Wednesday, 14 March 2018

Payudara sarang cacing pita



Beijing: Seorang wanita yang patuh arahan dukun tempatan yang mencadangkannya makan katak hidup bagi memulihkan sakit kakinya, terkejut apabila mendapati cacing pita sepanjang 13 sentimeter bersarang dalam payudaranya.
Menurut laporan media China, wanita dari Jiaqing, wilayah Zhejiang, dikenali sebagai Yao, 59, dinasihatkan makan katak hidup oleh tabib pada 2013 bagi memulihkan kebas dan rasa berbisa pada sendi serta kakinya.
Menurut South China Morning Post, selepas mematuhi arahan berkenaan, derita wanita itu semakin teruk kerana berasa sakit di bahagian lain, termasuk lenguh di perut, payudara serta mata.
Baru-baru ini, wanita itu mendapatkan pemeriksaan di hospital selepas ada benjolan pada payu daranya.
Portal Kankanews.com melaporkan, doktor memutuskan membedah benjolan pada payudara wanita itu dan mereka menemui cacing pita di dalamnya.
Parasit berukuran 13 sentimeter itu daripada spesies yang lazimnya ditemui dalam usus kucing serta anjing, namun amat jarang dijumpai pada manusia.
Doktor menjangka ia masuk ke dalam tubuh wanita itu melalui daging katak yang mengandungi telur cacing berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

-Metro

Tuesday, 13 March 2018

Mayat bayi diawet dalam botol



PIHAK berkuasa Tokyo menyiasat penemuan misteri beberapa mayat bayi yang ditemui diawet di dalam botol kaca dengan sebahagian lengkap dengan tali pusat di rumah, di Tokyo.
Menurut agensi berita Kyodo, hari ini, mayat bayi itu ditemui pekerja penghapus anai-anai di rumah yang diubahsuai.
Menurut laporan itu, tiga atau empat botol yang mengandungi mayat bayi itu ditemui di bawah lantai rumah yang ditinggalkan selama tiga tahun.
Seorang pakar obstetrik dipercayai tinggal di rumah berkenaan sebelum ia tinggalkan dan kini diubahsuai oleh pemilik barunya.
Mayat bayi yang ditemui itu dipercayai direndam dalam cecair Formaldehyde, sejenis bahan kimia yang digunakan untuk mengawet.

-Metro

Monday, 12 March 2018

Penduduk pasung datuk bandar

Penduduk pasung datuk bandar
Delgado dipasung selama sejam oleh penduduk yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatannya.

SUCRE - BOLIVIA. Penduduk bandar di San Buenaventura di utara Bolivia mempunyai cara tersendiri bagi 'mengajar' ahli politik yang gagal memberikan perkhidmatan terbaik.

Baru-baru ini penduduk bandar itu bertindak memasung Datuk Bandar, Javier Delgado selama sejam kerana tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang dilaksanakan.

Gambar Delgado yang dipasung kakinya dengan dikelilingi penduduk yang marah telah tular di media sosial dan laman berita di Amerika Selatan sejak hujung bulan lalu.

Pada 25 Februari lalu, Delgado sepatutnya merasmikan sebuah jambatan yang dibina menggunakan dana majlis perbandaran dan kerajaan namun apabila tiba di kawasan terbabit orang ramai yang hadir bukannya untuk menyaksikan upacara itu sebaliknya mahu ‘mengajar’ beliau.

Seorang penduduk bandar itu, Daniel Salvador melalui Radio Fides, Delgado dihukum kerana tidak memenuhi tanggungjawabnya, menipu dan tidak meletakkan masyarakat setempat sebagai keutamaan ketika diminta untuk melakukannya.

Ini merupakan hukuman ketiga menerusi hak keadilan sosial buat Delgado sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Datuk Bandar dengan kali pertama beliau telah dipasung beberapa bulan selepas memegang jawatan itu.

