Wednesday, 11 March 2015

Enam jahitan padah menjeling

Ampang: Seorang pemandu teksi menerima enam jahitan di kepala selepas diserang lelaki di hadapan kediamannya di Pandan Indah, di sini, hanya kerana dituduh menjeling teman wanita suspek.

Dalam kejadian jam 11.30 malam Ahad lalu, lelaki berusia 28 tahun itu ketika itu berada di luar rumah dan terpandang pasangan kekasih itu yang wanita terbabit juga jirannya.

Menurutnya, menyedari mangsa memerhatikan mereka tiba-tiba teman lelaki jirannya itu terus datang ke arahnya dan memaki hamun mangsa selain mengajaknya bergaduh selepas dituduh menjeling teman wanitanya. “Mangsa tidak mengendahkan suspek dan terus masuk ke dalam rumah bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku.

“Beberapa minit kemudian dia keluar semula untuk menutup pintu pagar, namun suspek tiba-tiba meluru dan memukulnya di kepala dengan pengunci stereng kereta,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Khairuldin Saad mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

 - See more at: http://www.hmetro.com.my/node/36115#sthash.iPQSN210.dpuf

Tuesday, 10 March 2015

Bayi ditemui masih hidup selepas 12 jam kemalangan

UTAH, Amerika Syarikat – Seorang bayi perempuan masih hidup walaupun selepas terperangkap dalam cuaca sejuk selama 12 jam bersama mayat ibunya apabila kereta yang mereka naiki terhumban ke dalam sungai dari atas sebuah jambatan di sini.

Bayi berusia 18 bulan itu ditemui oleh seorang nelayan ketika dia menghampiri kereta yang terlibat dalam kemalangan tersebut sebelum menghubungi pihak polis.

Jurucakap Jabatan Polis Spanish Fork memberitahu, bayi yang dikenali sebagai Lily itu ditemui berada di tempat duduk belakang kereta tersebut, manakala ibunya, Lynn Jennifer Groesbeck, 25, sudah tidak bernyawa di kerusi pemandu.

"Kerusi kereta tidak terkena air sungai kerana kereta itu berada di atas tambak," katanya.

Keluarga Groesbeck dalam satu kenyataan memberitahu, ketika kejadian berlaku, wanita malang itu sedang memandu pulang ke rumahnya.

Pihak polis percaya bahawa kereta wanita itu terbabas ke tepi jambatan sebelum terjunam ke dalam sungai tersebut.

Lily yang kini dirawat di Hospital Primary Children dilaporkan berada dalam keadaan stabil tetapi masih memerlukan pemantauan rapi. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0310&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3Twb8ArI3
 

Monday, 9 March 2015

Mufti Perlis, Kazim Elias ahli panel forum

Kangar: Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin dan penceramah terkenal Datuk Kazim Elias bakal bersama-sama menjadi ahli panel di pentas forum perdana yang dijadualkan berlangsung Selasa ini.

Asri berkata, forum yang akan ditayangkan di TV Al-Hijrah Selasa ini akan membarisi beliau dan Ustaz Kazim serta Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) Datuk Dr Asyraf Wajdi sebagai moderator.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dilakukan ketiga-tiga mereka di sebuah restoran di sini, malam tadi.

Kazim berkata, pertemuan serta perbincangan yang dibuat itu juga memberi contoh kepada masyarakat Islam bahawa walaupun berbeza pendapat, umat Islam tidak seharusnya berpecah belah.

Katanya, perbincangan yang dilakukan dalam suasana harmoni itu mencerminkan Islam itu sendiri dan segala salah faham diselesaikan di meja perbincangan

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/35500#sthash.mg1FrQKz.dpuf

Penagih kokain bodoh

Ohio: Seorang lelaki ditangkap atas tuduhan berkait dengan dadah selepas dia menghubungi polis, mungkin kerana bingung, untuk melaporkan isterinya mencuri kokainnya. Robert Collins, 39, dari Alliance, Ohio, bertindak menghubungi polis kelmarin selepas isterinya mencuri dadah Kelas A itu.

Bagaimanapun, apabila polis tiba di rumahnya, mereka menemui paip yang digunakan untuk menghisap ganja dan Collins ditahan kerana gagal membayar kos mahkamah dalam satu kes sebelum ini.

