Wednesday, 21 March 2018

Bayi merangkak tengah jalan

Bayi merangkak tengah jalan
Detik mencemaskan itu dirakamkan dashcam oleh seorang pengguna lalu lintas di Quang Ninh.

HANOI - VIETNAM. Seorang pemandu terkejut selepas melihat bayi merangkak melintasi jalan raya di Vietnam.
Detik mencemaskan itu dirakamkan dashcam oleh seorang pengguna lalu lintas di Quang Ninh yang kemudiannya bertindak segera menghentikan kenderaannya selepas melihat sebuah lori di lorong sebelah melakukan tindakan sama.
Pemandu lori tersebut mengeluarkan tangannya ke luar tingkap untuk memberi isyarat kepadanya sebelum menunjukkan bayi tersebut.
Bayi terbabit dapat dilihat merangkak melintasi dua lorong menuju ke pembahagi jalan di tengah jalan tersebut sebelum seorang wanita berlari dan turut melompat blok konkrit untuk mendapatkannya.
Dua lelaki lain menyusul untuk membantu wanita terbabit yang akhirnya dapat mengambil semula bayi tersebut dengan selamat.
"Saya sedang memandu apabila melihat bayi merangkak di seberang jalan. Nasib baik tidak ada apa berlaku kepadanya," kata pemandu kereta yang merakamkan insiden itu pada 13 Mac lalu. - Daily Mail/Sinar

Tuesday, 20 March 2018

Bangkai pesawat MH370 ditemui?

Bangkai pesawat MH370 ditemui?

CANBERRA - AUSTRALIA. Pesawat MH370 dalam keadaan berlubang ditembusi peluru didakwa telah ditemui menerusi imej yang diperoleh daripada aplikasi Google Earth.
Gambar tersebut menunjukkan pesawat Mas terbabit yang dilaporkan hilang bersama kesemua 239 penumpang berada di bawah permukaan air di utara Mauritius.
Pakar penyiasat nahas pesawat dari Australia, Peter McMahon, 64, mendakwa beliau telah menghabiskan masa selama beberapa tahun mengkaji imej Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) dan Google Maps sejak pesawat itu dilaporkan hilang di Lautan Hindi pada 2014.
Menurutnya, beliau percaya pesawat itu berada pada jarak 16 kilometer di selatan pulau kecil, Round Island yang mana ia tidak termasuk dalam kawasan lingkungan carian sebelum ini.
Bahagian hadapan dan badan utama pesawat tersebut yang didakwa ditemui di perairan Mauritius.
Difahamkan, beliau juga telah mengemukakan laporan penemuan itu kepada Biro Pengangkutan dan Keselamatan Australia.
Pihak berkuasa terbabit bagaimanapun memberitahu mereka dimaklumkan oleh pegawai Amerika Syarikat agar kekal berada di kawasan lingkungan carian ditetapkan di Lautan Hindi.
"Adakah ini adalah bahagian kabin hadapan pesawat MH370 di perairan selatan Pulau Rodrigues? Seramai empat wakil dari Washington telah dihantar ke Canberra untuk mengawasi penemuan tersebut.
"Mereka mahu memastikan segala maklumat yang diterima tidak didedahkan kepada umum dan kerajaan. Tetapi kenapa?" ujar jurutera mekanikal itu kepada Daily Star Online.
Jelasnya lagi, pihak berkuasa tidak mahu pesawat dipenuhi kesan berlubang seperti ditembusi peluru itu akan membawa kepada siasatan baharu.
Berdasarkan laporan itu, selain bahagian utama pesawat tersebut, McMahon juga telah menemui bahagian hadapan kabin di perairan selatan Pulau Rodrigues yang juga terletak berhampiran Mauritius.
Awal tahun lalu, kerajaan Malaysia telah meluluskan syarikat AS, Ocean Infinity menghantar kapal carian untuk menjejaki MH370 di kawasan lingkungan lebih 9,000 meter persegi di perairan Australia.
Sehingga kini, lokasi tepat tidak pernah diketahui.
Pada 2015, beberapa bangkai pesawat didakwa telah ditemui pasukan sukarelawan ketika membersihkan pantai di St Andre, Reunion.
Dua tahun kemudian, imej satelit dikeluarkan Australia menunjukkan 12 objek terapung di kawasan dipercayai berhampiran lokasi nahas. 

