masalah tekanan emosi dan ada yang gagal mengawal diri sehingga sanggup membunuh diri.
Menyedari masalah itu, seorang wanita di bandar ini menawarkan kelas bertafakur di dalam kubur kepada wanita yang baru bercerai.
Liu Taijie, 30, berkata, kelas bertafakur di dalam kubur itu membantu wanita untuk mengatasi tekanan akibat perceraian mereka.
“Apabila seseorang itu berada dalam keadaan tertekan dan terlalu sedih, mereka biasanya merasakan kehidupan sudah sampai ke penghujungnya.
“Keadaan itu menyebabkan mereka memilih untuk membunuh diri,” katanya.

-Metro

Tuesday, 21 February 2017

Nenek pun neneklah... dah jodoh



Sulawesi Utara, Indonesia: Seorang pemuda berusia 28 tahun di Minahasa Selatan di sini, menarik perhatian apabila berkahwin dengan wanita berusia 82 tahun, Sabtu lalu, selepas setahun saling kenal mengenali.
Kisah pemuda itu kini heboh di media sosial Indonesia selepas selepas gambarnya berkahwin Martha Potu tersebar di Internet.
Sofian yang bekerja di sebuah bengkel berkata, dia berkenalan dengan Martha kira-kira setahun lalu selepas wanita itu tersilap mendail nombor telefonnya.
Menurut Kompas ketika ditemui semalam, Sofian berkata: “Setahun lalu saya menerima panggilan telefon daripada pemanggil tidak dikenali, saya menjawab dan kami berkenalan. Sejak hari itu kami sering berhubung tanpa mengetahui umurnya.
“Saya belum pernah bercinta sebelum ini, dan saya berasa jatuh cinta," kata Sofian.
Tidak tahan dengan perasaan cintanya, Sofian nekad mengunjungi Martha di Lelama, yang jaraknya amat jauh. Saat bersua muka kali pertama dengan Martha, Sofian terkejut.
"Saya tidak sangka Martha sudah setua ini. Namun, kami berasa benar-benar jatuh cinta, dan sepakat melanjutkan hubungan ini," kata Sofian.
Selepas beberapa bulan, mereka bercadang berkahwin yang menerima bantahan banyak pihak, terutama keluarga Martha, namun mereka bertekad untuk berkahwin.
Sofian memberitahu ibu bapanya di Pulau Mantahage serta mengajak mereka menemui Martha dan melamarnya tanpa memberitahu usia calon bakal isterinya itu.
“Kami tidak tahu calon isterinya seorang nenek. Kami sangat terkejut namun apa lagi mahu dikata.
“Kami lihat mereka saling menyayangi, lalu bersetuju dengan pilihannya. Jodoh itu urusan Tuhan," kata ibunya, Magdalena, 60.
Suami Martha meninggal dunia 10 tahun lalu dan tinggal seorang diri manakala dua anaknya anaknya berada di Jerman dan Arab Saudi.
"Saya berdoa kepada Tuhan jika masih diizinkan dan diberi kesempatan, saya meminta ada suami yang boleh mengurus saya pada usia tua ini.
“Tak sangka Tuhan mengutus Sofian," kata Martha.

- Metro

Monday, 20 February 2017

Silap minyak tanah disangka air




Benin (Nigeria): Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun enam bulan maut selepas ibunya tersilap memberi mangsa minum minyak tanah yang disangkanya air.
Dalam kejadian pada minggu lalu itu, Isreal Buhari meninggal dunia tidak lama selepas meminum minyak tanah yang diberi ibunya.
Menurut laporan media tempatan, Buhari pada mulanya mengadu haus kepada ibunya yang bekerja sebagai penjual minyak tanah.
Wanita itu kemudian mengambil satu tin minuman dan terus diberikan kepada anaknya tanpa menyedari bekas itu sebenarnya mengandungi minyak tanah.
Kanak-kanak itu meneguk cecair di dalam tin minuman berkenaan dan terus muntah.
Selang beberapa saat, badan kanak-kanak itu mula kejang dan dia menjerit-jerit kesakitan.
Apabila menyedari anaknya meminum minyak tanah, wanita itu segera meminta bantuan jirannya yang kemudian memberi kanak-kanak itu minum minyak kelapa sawit sebelum dibawa ke hospital.
Bagaimanapun, kanak-kanak itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.
Ibu mangsa memberitahu polis dia terlupa tin minuman berkenaan yang diberi kepada anaknya sebenarnya mengandungi minyak tanah.
Bapa mangsa juga merayu kepada pihak berkuasa supaya tidak mengambil tindakan terhadap isterinya kerana keluarga mereka miskin.