Dalam rakaman perbualan yang disiarkan stesen televisyen Fox News 8 semalam, Collins kedengaran memberitahu anggota polis yang menjawab panggilan telefonnya: “Saya dan isteri bergaduh mengenai sesuatu yang saya beli. 

“Saya membeli kokain dan dia mahu mencurinya.” Dia kemudian kedengaran bingung, seolah-olah tidak tahu dengan siapa dia bercakap. Apabila penerima panggilan itu bertanyakan namanya, dia menjawab “Robert Collins. Siapa ini?”Pertanyaan itu dijawab: “Ini jabatan polis. ”Collins kemudian berkata: “Tidak.”Ketika polis tiba di rumahnya, Collins berubah fikiran dan enggan memberitahu sebab dia menelefon polis. - AFP

  - See more at: http://www.hmetro.com.my/node/35599#sthash.r60nzNwJ.dpuf

Friday, 6 March 2015

Tikam isteri suka berleter

Cirebon: Kerana tidak tahan dileteri, seorang lelaki, Supranadi, 32, menikam isterinya, Sri Meati, 39, sebelum dia menikam dirinya untuk membunuh diri.

Pasangan itu bagaimanapun berjaya diselamatkan selepas mereka dihantar ke hospital berhampiran oleh polis dan jiran.

Ketika disoal polis, Supranadi mengaku menikam isterinya kerana terlalu marah dengan tindakan Sri Meati yang setiap hari memaksa dia mencuci, memasak dan membersihkan rumah.

Kemarahannya semakin memuncak apabila Sri Meati memberitahu jiran sekeliling rumah bahawa dia akan berkahwin satu lagi.

“Saya tidak diperlakukan seperti manusia. Lelaki mana yang tidak marah apabila setiap hari dimarahi dan diherdik.

“Saya memberitahu dia, kalau seperti ini, lebih baik kita sama-sama mati,” katanya.

Supranadi berkata, dia menikam perut dan dada wanita yang menjadi isterinya sejak empat tahun lalu sebelum menikam dirinya tiga kali.

Sementara itu, Sri Meati berkata, dia bertengkar dengan suaminya sebelum kejadian kerana marah apabila Supranadi enggan menjaga anaknya dari suami dulu yang cedera dalam satu kemalangan.

“Saya meminta dia jaga anak saya. Dia enggan. Sebaliknya, lepas makan, dia tidur,” kata wanita itu.

Dalam pada itu, jiran yang mendengar jeritan Sri Meati selepas ditikam, memukul Supranadi dan mengheretnya keluar dari rumah itu sebelum dia diselamatkan polis. - Agensi/Metro

Thursday, 5 March 2015

Jururawat kaut untung jual seluar dalam polis

Nakhon Ratchasima: Polis Thailand menahan seorang jururawat kerana mencuri seluar dalam ramai kadet polis untuk dijual di Facebook.

Jurucakap polis berkata, sepasukan anggota keselamatan tempatan menyerbu sebuah bilik di Apartmen VS di daerah Muang.

Apabila diperiksa, mereka menemui lebih 300 helai seluar dalam milik kadet polis di premis berkenaan.

“Serbuan dibuat selepas kadet polis yang mengadu sering kehilangan seluar dalam,” katanya.
Ketua penyiasat, Narong Sawek berkata, polis mengesyaki seseorang yang menggunakan nama Aijorn Klubjai di Facebook sebagai dalang kecurian itu.

Kata Narong, Aijorn sering menawarkan seluar dalam terpakai lelaki di rangkaian sosial itu.
“Polis kemudian menyamar dan menghubungi Aijorn kononnya untuk membeli empat pasang seluar dalam dengan harga 500 baht (RM50).

“Selepas kami menerima kiriman daripada Aijorn, polis menjejakinya ke suatu alamat dan melakukan serbuan,” katanya.

Narong berkata, suspek mencuri seluar dalam ketika ia dijemur di kem latihan polis.
“Semua seluar dalam itu diiklankan di Facebook dengan tanda check-in bagi menjelaskan lokasi ia dicuri.

“Tindakannya itu menjadikan harga setiap seluar dalam itu lebih mahal,” katanya.

-Metro

Ada seorang pembeli sanggup membayar 3,000 baht (RM300) untuk 30 pasang seluar dalam curi itu.

Wednesday, 4 March 2015

Hakim berang pendakwa raya berat sebelah

Jeddah: Seorang hakim yang berang bertindak mengarahkan seorang lelaki yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengan seorang wanita dibebaskan.

