Tuesday, 1 July 2014

Tazkirah Ramadhan : Rela Masuk Neraka Jahanam


Nabi Musa AS suatu hari sedang berjalan-jalan melihat keadaan umatnya. Nabi Musa AS melihat seseorang sedang beribadah. Umur orang itu lebih dari 500 tahun. Orang itu adalah seorang yang ahli ibadah.

Nabi Musa AS kemudian menyapa dan mendekatinya. Setelah berbicara sejenak ahli ibadah itu bertanya kepada Nabi Musa AS, Wahai Musa AS aku telah beribadah kepada Allah SWT selama 350 tahun tanpa melakukan perbuatan dosa. Di manakah Allah SWT akan meletakkanku di Syurga-Nya?. Tolong sampaikan pertanyaanku ini kepada Allah. Nabi Musa AS mengabulkan permintaan orang itu.

Nabi Musa AS kemudian bermunajat memohon kepada Allah SWT agar Allah SWT memberitahukan kepadanya di mana umatnya ini akan ditempatkan di akhirat kelak. Allah SWT berfirman, “Wahai Musa (AS) sampaikanlah kepadanya bahawa Aku akan meletakkannya di dasar Neraka-Ku yang paling dalam”. Nabi Musa AS kemudian mengkhabarkan kepada orang tersebut apa yang telah difirmankan Allah SWT kepadanya.

Ahli ibadah itu terkejut. Dengan perasaan sedih ia beranjak dari hadapan Nabi Musa AS. Malamnya ahli ibadah itu terus berfikir mengenai keadaan dirinya. Ia juga mulai terfikir bagaimana dengan keadaan saudara-saudaranya, temannya, dan orang lain yang mereka baru beribadah selama 200 tahun, 300 tahun, dan mereka yang belum beribadah sebanyak dirinya, di mana lagi tempat mereka kelak di akhirat.

Keesokan harinya ia menjumpai Nabi Musa AS kembali. Ia kemudian berkata kepada Nabi Musa AS, “Wahai Musa AS, aku rela Allah SWT memasukkan aku ke dalam Neraka-Nya, akan tetapi aku meminta satu permohonan. Aku mohon agar setelah tubuhku ini dimasukkan ke dalam Neraka maka jadikanlah tubuhku ini sebesar-besarnya sehingga seluruh pintu Neraka tertutup oleh tubuhku jadi tidak akan ada seorang pun akan masuk ke dalamnya”.

Nabi Musa AS menyampaikan permohonan orang itu kepada Allah SWT. Setelah mendengar apa yang disampaikan oleh Nabi Musa AS maka Allah SWT berfirman, “Wahai Musa (AS) sampaikanlah kepada umatmu itu bahawa sekarang Aku akan menempatkannya di Syurgaku yang paling tinggi”.

Posted by Muhd Afiq

Monday, 30 June 2014

RIDHUAN TEE : Tanpa ALLAH, Kristian tidak rugi


KEPUTUSAN mahkamah berhubung isu kalimah ALLAH telah pun diketahui. Masih ramai tidak berpuas hati, terutama kalangan ultra kiasu.

Saya masih tertanya-tanya apakah tanpa menggunakan kalimah ALLAH, mereka akan menanggung kerugian besar? Sedangkan selama ini, mereka tidak pernah pun menggunakan kalimah, kecuali di Sabah dan Sarawak.

Hairannya, yang bersungguh-sungguh mahukan kalimah ini adalah kalangan mereka yang berasal dari Semenanjung. Kesungguhan ultra kiasu ini adalah perancangan licik untuk merosakkan akidah umat Islam yang sedang goyah hari ini.

Saya yakin, target mereka adalah umat Islam liberal dan goyah akidahnya. Kumpulan ini mudah didekati dan mudah terpengaruh. Sebab itulah, mereka begitu bersungguh-sungguh mahukan kalimah ALLAH digunakan bersama.

Bertambah licik lagi, kini, setelah mahkamah menjatuhkan keputusan, mereka begitu berani mengatakan, larangan penggunaan kalimah ALLAH hanya untuk majalah Herald sahaja. Untuk majlis dan kegunaan lain, tidak ada siapa pun boleh menghalang. Nampak atau tidak!

Kenapa saya katakan Kristian tidak sedikit pun rugi atau kehilangan apa-apa pun jika tidak menggunakan kalimah ALLAH?