Hukuman kali kedua berlaku apabila penduduk setempat mengambil alih pejabatnya selama dua bulan dan Delgado yang bimbang tentang keselamatannya terpaksa melarikan diri ke bandar berdekatan sehinggalah Suruhanjaya Pihak Berkuasa Penduduk Tempatan berjaya menyelesaikan konflik berkenaan.

Seperti masyarakat tempatan lain di Bolivia, penduduk San Buenaventura melaksanakan pentadbiran bandar menerusi tiga prinsip asas iaitu ‘tidak boleh malas, tidak boleh menipu dan tidak boleh menjadi pencuri’ malah peraturan itu telah termaktub dalam perlembagaan negara sejak 2009.

 - Oddity Central/Sinar

Guna bom mortar sebagai mainan seks

Guna bom mortar sebagai mainan seks
Pasukan penyiasat mengambil sampel bukti di kediaman suspek. Gambar kecil: Bom mortar yang digunakan sebagai alat mainan seks pasangan suami isteri tersebut.

LIMA- PERU. Seorang wanita di Peru maut selepas suaminya dipercayai menggunakan bom mortar sebagai alat mainan seks selepas pasangan itu minum hingga mabuk.

Ruben Valera Cornejo memberitahu polis di Arequipa, isterinya, Yubitza Llerena telah memintanya menggunakan objek dari rumah mereka ketika mereka mahu mengadakan hubungan intim.

Valera Cornejo yang ditahan atas kesalahan membunuh mendakwa dia tidak dapat mengingati apa yang telah berlaku.

Menurutnya, dia tertidur dan hanya mendapati isterinya tidak responsif selepas dia tersedar dari tidur.

Pegawai penyiasat memberitahu mereka menemui mortar dengan kesan darah dalam beg tangan wanita itu bersama alat mainan seks lain.

Ketua polis Javier Arana dalam satu kenyataan lain berkata, mortar tersebut berukuran 40 sentimeter (sm) panjang dan kira-kira 6 sm lebar itu dipercayai sudah tidak aktif dan dijadikan sebagai barang perhiasan.

"Kami turut menemui ubat tahan sakit yang digunakan mangsa," ujarnya.

Sementara itu, bapa mangsa, Washington Llerena menegaskan Valera Cornejo wajar dihukum penjara setelah apa yang dilakukan terhadap anaknya.

"Saya akan terus menuntut bela hingga mendapat pengadilan sepatutnya," katanya. 

- Daily Mail/Sinar

Wednesday, 7 March 2018

Alahai dunia; Ribuan lelaki serbu hotel

Beijing: Gara-gara mahu menarik ramai pengikut di media sosial, seorang wanita di China ditangkap apabila mencetuskan kekecohan selepas menawarkan perkhidmatan seks percuma di sebuah hotel di Sanya, Pulau Hainan.
Wanita itu menjadi takut apabila kira-kira 3,000 lelaki tidak berhenti-henti datang ke hotel penginapannya, malah ada yang berkumpul di depan hotel sebelum memuat naik status baru di Weibo (Twitter versi China) memberitahu dia hanya bergurau dan merayu orang ramai tidak mencarinya lagi.
Susulan kekecohan itu, polis menahan wanita berkenaan yang dikenali sebagai Miss Ye, 19, selepas menerima laporan daripada hotel dan dia disiasat kerana disyaki mengiklankan khidmat pelacuran.
Daily Mal yang memetik laporan portal berita ifeng.com melaporkan, kejadian berlaku di Teluk Haitang, pulau Hainan, di selatan China.
Miss Ye dilaporkan memuat naik status pada 1 Mac lalu, berbunyi: “Siapa mahu mendapatkan saya.. untuk seks secara percuma.”
Dia turut menyatakan nama hotel dan nombor bilik 6316 dalam status berkenaan.
Tidak lama selepas dia memuat naik status berkenaan, ratusan lelaki datang mengetuk pintu biliknya, manakala ribuan lagi berkumpul di luar hotel.
Ramai pengguna media sosial turut memuat naik video dan gambar mereka berkumpul di hotel itu serta beratur di bilik 6316.
Miss Ye yang ketakutan segera memadamkan status berkenaan sebelum meminta bantuan pengawal hotel untuk mengiringnya keluar dan menaiki teksi ke lapangan terbang.
Polis memberitahu, wanita berasal dari Shanghai itu ditahan di sebuah hotel di Lapangan Terbang Antarabangsa Sanya Phoenix .
Ketika soal siasat, Miss Yee mengaku dia sengaja memuat naik status itu untuk menarik ramai pengikut di laman sosialnya yang kini ditutup selepas kejadian berkenaan.

