Monday, 2 December 2013

Mahkamah izin bius, bedah secara paksa


London: Pertubuhan perkhidmatan sosial Essex berjaya mendapatkan arahan mahkamah supaya diberikan kebenaran untuk membius seorang wanita hamil bagi mengeluarkan bayinya melalui pembedahan caesarean. Mahkamah berkata, ia bertindak bagi kebaikan wanita itu, seorang rakyat Itali yang berkunjung ke Britain untuk urusan pekerjaan kerana dia menghadapi tekanan mental. Bayi itu kini berusia 15 bulan masih di bawah jagaan agensi khidmat sosial yang enggan menyerahkannya semula kepada wanita itu walaupun dia mendakwa sudah pulih. Kes itu menimbulkan pertelingkahan perundangan di peringkat antarabangsa apabila peguam wanita itu menyifatkan kes berkenaan sebagai tidak pernah berlaku sebelum ini. Peguam wanita itu, Brendan Fleming memberitahu dia tidak pernah mendengar kes sedemikian sepanjang 40 tahun terbabit dalam kerjaya guaman. “Saya faham jika seseorang itu sakit dan mereka tidak boleh melalui prosedur rawatan, tetapi memaksa pembedahan caesarean ke atas seseorang tidak pernah terjadi sebelum ini. “Jika ada kebimbangan mengenai penjagaan bayi itu oleh ibunya yang juga rakyat Itali, maka cadangan yang terbaik ialah agar pihak berkuasa memaklumkan khidmat sosial Itali dan bayi itu dibawa pulang untuk dijaga di sana,” katanya. Wanita terbabit datang ke Britain Julai tahun lalu untuk menghadiri kurus latihan dengan sebuah syarikat penerbangan di Essex. Dia mengalami serangan panik dipercayai kerana gagal mengambil ubat akibat masalah dwipolar. Polis kemudian membawanya ke hospital yang kemudian disedari wanita terbabit adalah pusat jagaan pesakit mental. Dia kemudian dilarang kembali ke hotelnya, malah ditahan mengikut Akta Kesihatan Mental Britain. Perkhidmatan sosial Essex kemudian mendapat perintah mahkamah pada Ogos 2012 untuk “memaksa pembedahan caesarean” dilakukan bagi mengeluarkan bayi berkenaan. Proses itu dijalankan tanpa pengetahuan wanita terbabit dan dibuat selepas lima minggu ditahan di wad sakit mental. Dia hanya diberitahu mengenai anaknya selepas sedar daripada pembedahan. - Agensi/Metro

Friday, 29 November 2013

Hadiah anjing kurap buat Jeff Oii


GEORGETOWN: Anjing dan kucing kurap akan 'dihadiahkan' kepada Jeff Ooi dan Tony Pua dalam tempoh terdekat sekiranya mereka tidak memohon maaf kerana menghina kakitangan awam khususnya umat Islam. Pengerusi Persatuan Anak Muda Pulau Pinang(PAMPP) Jahangir Abdul Shukkur berkata, sekiranya tiada permohonan maaf daripada dua pemimpin DAP terbabit pihaknya sendiri akan menghantar anjing serta kucing kurap itu kepada mereka berdua sebagai menunjukkan rasa tidak puas hati dengan tindakan mereka yang mengeluarkan kenyataan menghina itu. "Kita tidak akan berdiam diri dan akan mengambil tindakan sewajarnya kerana kenyataan yang dikeluarkan mereka berdua itu dilihat seolah-olah cuba merendahkan martabat kakitangan awam, bangsa Melayu dan umat Islam. "Kenyataan itu jelas menunjukkan yang mereka tidak sensitif dan cuba memarakkan api perkauman dalam negara ini yang rakyatnya hidup secara harmoni," katanya. Menururtnya, sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai penduduk berbilang kaum mereka sepatutnya perlu menghormati antara satu sama lain. -Metro