Pertama, kenapa perlu berebut kalimah ALLAH, sedangkan selama ini langsung mereka tidak pernah gunakan? (Maaf, saya hanya rujuk ultra kiasu di Semenanjung, bukan di Sabah Sarawak). Rujuklah ‘khutbah’ dan ceramah mereka sebelum ini. Lagipun, sebutan ALLAH tidak pernah betul.

Kedua, dengan Kristian beralah, prasangka umat Islam kepada mereka selama ini akan menjadi kendur? Keadaan ini, baik untuk perpaduan nasional. Tidakkah selama ini pihak Kristian selalu mendakwa, bila orang sepak pipi kiri, tidak perlu balas, malah bagi pula pipi kanan. Justeru, mengalahlah.

Fahamilah sensitiviti orang Melayu. Melayu yang saya kenali dan fahami amat sensitif dengan agama, walaupun mereka tidak beramal dan tidak kuat semangat jihadnya.

Begitu juga dengan orang India yang beragama Hindu. Isu agama pada mereka amat sensitif. Misalnya, jika orang Hindu amat memuliakan lembu, kita perlu faham sensitiviti mereka.

Tetapi bagi ultra kiasu, terutama kalangan orang Cina, agama tidaklah terlalu penting. Pada mereka, ekonomi yang paling penting. Tanpa agama pun tidak menjadi masalah. Sebab itu, kita lihat dalam keluarga Cina, ada berbagai agama di dalamnya.

Peliknya, bila Cina atau India masuk Kristian, mereka menjadi ultra kiasu. Pasal apa? Sebab mereka sudah didogmakan untuk mendakyahkan agamanya dalam apa jua keadaan.

Sebab itulah, hari ini, yang begitu berani tampil ke hadapan adalah ultra kiasu dari Semenanjung yang memeluk Kristian. Mereka di Sabah, Sarawak, relaks sahaja. Kenapa? Selama ini mereka sudah menggunakan kalimah ALLAH.

Ketiga, banyak lagi nama Tuhan yang selalu mereka gunakan selama ini seperti God, Lord, dan sebagainya. Tambahlah nama-nama lain, tiada siapa yang larang.

Keempat, jangan banding dengan negara lain, kerana undang-undang dan cara hidup mereka berbeza dengan Malaysia. Fahamilah kehidupan orang Melayu. Mereka dahulu adalah Buddha-Hindu, termasuk juga fahaman anamisme.

Selepas Melayu memeluk Islam, disebabkan oleh kepercayaan dan ketaatan mereka kepada raja, semua Melayu pakat-pakat Melayu Islam.

Selepas itu, Melayu tidak lagi bertukar kepada agama lain, walaupun penjajah menjajah dan mendakyahkan agama Kristian. Kenapa Melayu tidak terpengaruh walaupun persekitaran ketika itu tidak Islamik dan terdedah kepada dakyah Kristian seperti sekolah missionari dan sebagainya?

Jawapannya, mudah, Islam sudah sebati dan menjadi darah daging orang Melayu.

Dengan Islam jugalah, Melayu berubah, menjadi lembut dan lebih bertolak ansur serta berlaku adil. Atas sifat ini jugalah Melayu sanggup menerima orang bukan Melayu menjadi warganegara di sini dengan bilangan yang amat besar tanpa banyak soal. Perkara ini tidak pernah berlaku di negara lain.

Di negara lain, golongan berhijrah terlalu sedikit, berbanding Tanah Melayu. Kenapa jadi sedemikian? Islam telah mengetuk pintu hati Melayu supaya menghargai dan menghormati makhluk ciptaan ALLAH berbilang bangsa.

Kelima, apakah Kristian akan menjadi kurang Kristiannya, jika tidak menggunakan kalimah ALLAH? Jawapannya, tidak.

Akhirnya, cubalah fahami isi hati Melayu. Melayu yang saya kenali amat memahami orang lain. Sebab itu, orang lain boleh hidup senang-lenang di sini. Namun, jika kita terus mencabar Melayu dan sensitivitinya, saya amat bimbang, Melayu akan bangkit dengan garangnya. Itulah yang dinamakan MENGAMUK.