-Metro

Friday, 17 February 2017

Nasib baik tidak mati



Phnom Penh: Gambar pisau terpacak di belakang leher pemandu teksi motosikal antara gambar kejadian negeri yang dikumpul pakar bedah saraf, Profesor Sam Nang, sejak Jun tahun lalu, yang ditunjukkannya semalam.
Dalam kejadian itu, seorang penumpang mahu merompak pemandu teksi pada satu malam di Phnom Penh dan apabila mangsa enggan menyerahkan wangnya, penumpang terbabit menikam belakang leher lelaki itu menggunakan pisau dapur sepanjang lima inci.
Gambar X-ray menunjukkan pisau menembusi seluruh leher mangsa namun lelaki itu bernasib baik kerana terbabas hanya beberapa milimeter daripada saraf tulang belakang (spinal cord) membolehkan mangsa hidup.

Pisau yang digunakan dan luka mangsa yang semakin pulih. Gambar kanan, Profesor Sam Nang.
Profesor Sam Nang melakukan pembedahan mengeluarkan pisau itu namun beliau tidak menyatakan bila kejadian terbabit berlaku.
Beliau yang bersama dua lagi pakar bedah mengambil masa 90 minit untuk mengeluarkan pisau berkenaan berkata: “Mangsa amat bernasib baik kerana tikaman pisau itu tidak mengenai saraf penting.
“Pisau itu terbabas hanya satu atau dua milimeter, jika terkena lelaki itu sudah mati serta-merta.”
Menurutnya, lelaki itu pulih sepenuhnya tanpa sebarang kesan sampingan atau masalah saraf.
Profesor Nang yang mula menyertai pasukan pembedahan saraf pada 2005, kini bertugas di Hospital Preah Kossamak dan mengumpul gambar kes seperti kejadian itu sebagai bahan rujukan dan pembelajaran untuknya mengajar di Hospital Universiti Antarabangsa Sen Sok.

-Metro

Thursday, 16 February 2017

Mengaji RM33,400


Kuala Lumpur: Mengaji al-Quran di awan biru. Itu pakej ditawarkan sebuah syarikat penerbangan yang menampilkan kelainan bagi mendekatkan golongan jutawan kepada Allah SWT.
Kelas mengaji al-Quran dalam jet mewah yang dikendalikan johan qariah Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa 2009, Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman itu hangat diperkatakan netizen di media sosial.
Lebih menarik perhatian apabila orang ramai terkejut dengan caj yang dikenakan hampir mencecah AS$7,500 (RM33,400) seorang bagi sejam penerbangan pada setiap Ahad manakala RM2,000 untuk mengaji di dalam jet tanpa diterbangkan ke mana-mana.
Ketua Pegawai Eksekutif Elite Jets Sdn Bhd Hani Salman Ahmad bersama rakan kongsinya Sharifah Khasif berkata, kelas itu bertujuan mempromosikan pesawat peribadi selain mahu pelanggan Elite Jets mendapat pengalaman bermakna dengan membaca al-Quran di awan biru.
“Mereka yang tidak mahu mengambil pakej penerbangan boleh memilih pakej belajar di dalam jet saja tanpa perlu terbang,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, program itu disediakan khusus untuk mereka yang berkemampuan atau jutawan bagi mendekatkan diri dengan al-Quran.
“Sama saja seperti pakej umrah bersama selebriti yang ada sekarang. Contohnya, umrah bersama ustaz tersohor dengan bayaran pakej RM10,000,” katanya.
Menurutnya, pengajian bersama Sharifah Khasif percuma dan hanya dikenakan bayaran menyewa jet peribadi itu.
“Kos untuk menyewa jet peribadi mahal dan caj operasi setiap satu jam mencecah AS$5,000 (RM22,245) bagi kos minyak, permit, insurans dan kos penyelenggaraan.
“Kami beri pelanggan pengajian al-Quran percuma walaupun sekejap, tapi ilmu yang dimiliki lebih berharga dan tiada ternilai dan sebenarnya al-Quran kalamullah harus diangkat tinggi martabatnya di mana jua dan di mana saja,” katanya dipetik dalam Facebook Sharifah Khasif.
Menurutnya, ada sesetengah mereka sukar belajar al-Quran di tempat biasa dan perkhidmatan itu disediakan bagi memberi privasi serta pengalaman berada dalam pesawat peribadi.
“Setakat ini, kami menerima 100 pertanyaan. Ia bukan kerana wang disebabkan Sharifah Khasif juga mengajar golongan miskin secara percuma,” katanya.