Lelaki hidup miskin tertukar ketika lahir


lelaki Jepun berusia 60 tahun yang tertukar ketika lahir berkata, beliau berharap untuk memutar semula masa beberapa hari selepas memenangi saman terhadap hospital yang melakukan kesilapan menyebabkannya hidup dalam kemiskinan. Lelaki terbabit memberitahu, beliau terkejut apabila mengetahui bahawa kehidupan sebenar adalah sebaliknya. Saya hairan bagaimana perkara ini boleh berlaku. Saya langsung tidak mempercayainya. Secara jujur, saya tidak dapat menerimanya. Saya sepatutnya mempunyai kehidupan yang berbeza. Saya mahu (hospital) memutarkan semula masa kepada hari saya dilahirkan, katanya. Lelaki terbabit tidak didedahkan namanya. Bayar ganti rugi RM1.2 juta Sebuah mahkamah daerah Tokyo minggu ini mengarahkan hospital terbabit membayar sejumlah 38 juta yen (RM1.201 juta) terhadap kesilapan yang dilakukan pada 1953 di mana lelaki terbabit tertukar dengan bayi lelaki lain yang dilahirkan 13 minit selepas kelahirannya. Sebanyak 32 juta yen (RM1.01 juta) turut diberikan kepada lelaki terbabit manakala selebihnya enam juta kepada tiga lagi adik-beradik kandungnya. -AFP/BH

Buaya berjaya dipujuk pulang badan mangsa


Saratok: Hanya pinggul hingga paras tengkuk Andrian Thomas ditemui, selepas dibaham buaya ketika memukat ikan di Sungai Seblak pada Jumaat lalu. Bahagian itu ditemui semalam kira-kira 500 meter dari kawasan lubuk mangsa dilaporkan hilang selepas seekor buaya memuntahkan anggota badan itu dipercayai selepas dipujuk pawang buaya, Indet Senabong, 50, dari Ulu Paku, Betong. Penduduk Rumah Panjang Empayak, Bani Mingai, 60, berkata beliau melihat sendiri penemuan mayat mangsa kira-kira jam 9.30 pagi semalam. Upacara pujuk buaya Kira-kira jam 5 petang semalam (kelmarin), pawang itu bersama penduduk kampung ke lokasi kejadian untuk upacara memujuk buaya yang berlangsung lebih empat jam. Ketika itu, bomoh berkenaan menggunakan ngintik (kail) yang dijampi dengan harapan buaya berkenaan menyerah diri. Saya dan Indet ke tebing lokasi kejadian pada jam 8.30 pagi tadi untuk memeriksa keadaan sebelum dikejutkan dengan gelombang besar disusuli kemunculan seekor buaya. Ketika itu, kami mula terhidu bau busuk sebelum reptilia itu membuka mulut dan memuntahkan sesuatu objek sebelum hilang, katanya. -BH

Mahkamah Israel denda wanita kerana anak tidak dikhatankan


BAITULMUQADDIS - Sebuah mahkamah agama Yahudi mendenda seorang wanita kerana dia enggan mengkhatankan bayi lelakinya. Mahkamah itu membuat keputusan pada minggu lalu bahawa wanita tersebut perlu membayar denda hampir AS$150 (RM484.87) setiap hari sehingga anaknya dikhatankan. Wanita tersebut memberitahu mahkamah bahawa dia tidak mengkhatankan anaknya itu kerana tidak mahu kerosakan fizikal berlaku ke atas bayinya. Keputusan itu adalah yang pertama kali dibuat oleh sebuah mahkamah agama di Israel. Tidak ada undang-undang yang mewajibkan anak lelaki dikhatankan di Israel. Bagaimanapun, ramai penduduk lelaki Yahudi yang berkhatan disebabkan amalan agama di negara itu. Kementerian Kehakiman yang mewakili wanita itu akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan tersebut. - AP/Kosmo

Thursday, 28 November 2013

Dunia oh dunia :Cerai isteri kerana sekotak rokok


RIYADH - ARAB SAUDI. Seorang suami di Arab Saudi sanggup menceraikan isterinya yang baru dikahwini tiga bulan selepas menemui sekotak rokok di dalam beg tangan wanita itu. Gara-gara berang dengan penemuan itu, lelaki dari selatan Saudi di Jizan yang enggan identitinya didedahkan bertindak memfailkan perceraian dengan segera tanpa usul periksa. Usaha wanita itu untuk meyakinkan suaminya bahawa rokok yang ditemui bukan miliknya juga dilaporkan tidak berjaya. Difahamkan, laporan dipetik dari DailyMail, angka rasmi yang dikeluarkan oleh kementerian kesihatan negara tersebut menunjukkan kira-kira 600,000 wanita Saudi adalah perokok tegar. -sinar