-Sinar

Timmy Say :Islam bukan agama main-main


Di satu kedai kopi, seorang kawan bertanya pandangan saya mengenai kes perbalahan penjagaan anak antara seorang bapa Islam dan ibu Hindu, perkahwinan seorang wanita Hindu yang bernamakan Melayu dan juga rampasan jasad seorang Cina oleh Jabatan Agama Islam Pulau Pinang.

Orang bukan Islam dan bukan Melayu yang mengikuti kes sedemikian melahirkan satu persepsi kurang baik terhadap Islam. Antara punca persepsi kurang baik ialah mereka ‘mengukur’ agama Islam melalui tindakan umat dan penjaga Islam berdasarkan apa yang mereka tahu. Mereka juga ‘mengukur’ Islam terhadap kepercayaan yang dianuti masing-masing.

Dalam satu-satu keluarga bukan Islam, terutama keluarga Cina, agama bukan perkara terpenting dalam kehidupan. Di dalam sebuah rumah, ada Kristian, ada Buddha, ada Taois malah ada yang hilang kepercayaan pada wujudnya Tuhan.

Ketika di musim perayaan, atas dasar menghormati hasrat ibu bapa, anak yang sudah Kristian turut mengikut orang tua mereka ke tokong dan kuil untuk melakukan upacara keagamaan, dan begitu juga sebaliknya. Semua ini dilakukan untuk menjaga keharmonian keluarga.

Bagi bukan Islam, agama bukan penentu segalanya, dan disebabkan tiada pelaksanaan pihak berkuasa untuk agama mereka, maka larangan agama hanya diikuti dengan disiplin sendiri.

Oleh itu, bukan Islam yang tidak mengenali Islam susah memahami konsep Islam sebagai satu sistem.

Apa yang saya tahu, Islam bukan agama yang main-main. Ia adalah agama yang lengkap dengan sistemnya sendiri untuk menjaga sistem itu sendiri.

Dalam Islam, soal halal dan haram, dosa dan pahala menjadi agenda penting. Ia bermula daripada makanan dan rezeki sehinggalah masalah negara yang lebih besar seperti kemiskinan dan rasuah.

Namun begitu, pada hari ini, umat Islam seolah-olah memberikan reaksi yang sangat besar pada soal makanan, tapi tidak pada masalah negara. Kontroversi yang melanda coklat sebuah jenama terkemuka ialah contoh terbaik.

Bayangkan jika umat Islam memberikan reaksi jijik yang sama pada coklat kepada masalah rasuah, kemiskinan, kemunduran dalam pendidikan dan pembaziran yang sedang melanda negara, sudah tentu Malaysia akan lebih efektif dan maju pada hari ini.

Murtad

Dalam Islam, perkara yang paling kurang difahami oleh bukan Islam ialah isu murtad.

Penerangan insentif perlu diberikan kepada semua mengenai apakah yang dimaksudkan murtad di dalam Islam, kerana dalam dunia bukan Islam, hak untuk membuat pilihan diutamakan, termasuk hak menentukan agama sendiri pada bila-bila masa.

Ia berbeza daripada Islam mengenai soal memillih agama. Islam bukan agama yang seseorang boleh masuk dan keluar sesuka hati. Ia bukan satu agama yang boleh ‘try dulu’. Di dalam Islam, perkara yang paling dilaknat ialah murtad, iaitu dalam erti kata lain, seorang yang Islam mengambil keputusan untuk meninggalkan Islam.

Orang bukan Islam sebenarnya sangat tidak memahami murtad daripada aspek ini, meskipun di dalam Islam, murtad adalah antara dosa paling dimurkai oleh Allah. Di dalam Al-Quran, surah Al-Baqarah: 217 dan An-Nahl: 106 ada menyatakan betapa beratnya hukuman Allah pada umatnya yang berpaling tadah pada agama sendiri.

Orang bukan Islam tidak faham mengapa orang Islam tidak dibenarkan meninggalkan Islam. Mereka tidak faham ancaman murtad kepada sistem Islam. Dan mereka tidak memahami adalah tanggungjawab semua umat Islam untuk menghindari murtad.

Inilah sebabnya penerangan intensif perlu diberikan. Objektifnya ialah supaya orang bukan Islam tahu apa yang perlu dijaga sekiranya mereka memilih untuk memeluk Islam.