-Metro

Wednesday, 15 February 2017

Sempat goreng telur atas bonet kereta

Brisbane: Kerana cuaca panas melampau, seorang anggota polis Australia di Birdsville sempat menggoreng telur di atas bonet kereta perondanya.
Satu rakaman video yang dimuat naik ke laman Facebook Jabatan Polis Queensland menunjukkan seorang anggota menggoreng telur dalam kuali yang diletakkan di atas bonet keretanya.
Video itu dimuat baru-baru ini dan ditonton lebih tiga juta kali dalam tempoh lima hari.
Menurut catatan Biro Kaji Cuaca, suhu di Birdsville berada sekitar 41 darjah Celsius sejak sambutan Hari Australia pada 26 Januari hingga Ahad lalu.
Birdville lazimnya mencatat suhu maksimum 38 darjah Celsius pada Februari, tetapi Ahad lalu suhu paling tinggi direkodkan iaitu 47.1 darjah Celsius.

-Metro

Terhenti pada sebatan ke-15

Banda Aceh: Hukuman sebat terhadap seorang wanita berusia 21 tahun di sini, Rabu lalu, terpaksa dihentikan pada sebatan ke-15 selepas dia tidak dapat menahan kesakitan jika hukuman itu diteruskan.
Seramai tiga orang iaitu dua lelaki, Safruddin, 32, dan Humaidi, 19, dan serta wanita berusia 21 tahun itu dikenali sebagai Linda, menjalani hukuman sebat di halaman Masjid Al Muchsinin Gampong Jawa, Kecamatan Kutaraja, Banda Aceh.
Sepatutnya pasangan Safruddin iaitu Epi Susanti, 28, juga disebat namun hukumannya diganti dengan penjara setahun enam bulan kerana sedang hamil dua bulan.

Seorang pesalah lelaki menjalani hukuman sebat.
Safruddin menjadi pesalah pertama disebat 27 kali yang berjalan lancar dan selepas itu, Humaidi (pasangan Linda) pula disebat 26 kali, juga berjalan lancar.
Selepas itu tiba giliran Linda Darmawati dan selepas disahkan pasukan perubatan dia sihat, hukuman sebatan 26 kali terhadapnya dimulakan.
Menurut laporan Detik.com, wanita itu rebah pada sebatan keempat dan pasukan perubatan memeriksa keadaannya sebelum hukuman diteruskan tiga minit kemudian. Wanita itu mengerang kesakitan sepanjang hukuman sehingga sebatan ke-15, dia rebah sekali lagi, memaksa doktor mengarahkan hukuman dihentikan.
Setiausaha Satuan Polisi Pamong Praja dan Wilayatul Hisbah (Satpol PP dan WH) Kota Banda Aceh, Yusnardi, berkata pihaknya akan bermesyuarat dengan pihak kejaksaan bagi memutuskan sama ada baki hukuman terhadap Linda akan dilaksanakan kemudian atau dihapuskan.
Menurutnya, dua pasangan itu ditahan berasingan di Banda Aceh beberapa bulan lalu dan Mahkamah Syariah Kota Banda Aceh memutuskan tiga dihukum sebat dan seorang dihukum penjara.
"Seorang (Epi Susanti) dihukum penjara kerana hamil, tidak dihukum sebat kerana dikhuatiri membahayakan kandungannya. Hukumannya diganti dengan penjara setahun enam bulan,” katanya.
Menurutnya, 89 pesalah syariat Islam yang diputuskan bersalah oleh Mahkamah Syariah dihukum sebat sepanjang 2016 dengan yang pesalah berkaitan judi paling ramai iaitu 60 orang.
Beliau berkata, pesalah khalwat yang dihukum ialah 22 orang, pesalah berkaitan minuman keras hanya tujuh orang.

-Metro