-Metro

Tuesday, 6 March 2018

Pengunjung zoo maut dibaham harimau

 Pengunjung zoo maut dibaham harimau

ZHEJIANG - CHINA . Seorang pengunjung zoo maut dibaham harimau selepas dia terjatuh ke dalam kandang haiwan pemangsa itu dalam kejadian mengemparkan netizen China, minggu ini.

Kejadian ngeri di Zoo Youngor di barat bandar Ningbo itu, turut disaksikan anak dan isteri mangsa.

Saksi berkata, mangsa terjatuh ke dalam kandang harimau Siberia itu selepas memanjat  jambatan bagi mengelak tiket bayaran masuk berjumlah RM80.

Isteri dan anaknya bagaimanapun telah membayar tiket tersebut.

Dalam satu rakaman video yang tular di media sosial, mangsa dapat dilihat cuba melawan sekumpulan harimau yang meluru ke arahnya.

Pengunjung lain serta petugas zoo cuba menyelamatkan lelaki tersebut dengan membakar mercun, namun gagal.

Menurut pihak berkuasa, petugas terpaksa menunggu hampir sejam untuk membawa keluar mayat mangsa.

Susulan kejadian itu, zoo terbabit menggantung operasinya sehingga siasatan selesai.

 - metro.uk/Sinar

Anak jutawan, ibu gelandangan



IBU kepada bintang muda kelab bola sepak Arsenal, Ainsley Maitland-Niles mendakwa hidup gelandangan dengan tidur di stor sejuk beku, sementara anaknya tinggal di apartmen berharga £700,000 (RM3.8 juta).
Jule Niles, 38, memberitahu Daily Mail, anaknya yang menerima gaji £30,000 (RM161,966) seminggu enggan menjadi penjamin untuk membolehkan dia menyewa sebuah flet.
Sementara Maitland-Niles, 20, bersama adiknya, Cordi tinggal di rumah mewah, Jule terpaksa mencuri-curi masuk ke gudang Big Yellow Storage untuk tidur di dalam sebuah tempat penyejuk yang tidak digunakan.
Dia juga menyambut Krismas di tempat yang sejuk itu seorang diri dan makan malam di sebuah pusat untuk gelandangan berhampiran.
Jule memberitahu, dia mula tinggal di kotak besi itu sejak tiga bulan lalu selepas hubungan dengan pemain tengah bernilai £15 juta (RM81 juta) terbabit mula regang.
“Anak saya boleh membelikan saya sebuah rumah flet dengan dua minggu atau dua bulan gajinya.
“Bagaimanapun, apabila wang menguasai dirinya, saya berada di kedudukan ini.
“Anak saya bermain untuk Arsenal, sementara saya pula tidak berumah dan tinggal di dalam tempat penyimpanan barang,” jelasnya.