Sebagai contoh, mana-mana bukan Islam yang ingin memeluk Islam kerana cinta dan perkahwinan perlu diberi kefahaman secukupnya terhadap sistem Islam yang bakal mewarnai kehidupannya. Tidak wajar mereka memeluk Islam tanpa mengetahui apa yang bakal berlaku di alam kekeluargaan terutamanya pada hak penjagaan anak, lebih-lebih lagi jika perkahwinan itu berakhir dengan penceraian.

Orang bukan Islam yang ingin memeluk Islam juga perlu diberi pemahaman dan galakan supaya memaklumkan keputusan itu kepada keluarga terdekat, meskipun terpaksa menghadapi bantahan. Ini boleh mengelakkan salah faham sekiranya berlaku kematian. Mereka perlu diberi kefahaman dalam Islam, adalah wajib bagi pihak berkuasa Islam untuk mengebumikan orang Islam dengan cara yang tertera di dalam Al-Quran.

Orang bukan Islam juga perlu diberi kefahaman agar tidak harus memeluk Islam untuk mengambil kesempatan kepada situasi politik, sosial, pendidikan dan sosial di Malaysia.

Contohnya, ada yang melakukannya secara terdesak kerana tekanan kehidupan, sehinggakan anak turut sama memeluk Islam bukan untuk beriman dengan Allah, tetapi demi sesuap nasi melalui bantuan zakat. Bukti mereka memeluk Islam hanya pada kad pengenalan yang bertukar nama dan tertera “Islam” di bawahnya walaupun tidak pernah mengerjakan sebarang ibadah Islam.

Apabila anak itu membesar, mereka tidak sedarpun mereka adalah orang Islam kerana mereka tidak dibesarkan dengan cara Islam dan ini akan menjadi masalah besar kepada mereka dan menimbulkan perbalahan antara agama yang tidak mengetahui asal-usul sejarah mereka.

Ada pula suami bukan Islam yang sengaja memeluk Islam, memaksa anaknya melakukan perkara yang sama di ambang penceraian dengan isteri bukan Islam demi menjaga hak penjagaan anak.

Ramai juga yang memeluk Islam untuk menjadi Melayu, terutama pendatang asing. Ada pendatang asing, yang setelah memeluk Islam, terus menjadi Melayu, dan mendapat kewarganegaraan untuk menikmati hak sebagai warga majoriti di negara ini. Yang peliknya, pejuang ketuanan Melayu tidak mengambil kisah terhadap perkara ini meskipun ancaman ini terang-terang akan mengurangkan hak orang Melayu yang asal daripada sudut ekonomi, pendidikan mahupun pekerjaan.

Penerangan sedemikian boleh dilakukan di forum. Kerajaan juga digalak menyebarkan maklumat ini di televisyen dan media semasa seperti apa yang kerajaan lakukan untuk GST. Ini boleh membantu mengurangkan kemelut agama yang berlaku pada masa kini. Susah untuk salahkan mereka yang terlibat dalam kemelut ini, apabila semuanya tidak mengetahui batas masing-masing.

Pihak berkuasa Islam perlu memberi perhatian kepada perkara ini. Kegagalan pihak berkuasa memberikan kefahaman yang secukupnya kepada mereka yang ingin memeluk Islam, dan menjaga dan menguatkan iman saudara yang baru memeluk Islam akan membawa padah akhirnya.

Kerana yang terpaksa melakukan kerja mengambil mayat daripada upacara pengebumian keluarga bukan Islam, menghentikan perkahwinan seorang Hindu yang beragama Islam dan bergelut di mahkamah mengenai hak penjagaan anak mualaf ialah mereka.

Nota: Jika ada kesilapan mengenai pemahaman agama Islam daripada penulis, mohon pencerahan di ruang komen. Ini membuktikan kata-kata penulis penerangan yang lebih perlu diberikan.

-By Timmy Say

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Friday, 27 June 2014

Penyanyi Nigeria tawar dara

GAMBAR rakaman video yang disiarkan pemberontak Boko Haram menunjukkan sebahagian pelajar perempuan yang diculik di Chibok pada April lalu. - AP

ABUJA - Seorang penyanyi Nigeria sanggup menawarkan daranya sebagai pertukaran untuk membebaskan lebih 200 pelajar perempuan yang diculik kumpulan militan Boko Haram, lapor akbar New York Daily News kelmarin.

Kumpulan pemberontak Boko Haram bergiat aktif di Nigeria sejak 2009.

