Friday, 21 October 2016

Tangan ketiga di belakang badan

Tangan ketiga di belakang badan

KANAK-KANAK lelaki ini mempunyai tiga tangan sejak dilahirkan dengan tangan yang ‘terlebih’ itu tumbuh di belakang badannya!

Begitulah keadaan pelik oleh Gaurab Garum, 2, berasal di sebuah perkampungan kecil di Nepal yang mengikut kajian doktor, tangan ketiga Garum itu akan semakin memanjang mengikut usianya.

Akibat mempunyai tangan di belakang badan, anak kepunyaan Kalpena dan Ashish ini kini hidup dalam keadaan derita kerana sukar tidur dengan lena malahan terpaksa memerlukan kerusi roda bagi memudahkan pergerakannya.

Memetik laporan China Press, doktor juga memberi peringatan tangan ketiga Garum itu tidak boleh dipotong, jika tidak, kanak-kanak itu akan lumpuh sepanjang hayat.

Difahamkan, punca tangan boleh ‘terletak’ di belakang Garum itu sebenarnya adalah milik kembarnya yang meninggal dunia akibat pra matang.

-Sinar

Thursday, 20 October 2016

Putera Arab Saudi jalani hukuman mati




Riyadh: Arab Saudi menyatakan ia sudah melaksanakan hukuman mati terhadap seorang putera kerabat diraja negara itu yang didapati bersalah menembak mati seorang lelaki ketika pergaduhan - pelaksanaan hukuman mati yang boleh dianggap jarang berlaku membabitkan kerabat diraja.
Menurut Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi hari ini, pelaksanaan hukuman mati terhadap Putera Turki bin Saud bin Turki bin Saud al-Kabeer itu dilakukan di Riyadh namun tidak menyatakan kaedah hukuman.
Pelaksanaan hukuman mati di Arab Saudi biasanya ialah dipancung di khalayak ramai.
Kenyataan itu juga memberi amaran kepada sesiapa yang melakukan jenayah terbabit, hukuman Syariah menanti mereka.
Arab Saudi mencatat pelaksanaan hukuman mati tertinggi di dunia namun pelaksanaan hukuman itu membabitkan kerabat diraja amat jarang dengan kali terakhir pada 1975 apabila Faisal bin Musaid bin Abdulaziz Al Saud dipancung kerana membunuh Raja Faisal.

-Metro

Tuesday, 18 October 2016

Penagih dikhuatiri makan abu mayat


Brockton (Amerika Syarikat): Seorang wanita yang abu mayat ibunya dicuri dari keretanya bimbang seorang penagih mencuri dan memakannya kerana menyangka ia dadah.
Carolyn Parker memberitahu akhbar The Enterprise of Brockton, abu itu berada di dalam beg plastik yang dimasukkan ke dalam kotak kecil putih dan diletakkan di dalam kereta.
Abu itu dicuri dari keretanya awal semalam.
Menurut Carolyn, pencuri itu hanya mengambil abu berkenaan dan tidak mengusik barangan berharga lain, termasuk cermin mata berjenama, wang syiling dan rantai emas.
Ibunya mati Julai lalu pada usia 71 tahun dan Carolyn membawa abu itu di dalam kenderaannya untuk menaburkannya di tempat kegemaran mendiang.
“Agak menyeramkan apabila saya terbayang ada orang yang memakan abu itu,” katanya.
Dia meminta pencuri terbabit menyerahkan semula abu itu dan berjanji tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadapnya. 

- Agensi/Metro

Monday, 17 October 2016

Pencuri dalam mesin basuh pinggan



Glogow: Tindakan seorang pencuri untuk menyembunyikan diri gagal selepas polis berjaya menemuinya dalam mesin basuh pinggan mangkuk.
Polis menyerbu sebuah rumah di Glogow, barat daya Poland, selepas mendapat maklumat lelaki berusia 30 tahun yang dikehendaki kerana satu kes curi berada di rumah berkenaan.
Dia tidak membuka pintu apabila polis tiba di premis itu, lapor akhbar Gazeta Lubuska.
Sebaliknya, lelaki berkenaan melompat ke tingkat bawah rumah itu dan bersembunyi di dalam mesin pasuh pinggan.
Video yang viral menunjukkan polis membuka beberapa almari di dapur yang gelap, sebelum mereka membuka mesin membasuh pinggan dan menemui lelaki itu di dalamnya.
Polis berkata, lelaki itu mabuk ketika ditangkap.
Ini bukan kali pertama mesin basuh pinggan mangkuk menjadi tempat persembunyian.
April lalu, seorang banduan melarikan diri ketika dirawat di sebuah hospital di Texas, Amerika Syarikat.
Setelah puas mencarinya, polis akhirnya menemui lelaki berkenaan dalam mesin basuh pinggan di apartmen teman wanitanya.