- The Sun/Sinar

Juruterbang dituduh tembak MH17 bunuh diri


London: Juruterbang tentera Ukraine yang dituduh oleh Russia menembak jatuh pesawat penerbangan Malaysia MH17 pada 2014, ditemui mati akibat membunuh diri dengan pistol, lapor media Ukraine, hari ini.
Kapten Vladyslav Voloshyn mengecam tuduhan Russia itu yang dianggapnya sebagai satu penipuan.
Penyiasat Belanda memutuskan bahawa sistem peluru berpandu antipesawat Buk buatan Russia yang menembak jatuh jet Boeing 777 dan membunuh semua 298 penumpang.
Dalam kejadian 17 Julai 2014 itu pesawat berkenaan dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Menurut BBC, media Ukraine yang memetik polis melaporkan, Voloshyn menembak mati dirinya sendiri di rumahnya di Mykolaiv berhampiran Laut Hitam pada Ahad lalu.
Ukraine menganggap Voloshyn sebagai wira perang.
Voloshyn menjalankan 33 misi pertempuran dengan mengendalikan jet tempur Su-25 ketika menyerang pemberontak yang disokong Russia di timur Ukraine.
Anggota keluarga dipetik media Ukraine berkata, Voloshyn sebelum ini mengalami kemurungan.
Mereka berada rumah flat itu ketika Voloshyn menembak dirinya dengan pistol.
Voloshyn dibawa ke hospital dengan ambulans tetapi disahkan sudah meninggal dunia.

-Metro

Monday, 19 March 2018

Tertusuk besi dari kemaluan ke leher



SEPASUKAN doktor berjaya mengeluarkan besi sepanjang 130 sentimeter (sm) pada badan seorang lelaki selepas tertusuk pada kemaluan sehingga menembusi lehernya.
Kejadian itu berlaku ketika mangsa Salim Sheikh, 33, bekerja di sebuah tapak pembinaan di Nashik, Maharashtra pada minggu lalu.
Daily Mail melaporkan, Salim bekerja di tingkat satu bangunan baharu itu sebelum jatuh tergelincir ke atas timbunan besi dan sebatang besi menusuk badannya.
Imbasan menunjukkan besi turut menembusi usus kecil dan besar, hati, paru-paru serta diafragma.
Bagaimanapun, dia terselamat selepas menjalani pembedahan yang memakan masa lima jam.
“Pesakit terselamat kerana besi tidak terkena salur darah utama.
“Dia bernasib baik kerana organ penting lain termasuk pundi kencing dan buah pinggang tidak cedera,” kata Dr Ajay Bhandarwar yang merawatnya.

-Metro

Lelaki 'pengembara masa' bawa makanan dari masa depan

Lelaki 'pengembara masa' bawa makanan dari masa depan

Davis menunjukkan pil yang didakwanya mampu memanjangkan usia manusia di masa depan.

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Sejak kebelakangan ini, ramai rakyat Amerika Syarikat (AS) mengaku berasal dari masa depan.

Terbaharu, seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai WD Davis mendakwa dia mengembara ke masa silam dari tahun 2200.

Davis turut membuat pendedahan tidak masuk akal apabila mendakwa usia sebenarnya adalah 103 tahun.

Bagi mengukuhkan dakwaannya, Davis turut membawa beberapa pil yang didakwanya sebagai makanan yang dibekalkan kerajaan.

Katanya, pil tersebut membantu manusia di masa depan hidup sehingga melebihi 200 tahun.

"Anda hanya perlu menelan sebiji pil untuk kenyang selama seminggu. Ia dibekalkan setiap bulan oleh kerajaan," katanya.

Tambah Davis lagi, semua makanan di masa depan boleh didapati secara  percuma sekali gus menamatkan krisis kebuluran dunia.

"Di masa depan bandar dibina di dalam laut. Namun pemanasan global dan lebihan populasi penduduk bumi, memaksa manusia berpindah ke planet Marikh," katanya.

Bulan lalu, seorang pemuda mendakwa mengembara ke masa sila dari tahun 2030.

Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Noah itu turut mendedahkan Presiden Donald Trump berjaya mempertahankan jawatannya dalam Pilihan Raya Presiden AS pada tahun 2020. 