-Metro

Monday, 5 March 2018

'Isteri tak masak bukan kekejaman'



LELAKI gagal menceraikan isterinya atas alasan wanita itu sering bangun lambat dan tidak pandai masak.
Mahkamah Tinggi Bombay mempertahankan perintah Mahkamah Keluarga sebelum ini menolak permohonan lelaki berkenaan yang mendakwa perbuatan isterinya itu satu kekejaman yang mewajarkan supaya dia diceraikan.
Dalam permohonannya, lelaki terbabit mendakwa isterinya marah dan bertindak ganas jika dia dan ibu bapa cuba mengejutkannya daripada tidur pada awal pagi. Dia juga mendakwa isterinya tidur sebaik pulang dari pejabat pada 6 petang dan cuma mula masak pada 8.30 malam.
Bagaimanapun, alasannya itu tidak diterima mahkamah yang menganggap tidak adil kerana isteri terbabit sudah cukup terbeban.
“Si isteri juga bekerja, tetapi dibebankan lagi dengan semua kerja rumah termasuk urusan membeli barang dapur, masak untuk suami dan keluarga mentua selain mengemas.
“Sukar untuk mempercayai si isteri sering mendera dan mengancam suami serta mentuanya. Perbuatannya gagal memasak apabila suami pulang lewat tidak boleh dianggap kekejaman.
“Malah kami bersetuju tindakan hakim Mahkamah Keluarga mengkritik suami berkenaan kerana menganggap isterinya patut menawarkan segelas air setiap kali dia tiba di rumah,” kata mahkamah.

-Metro

Friday, 2 March 2018

Petani maut dipijak gajah

Petani maut dipijak gajah
Mangsa maut selepas dipijak dan dihempas gajah liar terbabit. Foto: Mirror

NEW DELHI - INDIA. Malang bagi seorang lelaki apabila tindakannya menghalau seekor gajah liar membawa padah, apabila dia maut dipijak mamalia berkenaan.

Kejadian berlaku di sebuah perkampungan terpencil di negeri Karnataka di selatan India, semalam.

Mangsa dan penduduk kampung sebelum itu dilihat melempar pelbagai objek ke arah gajah berkenaan, selepas ia menceroboh dan merosakkan ladang padi berhampiran.

"Gajah itu naik minyak selepas penduduk membakar mercun untuk menghalau ia masuk semula ke kawasan hutan.

"Ia kemudian bertindak balas dengan mengejar penduduk. Mangsa gagal menyelamatkan diri dan mati akibat dipijak dan dihempas gajah terbabit," kata saksi.

Mangsa dikenali sebagai Krishnappa berusia 56 tahun.

Insiden serangan itu sempat dirakam penduduk dan tular di media sosial. - Mirror/Sinar

Sumbat bebola kaca



Beijing: Seorang lelaki di China menanggung malu apabila terpaksa pergi ke hospital untuk mendapatkan bantuan selepas bebola kaca selebar 7.62 sentimeter tersekat di dalam duburnya.
Kejadian itu berlaku di Dongguan, Wilayah Guangdong baru-baru ini apabila lelaki dikenali sebagai Xiao Ming, 31, pergi ke hospital kerana mengalami sakit perut yang teruk selepas objek itu tersekat di rektum selama tujuh jam.
Doktor kemudian membuat ujian X-ray di perutnya dan terkejut apabila mendapati objek bulat tersekat di bahagian rektumnya.
Guangdong Public Channels melaporkan, doktor berjaya melakukan pembedahan untuk menolak objek itu ke lubang duburnya dan mengeluarkannya menggunakan forsep dalam tempoh sejam.
Seorang doktor memberitahu, dia menggunakan alat untuk memeriksa bahagian dalam perut lelaki itu sebelum menggunakan tangannya untuk menekat perut bagi menolak objek besar itu.

BEBOLA kaca selebar 7.62 sentimeter yang berjaya dikeluarkan oleh doktor. -Guangdong Public Channels
Jelasnya, pesakit gagal mengeluarkan bebola itu kerana ia terlalu besar dan dia mungkin berdepan kejutan septik dan berdepan risiko usus berlubang jika lambat mendapatkan rawatan.
Xiao Ming memberitahu doktor, dia mempunyai ketagihan memasukkan objek ke dalam duburnya tetapi biasanya dia boleh mengeluarkannya semula.
Bagaimanapun kali ini, dia gagal mengeluarkan objek itu kerana ia terlalu besar.

-Metro