 - Agensi/Metro

Friday, 14 October 2016

Tiada lagi waktu solat



Beijing: China mengharamkan ibu bapa dan penjaga di Xinjiang, wilayah paling ramai umat Islam di negara itu daripada menggalak anak mereka melakukan aktiviti keagamaan.
Akhbar Xinjiang Daily melaporkan, kerajaan menguatkuasakan peraturan pelajaran baru bermula 1 November depan, bermakna mereka yang menggalak atau memaksa anak mereka melakukan aktiviti keagamaan seperti solat, termasuk di sekolah, akan dilaporkan kepada polis.
Ia lanjutan daripada arahan mengharamkan lelaki Islam di wilayah itu berjanggut dan wanita menutup rambut.
China mendakwa hak asasi, undang-undang dan budaya Muslim di Xinjiang dilindungi sepenuhnya.
Bagaimanapun, sebahagian besar etnik Uighur yang mewakili penduduk Islam wilayah itu berkata, mereka semakin ditindas oleh pihak berkuasa China, termasuk dikenakan sekatan ekonomi.
Pada April 2014, Global Times melaporkan, pegawai di Xinjiang menawarkan hadiah sehingga 50,000 yuan (RM31,000) kepada mereka yang membuat laporan kepada polis mengenai kegiatan pemisah Islam, termasuk memelihara janggut.
Pada 2015 pula, Radio Free Asia melaporkan, imam di Kashgar, sebuah daerah di Xinjiang, dipaksa memberitahu anak mereka, solat itu berbahaya untuk jiwa dan mengisytiharkan, rezeki datang daripada Parti Komunis China, bukan daripada Allah.

-Metro

Thursday, 13 October 2016

Guna Facebook Live siar bunuh diri





Istanbul: Seorang pemuda berusia 22 tahun yang dipercayai putus cinta, menyiarkan secara langsung aksinya membunuh diri melalui Facebook, Isnin lalu.
Video Erdogan Ceren membunuh diri menggunakan senapang patah dipercayai disiarkan secara langsung dari bilik tidur di rumahnya di Duzici, wilayah Osmaniye.
Daily Mail melaporkan dalam video itu, Erdogan yang kelihatan tertekan memberitahu dia mahu membunuh diri kerana terlalu kecewa selepas ditinggalkan kekasihnya sambil menunjukkan selaras senapang patah dan memberitahu akan menembak dirinya.
“Tiada siapa percaya bila saya beritahu mahu membunuh diri. Jadi lihatlah ini,” katanya.
Dia kemudian menghalakan muncung senapang patah itu ke dadanya lalu menarik picu namun senjata itu tidak meletup.
Bagaimanapun, pada cubaan kedua senapang itu meletup dan kamera tiba-tiba menjadi gelap dipercayai terjatuh.
Selama beberapa saat kedengaran Erdogan bernafas kuat sebelum terhenti.
Sepanjang video itu disiarkan pengguna media sosial berusaha memujuk Erdogan supaya membatalkan niat namun tidak diendahkan.
Media Turki melaporkan keluarganya terdengar tembakan itu sebelum menemuinya dan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.