- Sunday Express/Sinar

Friday, 16 March 2018

Allah mendengar doa saya – Uji Rashid

UJI RASHID bersama anaknya, Cico dan cucunya, Rindu Nurfitrah
UJI RASHID bersama anaknya, Cico dan cucunya, Rindu Nurfitrah Al-Rashid (kiri) dalam satu pertemuan dengan Utusan Malaysia di ibu negara, semalam.
KUALA LUMPUR 15 Mac – Bukan sekali dua, bahkan sejak 1990 sudah berpuluh kali seniwati ter­kenal, Uji Rashid berpindah rumah sewa hanya kerana kesempitan hidup yang dilaluinya.
Air matanya sudah kering me­­ngenangkan nasib yang me­nim­pa­nya, namun Uji atau nama sebenarnya, Fuziah Haroun Al-Rashid tidak pernah kesal atau menyalahkan takdir, sebaliknya, sentiasa berusaha untuk me­ngubah masa depannya.
Dalam masa sama, Uji sentiasa percaya ada hikmah yang menanti di sebalik dugaan hidup yang dilaluinya.
Lalu, kurniaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepadanya disambut penyanyi yang popular dengan lagu Semakin Hari Semakin Sayang itu dengan penuh syukur dan terharu.
“Allah mendengar doa saya. Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak yang membantu saya mendapatkan rumah PPR. Alhamdulillah ada tempat untuk berlindung dan saya tidak perlu bimbang pada setiap bulan untuk memikirkan sewa rumah yang perlu dibayar,” ujar­nya dalam satu pertemuan dengan Utusan Malaysia di sini hari ini.
Penghibur yang pernah me­nempa kemasyhuran sekitar era 1970-an menjadi perhatian media dan peminat sebaik berita mengenai permohonannya untuk mendapatkan rumah PPR diterima dan diserahkan sendiri oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar menjadi tular semalam.
Lebih menyentuh perasaan ialah apabila Uji diminta keluar dari rumah sewanya di Ampang, Selangor dalam masa terdekat kerana tidak dapat melunaskan sewa bulanan.
Kata Uji, kurniaan rumah PPR dengan bayaran bulanan yang rendah itu sudah cukup besar buatnya memandangkan selama ini, dia dan anaknya melalui kehidupan yang sangat sederhana.
“Ini rumah mampu milik dan sa­ya sangat-sangat beruntung dan bersyukur kerana dapat memilikinya. Saya tak mampu nak beli rumah besar atau banglo mewah,” katanya penuh jujur.
Melalui hidup yang sukar termasuk membesarkan anak tunggalnya, Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin atau Cico, 39, selama lebih tiga dekad, Uji meluahkan rasa terkilan apabila segelintir pihak tidak pernah cuba untuk mendasari bagaimana beliau berjuang meneruskan kehidupan.
“Artis dipersalahkan dan dibidas dengan pelbagai tuduhan apabila kami melalui saat yang susah. Saya tidak mengharapkan apa-apa simpati, sebaliknya, saya sangat gembira jika orang ramai cuba meletakkan diri mereka ke tempat saya.
“Orang ramai tidak tahu bagaimana susah payah saya berusaha mencari rezeki, tetapi tidak selalu nasib menyebelahi saya. Namun begitu, saya tidak pernah rasa kesal kerana saya sentiasa percaya pada kebesaran Allah. Mungkin ada sebab kenapa saya tidak diberi kekayaan seperti orang lain,” ujar Uji lagi.

-Utusan


Akibat tengok handphone terlalu lama



PEKERJA migran terpaksa menjalani pembedahan untuk membuang darah beku di kepala gara-gara menghabiskan masa menggunakan telefon selama 20 jam tanpa henti.
Menurut portal berita Kankan News, wanita berusia 47 tahun itu cuba mengisi kebosanan ketika menempuh perjalanan panjang dalam kereta api dari rumahnya di wilayah Henan ke Guangzhou.
Disebabkan penumpang terlalu ramai dan sukar untuk bergerak, dia hanya baring secara mengiring sebelum pengsan ketika turun dari kereta api dan dikejarkan ke hospital.
Berdasarkan imbasan CAT, doktor menemui beberapa darah beku di dalam otak sebelum melakukan pembedahan yang mengambil masa tiga jam.
“Kami mengeluarkan hampir dua sentimeter (cm) darah beku dari otaknya, iaitu sekali ganda daripada apa yang biasanya dialami oleh pesakit lain.
“Kami merasakan dia berada dalam posisi sama terlalu lama, sekali gus menekan salur darah bahagian kanan lehernya,” kata Pakar Neurologi Hospital Jinan University, Guangzhou, Dr Meng Heng.