Wanita Islam Malaysia tegaskan tuduhan murtad terhadap beliau suatu fitnah


NEW YORK: Seorang wanita Islam Malaysia menyangkal sebagai fitnah dakwaan kononnya beliau menganut agama Kristian seperti yang terkandung dalam sebuah artikel yang tersebar luas di laman sosial. Adila Hussin McGhee, 43, berkata: "Saya masih seorang Islam, saya masih percaya dengan Allah Tuhan yang Esa dan Nabi Muhammad s.a.w. "Saya tahu apa yang baik dan buruk dalam ajaran agama. Jangan percaya fitnah orang," katanya. Berita mengenai wanita lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia dari Ipoh ini, heboh dikatakan sudah murtad dalam Internet gara-gara artikel yang diterbitkan oleh sebuah badan sukarela wanita yang berkait dengan kerja amal gereja di Amerika Syarikat. Artikel itu menyebut kononnya beliau sedia berkongsi “cerita dari hati” bagaimana beliau menganut agama Kristian semasa berada di Malaysia lagi selepas perkahwinan pertamanya gagal. Adila yang suka melakukan kerja amal di daerah tempat tinggalnya itu, berpindah ke Virgina selepas berkahwin untuk kali kedua dengan seorang warga Amerika, dan kini tinggal di sebuah pekan kecil di daerah Richmond. Semasa dihubungi Bernama dari New York, bekas pelajar Kolej Islam Klang, (KIK) Selangor itu menyangkal dakwaan yang beliau sudah menganut agama Kristian. “Saya amat sedih sekali kerana nama saya diaibkan dan ini satu pembohongan tentang diri saya, saya langsung tidak pernah bertemu atau ditemu ramah oleh penulis artikel itu. "Malah semasa saya memberi penerangan mengenai Malaysia itu, ia dihadiri oleh kumpulan wanita saja," kata Adila yang kini menjadi tenaga pengajar Bahasa Melayu di Diplomat Language Center di Washington DC. Adila dicap murtad oleh segelintir rakyat Malaysia yang 'termakan' dengan kandungan artikel berkenaan. “Saya sedih tidak tahu nak mengadu kepada siapa apabila mengetahui mengenai perkara ini, semua orang sudah mempercayai fitnah yang mereka dengar, tanpa usul periksa. "Saya sudah terangkan perkara sebenar kepada kedua-dua ibu bapa, dan bimbang perkara ini boleh menyebabkan anak-anak saya akan dipulaukan,” kata Adila yang mempunyai tiga orang anak hasil perkahwinan pertamanya. Beliau berkata kerja amal beliau sudah disalah ertikan. "Saya juga ada membuat perniagaan sabun buatan tangan dan saya perlu memperluaskan pasaran untuk menjual sabun-sabun saya. "Oleh itu saya telah pergi ke pejabat daerah berhampiran tempat tinggal saya dan mereka memperkenalkan saya kepada seorang pegawai untuk memasarkan produk saya," katanya. Beliau sudah membuka gerai semasa hari pesta menuai di pekan kecil, Bowling Green dan gerai berkenaan bertempat di sebuah gimnasium di sebuah gereja di situ. Dari situlah beliau mengenali penduduk tempatan yang kemudian menjemput beliau memberi ceramah untuk persatuan wanita yang ingin mengenali Malaysia. “Saya telah memberi ceramah mengenai Malaysia bermula dari sejarah sebelum dan selepas merdeka, geografi, cuaca, ekonomi, penduduk, makanan, budaya, agama dan lain-lain. "Saya amat terkejut kerana ramai dari mereka yang tidak tahu di mana Malaysia. Mereka cuma tahu bahawa Malaysia adalah negara Islam. “Selain memperkenalkan tanah air kita kepada mereka, saya juga menerangkan bagaimana wanita Malaysia berjaya dalam kehidupan mereka serta memegang pelbagai jawatan tinggi di semua peringkat, dan boleh memandu,” katanya. Adila dan suaminya F. McGhee sudah menghubungi pengurusan gereja yang menjemputnya memberi ceramah mengenai Malaysia itu, untuk berbincang tentang penulisan artikel berkenaan dan mahu pihak pengurusan berbuat sesuatu untuk membersihkan namanya. Adila juga mendakwa gambar-gambar di laman Facebooknya termasuk gambar semasa beliau belajar di KIK turut dimuat turun dan disebarkan di laman sosial lain. Katanya beliau juga diganggu dengan pelbagai tohmahan menerusi e-mel, teks dan panggilan telefon. “Saya juga kesal kerana nama beberapa kawan saya semasa di KIK turut dikaitkan dalam tohmahan ini, sedangkan mereka tidak tahu apa-apa,” ujar Adila. - BERNAMA/BH