Tawaran oleh penyanyi tersebut, Adokiye Kyrian, 23, didedahkan dalam satu temu bual bersama media tempatan.

"Mereka terlalu muda. Saya mahu menawarkan diri saya sebagai ganti," Adokiye memberitahu akhbar Vanguard.

Apabila seorang wartawan memberitahu penyanyi itu tentang tindakan yang akan dilakukan oleh kumpulan penculik itu ke atas dirinya, Adokiye masih enggan berganjak daripada keputusannya.

"Para pelajar itu berusia antara 12 hingga 15 tahun. Saya lebih tua dan berpengalaman. Walaupun terdapat 10 hingga 12 lelaki yang ingin meniduri saya pada setiap malam, saya tidak peduli. Saya mahu mereka membebaskan kesemua tebusan," jelasnya.

Namun, tawaran tersebut mendapat reaksi negatif ramai pengguna laman sosial yang berpendapat Adokiye cuba mencari publisiti murah.

"Adokiye memberitahu kita semua bahawa dia masih dara, saya tidak percaya," kata seorang pengguna laman sosial Twitter yang menggunakan nama still_jimmy.

Kumpulan pengganas itu menculik lebih 300 pelajar perempuan di Chibok dua bulan lalu manakala kira-kira 176 mangsa telah berjaya melarikan diri.

- Agensi/Kosmo

Syed Mokhtar wira dermawan


HARTAWAN Malaysia Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan pengasas syarikat penerbangan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes dipilih antara 48 Wira Dermawan di Asia oleh majalah perniagaan antarabangsa, Forbes Asia, semalam.

Senarai dikeluarkan buat kali ke-8 berturut-turut itu menyebut Syed Mokhtar, 62, yang memiliki empayar perniagaan termasuk syarikat MMC Corp dan DRB-Hicom telah menderma lebih AS$500 juta (RM1.6 bilion) setakat ini.

Menurut Forbes Asia, Syed Mokhtar juga banyak menderma di luar Malaysia sejak 10 tahun lalu dengan menubuhkan kem pelarian di Pakistan, rumah anak yatim di Guinea dan program pemulihan untuk mangsa bencana di China, Indonesia dan Iran.

"Syed Mokhtar juga membuka hospital dan institusi lain di Uganda, Afrika Selatan, Nepal dan Australia yang sebahagiannya bertujuan untuk mempromosikan Islam," menurut Forbes Asia.

Sementara itu, Forbes Asia berkata, Fernandes, 50, melalui Yayasan AirAsia telah memberikan lebih AS$200,000 (RM643,000) sejak 2012 kepada beberapa kumpulan keusahawanan dan kesenian di Vietnam, Filipina dan Cambodia.

"Projek lain (Yayasan AirAsia) termasuk membantu penanam kopi di Thailand yang terjejas akibat penebangan hutan, memulihara bangunan warisan di Yogyakarta (Indonesia) dan menubuhkan stesen hidro mikro di Malaysia untuk komuniti yang tiada akses kepada elektrik," menurut majalah itu.

Yayasan AirAsia juga dilaporkan akan mengagihkan AS$200,000 (RM643,000) lagi tahun ini selain berjaya mengumpul lebih AS$2 juta (RM6.43 juta) untuk mangsa terselamat dalam Taufan Haiyan yang melanda Filipina pada November lalu bagi membina semula rumah dan kedai serbaneka mereka.

Menurut Forbes Asia, senarai menampilkan gabungan bilionair dan ahli perniagaan kurang terkenal itu bukan untuk memilih penderma paling banyak dari segi jumlah wang sebaliknya bertujuan menarik perhatian kepada penderma dan perjuangan mereka.

"Matlamatnya ialah mencari dermawan sebenar, iaitu individu yang menderma duit mereka sendiri, dan bukan duit syarikat, kecuali jika syarikat itu milik mereka hampir sepenuhnya," menurut Forbes Asia.

Seramai empat dermawan dipilih bagi setiap satu daripada 12 negara di Asia Pasifik dalam senarai terbaharu itu.

-Sinar

PM Jepun ‘terlanjur’


Tokyo: Menterjemah perkataan secara semberono selalu membawa masalah.

Keadaan itu turut dialami Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe ketika dia cuba memenangi hati wanita di negara itu.

Bertujuan mendapat sokongan golongan berkenaan, Abe menulis sebuah blog khusus untuk menggalakkan wanita kembali bekerja.