-Metro

Aduh, mataku...



BUDAK lelaki di bandar di timur China terpaksa dikejarkan ke hospital akibat satu kemalangan ganjil apabila kelopak matanya tersangkut pada zip jaket yang dipakainya.
Budak lelaki yang tinggal di Suzhou di wilayah Jiangsu itu dilaporkan sedang memakai jaket tetapi secara tidak sengaja zip pakaian berkenaan tersangkut di kelopak matanya.
Portal Huanqiu.com melaporkan, ibu bapa kanak-kanak itu segera membawa mangsa ke Hospital Universiti Soochow pada pagi 12 Mac lalu.
Dr Liu Xiang memberitahu, dia terpaksa meminta bantuan bomba untuk memotong jaket berkenaan bagi menyelamatkan kanak-kanak itu.
Anggota bomba meminta kanak-kanak itu bertenang ketika mereka menggunakan beberapa playar kecil untuk membuka zip berkenaan.
Selang beberapa minit anggota bomba akhirnya berjaya membuka zip berkenaan dan Liu terus merawatnya.

-Metro

Wednesday, 14 March 2018

Lelaki kerat isteri 'syaitan'

Lelaki kerat isteri 'syaitan'
Orlando Estrera (kanan) bersama Ketua Superintendan Guillermo Eleazar, ketika temubual pada 12 Mac 2018. - Foto: Philippine Daily Inquirer

QUEZON CITY -  Seorang lelaki membunuh dan mengerat anggota badan isterinya kerana percaya wanita itu adalah syaitan.
Orlando Estrera, 43, turut menyiat kulit muka, mengorek biji mata serta memakan sebahagian otak isterinya setelah menghentak kepala wanita itu dengan tukul.
Estrera percaya isterinya Heidi, adalah syaitan yang mesti dibunuh untuk menyelamatkan semua orang.
Lelaki itu juga tergamak membelah perut isterinya kerana mengesyaki wanita itu mengandungkan anak syaitan.
"Suspek akan menjalani pemeriksaan psikologi dan psikiatri bagi menentukan tahap mentalnya," kata Ketua Superintendan Guillermo Eleazar, Pengarah Polis Kota Quezon (QCPD) yang menambah bahawa Estrera menghadapi tuduhan membunuh ahli keluarga.
"Estrera tidak memperlihatkan sebarang penyesalan dan dia amat berbahaya kepada masyarakat," tambah Eleazar. 

- Philippine Daily Inquirer/Asia News Network/Metro

Payudara sarang cacing pita



Beijing: Seorang wanita yang patuh arahan dukun tempatan yang mencadangkannya makan katak hidup bagi memulihkan sakit kakinya, terkejut apabila mendapati cacing pita sepanjang 13 sentimeter bersarang dalam payudaranya.
Menurut laporan media China, wanita dari Jiaqing, wilayah Zhejiang, dikenali sebagai Yao, 59, dinasihatkan makan katak hidup oleh tabib pada 2013 bagi memulihkan kebas dan rasa berbisa pada sendi serta kakinya.
Menurut South China Morning Post, selepas mematuhi arahan berkenaan, derita wanita itu semakin teruk kerana berasa sakit di bahagian lain, termasuk lenguh di perut, payudara serta mata.
Baru-baru ini, wanita itu mendapatkan pemeriksaan di hospital selepas ada benjolan pada payu daranya.
Portal Kankanews.com melaporkan, doktor memutuskan membedah benjolan pada payudara wanita itu dan mereka menemui cacing pita di dalamnya.
Parasit berukuran 13 sentimeter itu daripada spesies yang lazimnya ditemui dalam usus kucing serta anjing, namun amat jarang dijumpai pada manusia.
Doktor menjangka ia masuk ke dalam tubuh wanita itu melalui daging katak yang mengandungi telur cacing berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

-Metro