Dunia oh dunia : Bayi ditanam hidup-hidup


MIRI 27 Nov. - Seorang bayi yang cukup sifatnya dipercayai menjadi mangsa individu tidak berperikemanusiaan apabila ditanam hidup-hidup di sebuah ladang kelapa sawit di Batu Niah, di sini semalam. Mayat bayi cukup sifat dan masih bertali pusat dipercayai baru dilahirkan itu ditemukan seorang pengawal keselamatan kira-kira pukul 3.30 petang. Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Jonathan Ringgit berkata, pengawal keselamatan tersebut mendakwa ternampak kelibat seorang lelaki dan wanita membawa bungkusan plastik dalam keadaan mencurigakan. "Dia terdengar tangisan bayi lalu bertindak mengintip pasangan tersebut yang dilihat seperti mengorek dan menanam sesuatu berdekatan pagar ladang. "Sebaik sahaja mereka beredar, pengawal itu segera memeriksa kawasan tersebut dan terkejut apabila melihat bahagian kaki bayi terjulur keluar dari tanah yang baru ditimbus," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini. Menurut Jonathan, pengawal keselamatan itu terus memaklumkan penemuan tersebut kepada majikannya sebelum mereka menghubungi pihak polis. "Pemeriksaan lanjut mendapati bayi malang berkenaan sudah tidak bernyawa. Memandangkan saksi mendakwa terdengar bunyi tangisan, bayi itu mungkin dilemaskan terlebih dahulu atau ditanam secara hidup-hidup oleh suspek," katanya. Tambah Jonathan, pihaknya sedang mengesan pasangan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. "Saya minta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis terdekat bagi membantu siasatan," katanya. -Utusan

Wednesday, 27 November 2013

Polis ‘berdosa’ tembak diri sendiri


Jakarta: Seorang anggota polis ditemui mati dengan tiga kesan tembakan di dadanya dipercayai akibat membunuh diri. Bambang Setiawan dipercayai mengambil tindakan itu kerana dihantui perasaan bersalah selepas mencuri wang jirannya. Jurucakap polis berkata, Bambang membunuh diri menggunakan raifal automatik V-2 ketika sedang bertugas di Balai Polis Nganjuk di Jawa Timur. “Tiada saksi kerana tujuh anggota lain yang bertugas pada malam berkenaan tiada di balai,” katanya. Menurut jurucakap itu, Bambang meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Polis Bhayangkara. Sementara itu, Ketua Polis Indonesia Sutarman berkata, Bambang membunuh diri kerana ‘dosanya’ pada masa lalu. “Saya menerima laporan daripada ketua polis Jawa Timur, Unggung Cahyono bahawa Bambang mencuri Rp 650,000 (RM180) daripada jirannya. “Dia rasa bersalah dan malu hingga akhirnya membunuh diri,” katanya. - Agensi/Metro

PlayStation4 jadi alat aib isteri


London: Seorang pemilik PlayStation4 dikecam apabila dia menggunakan kemudahan video secara langsung pada permainan itu untuk mengaibkan isterinya sendiri dengan menyiarkan imej wanita terbabit berbogel dalam keadaan mabuk di ruang tamu rumah mereka. Melalui imej disiarkan itu, lelaki terbabit dilihat mendedahkan payudara isterinya ketika wanita terbabit tidur di sofa. Kira-kira 15 minit kemudian skrin kelihatan gelap seketika sebelum kembali terang. Ketika itu wanita terbabit kelihatan masih tidur di sofa tetapi tanpa dilindungi seurat benang. LELAKI ini dilihat cuba membuka baju isterinya yang sudah mabuk dan tidak sedarkan diri. PlayStation4 yang dilancarkan minggu lalu dilengkapi kemudahan baru bergelar “Playroom” yang membolehkan pengguna menyiarkan video secara langsung melalui perkhidmatan bergelar Twitch TV. PlayStation4 dilancarkan di AS pada 15 November lalu dan dijual pada harga AS$400 (RM1,288) seunit. - Agensi/Metro