Kesilapan Abe? Dia menggunakan istilah bahasa Inggeris, ‘Shine’ sebagai tajuk blog berkenaan. Perkataan itu sepatutnya membawa maksud ‘cemerlang’ atau ‘bersinar’ namun apabila diterjemah ke bahasa Jepun, ia membawa erti ‘mati’.

Maka jadilah blog berkenaan menyebarkan mesej: “Mati! Semua wanita untuk kecemerlangan Jepun.”

- Agensi/Metro

Thursday, 26 June 2014

Penduduk Malaysia cecah 38.6 juta pada 2040


PUTRAJAYA - Penduduk Malaysia dijangka mencecah sebanyak 38.6 juta orang pada 2040 berbanding 29.94 juta pada pertengahan tahun lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, penduduk Malaysia bertambah dengan agak tinggi berbanding negara-negara lain di rantau ASEAN apabila mencatatkan pertumbuhan tahunan pada kadar 2.6 peratus antara tahun 1990 hingga 2000 dan 2 peratus antara 2000 hingga 2010.

Bagaimanapun katanya, Jabatan Perangkaan menjangkakan kadar pertumbuhan penduduk akan menurun ke paras 1.2 peratus pada 2020.

"Struktur umur penduduk juga telah mengalami perubahan ketara dengan mereka yang berusia bawah 15 tahun menurun daripada 34.1 peratus pada 2000 kepada 27.4 peratus pada 2010 dan seterusnya kepada 26 peratus pada 2013 ekoran kadar kesuburan dan kematian rendah.

"Sejajar dengan penurunan fertiliti, bilangan penduduk muda juga berkurangan apabila mencatatkan sebanyak 7.8 juta pada tahun lalu berbanding 8 juta pada 2000.

"Malaysia dijangka ditakrifkan sebagai negara berpendudukan tua pada 2030 ekoran pertambahan warga emas disebabkan peningkatan jangka hayat manakala kesuburan yang pesat pula menurun," katanya ketika berucap pada Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2014 bertemakan The Interelationship Between Population Dynamics and Development di Hotel Palm Garden di sini hari ini. - KOSMO!

-Kosmo

Kekasih dalam beg


Beijing: Seorang lelaki di Liaoning ditahan kerana menyumbat teman wanitanya ke dalam bagasi dan membawa mangsa pulang ke rumahnya selepas kekasihnya itu cuba memutuskan hubungan mereka.

Menurut sumber, lelaki dikenali sebagai Wang itu mengikat teman wanitanya Mu dan menyumbat wanita itu ke dalam beg berkenaan di Xi’an sebelum membawanya pulang ke rumahnya di Liaoning.

“Dia bagaimanapun ditahan polis sebaik tiba di Liaoning hasil maklumat diberikan dua pemandu yang diupah Wang untuk membawanya pulang.

“ Pemandu berkenaan melaporkan terdengar bunyi seperti tangisan dari dalam beg berkenaan sebelum melihat seorang wanita di dalamnya,” katanya.

Mereka cuba memujuk Wang membebaskan Mu sebelum menghubungi polis.

Imej dirakamkan CCTV menunjukkan Wang dan Mu mendaftar masuk ke sebuah hotel pada jam 10 pagi.

Wang kemudian dilihat meninggalkan hotel itu dalam keadaan resah pada jam 3 petang malah keluar dari pintu sisi bangunan berkenaan sambil mengheret sebuah beg besar.

Polis menerima panggilan daripada pemandu terbabit sekitar jam 11 malam.

Wang memberitahu polis Mu kekasihnya dan tidak dapat menerima apabila wanita berkenan meminta memutuskan hubungan.

Sebaliknya, dia memujuk Mu dengan berjanji menjaganya dengan baik jika mengikutnya pulang ke Liaoning selain mahu mengupah pembantu rumah untuknya.

- AFP/Metro

Wednesday, 25 June 2014

Haram doakan musibah, keburukan sesama Muslim


Doa sangat penting dalam kehidupan manusia dan pada masa tertentu boleh menjadi ‘senjata’ kepada umat Islam.

Sekuat manapun usaha seorang hamba, ia masih memerlukan bantuan daripada Allah SWT. Jika ada hamba-Nya hanya bergantung pada usaha semata-mata tanpa memohon doa kepada Allah SWT, ia dianggap sebagai sia-sia dan menjurus kepada sifat angkuh kepada yang Maha Pencipta.