-Metro

Wednesday, 12 October 2016

Empat anak tak mahu jaga ibu


Beijing Seorang wanita berusia 73 tahun terpaksa mengambil tindakan undang-undang terhadap empat anaknya yang enggan menjaganya.
Kes itu dibicarakan di tempat terbuka di sebuah ladang di Pengzhou di Scihuan, wilayah selatan China baru-baru ini, lapor akhbar People’s Daily Online.
Ketika perbicaraan, wanita berkenaan menuntut dia tinggal dengan anak sulungnya selain meminta setiap empat anaknya memberikan 100 yuan (RM62) dan 30 kilogram beras kepadanya setiap bulan.
Katanya, dia terpaksa tinggal di sebuah kuil lama sejak suaminya mati pada 2010.
Wanita itu juga meminta mahkamah mengarahkan anak sulungnya mengerjakan tanahnya.
Bagaimanapun, dalam perbicaraan yang berlangsung dengan hangat itu, keempat-empat anak gagal mencapai kata sepakat. Mereka bersetuju untuk memberikan wang kepada wanita itu setiap bulan, tetapi tidak mahu dia tinggal bersama mereka. 

- Agensi/Metro


Tuesday, 11 October 2016

Mumia 'bersuara'

Rome: Selepas mati 5,300 tahun lalu, mumia dikenali sebagai Ötzi the Iceman akhirnya mampu ‘bersuara.’
Menggunakan imbasan CT, sekumpulan sainitis berjaya mencipta semula suara lelaki kuno itu yang garau.
Pasukan berkenaan berjaya mencipta semula pita suara, tekak dan mulutnya, seterusnya membolehkan mereka menghasilkan bunyi vokal Ötzi secara digital. Suaranya dianggarkan mempunyai frekuensi antara 100 hertz hingga 150 hertz iaitu sama seperti lelaki biasa hari ini.
Ketua penyelidik dan pakar laringologi di Hospital San Maurizio, Bolzano, Rolando Füstös berkata: “Kami tidak dapat mengatakan berjaya menghasilkan semula suara Ötzi kerana masih ada maklumat penting daripada mumia itu yang gagal diperoleh.
“Namun, dengan dua ukuran panjang saluran vokal dan pita suara, kami berjaya menghasilkan semula bunyi yang dianggarkan hampir serupa dengan suara asal mumia berkenaan.

-Metro

Aduh, sakit, ngilu....

London: Tidak dapat dipastikan bila kejadian ini berlaku namun video yang dimuat naik di media sosial agak melucukan apabila seorang lelaki dipercayai di China, berjalan sambil membawa kura-kura bagi mendapatkan bantuan kerana haiwan itu menggigit kemaluannya dari luar seluar dan tidak mahu melepaskannya.
Dalam rakaman video itu, kura-kura berkenaan dilihat menggigit bahagian depan seluar lelaki berkenaan menyebabkan mangsa terpaksa mengikatnya bagi membolehkan diangkat, memudahkan dia berjalan.
Tidak dapat dipastikan bagaimana kejadian itu boleh berlaku kerana tiada cerita bersama video yang dimuat naik.
Namun, kura-kura itu jenis yang diternak di China untuk dimakan.


https://youtu.be/SCif_lYfpzw

-Metro

Monday, 10 October 2016

Hidung bernilai RM25.8j



London: Hidung seorang pakar menghidu keju di sini, diinsuranskan dengan nilai £5 juta (RM25.8 juta) selepas dia mendapat kerja sebagai mencium dan merasa keju cheddar.
Diane Cox, 48, baru memulakan pekerjaan sebagai pakar penilai keju di Wyke Farms, sebuah syarikat pembuat keju terkemuka di Somerset, Britain. Syarikat berusia 155 tahun itu membekalkan 15,000 tan cheddar setahun ke seluruh Britain dan 160 negara lain.
Dia perlu menggunakan kemahiran menghidu ketulan keju mentah yang sudah cukup sesuai untuk dijadikan keju cheddar terbaik dan kebolehannya itu menyebabkan syarikat bersedia membayar premium £25,000 (RM129,000) setahun kepada syarikat insurans Lloyd’s di London sebagai insurans hidungnya.
Diane berkata, dia sentiasa berhati-hati menjaga hidungnya dan memastikan dia tidak diserang selsema.
“Saya mempunyai deria bau yang baik dan menyedarinya sejak kecil. Saya amat berhati-hati mengelak dijangkiti penyakit dan sentiasa menjaga kesihatan dan kecergasan kerana tidak mahu sebarang masalah yang akan menjejaskan deria bau atau rasa,” kata Diane.
Diane perlu memakan lebih 230 gram cheddar dalam masa empat hari seminggu atau 83 kilogram setahun.
“Saya memang sukakan keju,” kata Diane

-Metro