Allah berfirman dalam Surah Al-Ghaafir pada ayat ke-60 bermaksud: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Ku-perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombong diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina.”

Adab berdoa

Bagaimanapun, sebagai umat Islam, kita diajar mengenai adab dan etika ketika berdoa. Dalam keadaan apapun, adab adalah perkara yang utama bagi orang Muslim.

Wali Allah yang menguasai seni adab dalam berdoa mengajarkan banyak perkara yang harus diperhatikan sewaktu memohon doa kepada-Nya. Seorang daripada ulama dari Mesir iaitu Maulana Syeikh Mokhtar Ali Muhammad al-Dusuqi (Syeikh Tarikat Dusuqiyah Muhammadiyah) menasihati murid-muridnya adab untuk berdoa dan meminta sesuatu daripada Allah SWT.

Ia dimulakan dengan bacaan doa bermaksud: “Ya Allah, jadikanlah hamba-Mu ini orang yang pandai bersyukur”. Jika sentiasa berdoa seperti itu maka kita akan mendapat nikmat yang berlipat kali ganda.

Selain itu, antara adab dan etika ketika berdoa juga adalah kita perlu menghadap kiblat, berada dalam keadaan suci, berzikir, beristighfar dan berselawat ke atas Nabi.

Saidina Ali Abi Talib pernah menyatakan bahawa semua doa akan terhenti di langit sehingga ia diiringi dengan selawat kepada Nabi Muhammad SAW dan ahlul-baitnya.

Haram doakan musibah

Di dalam Islam, kita diharamkan daripada mendoakan sesuatu musibah dan keburukan kepada umat Islam dan makhluk ciptaan Allah.

Berdoalah dengan penuh pengharapan dan mintalah dari Allah dengan penuh keyakinan serta kepercayaan bahawa Allah Maha Kuasa atas segala-galanya.

Jika doa kita tidak termakbul, janganlah kita berputus asa dan teruskan berdoa dengan penuh pengharapan kerana jika doa kita tidak dimakbulkan di dunia, berkemungkinan besar Allah ingin memberikan ganjaran berlipat kali ganda di akhirat kelak.

Jika doa kita dimakbulkan oleh Allah S.W.T janganlah bersifat angkuh dan sombong malahan bersyukur dengan kurniaan-Nya.

Carilah saat-saat afdal untuk berdoa, seperti di pertengahan malam, pada bulan Ramadan, malam nisfu Syaaban, Lailatul Qadar, ketika wukuf di Arafah dan sebagainya.

-BH

Gambar 20 kanak-kanak dipaksa kahwin didedah


RAJASTAN - Seorang jurugambar merakam gambar pengantin perempuan seawal usia tujuh tahun yang dipaksa berkahwin dengan remaja lelaki berumur 16 tahun dalam satu majlis perkahwinan beramai-ramai di sebuah kampung dalam negeri Rajasthan, barat India.

Lebih 20 kanak-kanak yang berusia antara tujuh hingga 16 tahun dikahwinkan di hadapan masyarakat kampung di Kishangarh, Rajasthan.

Gambar kumpulan pengantin kanak-kanak itu dirakam secara rahsia oleh jurugambar tempatan, Shankar Puri ketika mereka menuju ke sebuah kuil u

ntuk upacara perkahwinan tersebut pada bulan lalu. "Saya memaklumkan kepada polis tentang majlis tersebut. Sejumlah lelaki dan wanita berkumpul untuk menyaksikan upacara perkahwinan itu. Mereka menari dan menyanyi tanpa menyedari bahawa perbuatan tersebut salah," kata Shankar.

Menurutnya, beberapa anggota polis tempatan tiba di lokasi kejadian tetapi gagal untuk menghalang upacara perkahwinan beramai-ramai tersebut.

"Pasukan polis tidak dapat berbuat apa-apa kerana bilangan mereka jauh lebih kecil. Mereka akan dipukul oleh penduduk kampung jika bertindak," tambahnya.

Perkahwinan kanak-kanak merupakan tradisi turun-temurun dan masih diamalkan oleh majoriti penduduk di negeri Rajasthan walaupun ia jelas menyalahi undang-undang di India.

- Agensi/Kosmo