Akhbar Okaz semalam melaporkan, hakim di sebuah mahkamah di sini naik berang selepas pendakwa raya hanya mahu mendakwa lelaki berkenaan.

Hakim berkenaan, Sheikh Mazin Sanadi berkata, keputusan pendakwa raya yang hanya mahu mendakwa lelaki itu tidak adil.

Katanya, keputusan pendakwa raya itu berat sebelah dan mendesak gadis berkenaan yang bekerja sebagai jururawat juga didakwa.

“Keputusan pendakwa raya ini bertentangan dengan undang-undang.

“Gadis itu mesti didakwa dan dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

Ujarnya, beliau faham pendakwa raya tidak mahu mencetuskan satu skandal dan mendedahkan identiti gadis berkenaan.

“Undang-undang mesti ditegakkan. Kedua-dua mesti didakwa atau mereka dibebaskan,” tegasnya.
Sheikh Mazin membebaskan tertuduh dengan ikat jamin dan menetapkan perbicaraan dijalankan sekiranya gadis itu turut didakwa.

Lelaki itu ditangkap di dalam bilik gadis berkenaan yang membenarkan kekasihnya itu bermalam di rumah keluarganya di sini. - Agensi

Tuesday, 3 March 2015

2 kali kena kerat

Shangqiu: Seorang wanita ditahan selepas didakwa mengerat kemaluan suaminya, bukan sekali, tetapi dua kali, selepas dia mengetahui lelaki itu menjalinkan hubungan sulit dengan wanita lain.

Si suami, Fan Lung, 32, yang juga bapa lima anak, menggunakan telefon isterinya untuk menghantar e-mel kepada wanita simpanannya, Zhang Hung, 21, dari kediamannya di bandar Shangqiu di wilayah Henan.

Fan terlupa memadamkan pesanan itu.

Isterinya, Feng, 30, tidak dapat mengawal kemarahannya apabila membaca teks pesanan ringkas itu, lalu mengambil gunting dan menggunting kemaluan suaminya ketika lelaki itu tidur.

Fan dibawa ke hospital dan doktor berjaya menyambung semula kemaluannya.

-Metro

Monday, 2 March 2015

Tulah suami

Johannesburg: Polis terpaksa menyembur serbuk lada untuk menyuraikan orang ramai yang berkumpul untuk melihat seorang wanita curang ‘melekat’ pada kekasihnya selepas mengadakan seks.

Orang ramai berkumpul selepas khabar angin tersebar mendakwa suami wanita itu meminta seorang dukun ‘mengunci’ kemaluan isterinya ketika dia keluar. Walaupun pakar berkata kejadian memalukan itu berlaku kerana fenomena perubatan yang menyebabkan otot kemaluan wanita mengecut terlampau, ia tidak dihiraukan oleh orang ramai yang berkumpul di tempat kejadian.

Media tempatan mendakwa, Sasha Ngema, 34, melakukan seks dengan kekasihnya, Sol Qoboza, 22, di sebuah apartmen di Johannesburg, Afrika Selatan, ketika suaminya tidak ada di rumah.

Pasangan itu terus melekat dengan masing-masing tidak boleh melepaskan diri.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/33927#sthash.0DBKtCJW.dpuf

RM5,000 jaminan ke syurga

Kuala Lumpur: Dia memperkenalkan diri sebagai seorang sheikh dari Iraq yang berpangkat ulama, mempunyai pengetahuan agama tinggi serta begitu dihormati. Namun pada masa sama, dia ligat memperdaya orang ramai kononnya mempunyai banyak akses orang kenamaan termasuk mengenali secara rapat ketua pengarah dan menteri yang boleh membantu memudahkan proses kerakyatan serta visa.

Bermodalkan beberapa gambar bersama orang kenamaan, dia selamba ‘menjual’ nama pemimpin negara dan ketua jabatan.googletag.display('div-gpt-ad-1406187945380-0'); Lebih mengejutkan, kelibatnya banyak tampil di beberapa majlis rasmi negara dan peluang menyelit dalam program seumpama itu dipercayai turut dijadikan modal untuk mempengaruhi mangsa terutama yang baru dikenali.

Namun yang paling sukar diterima akal, apabila dia mendakwa mempunyai kelebihan mendoakan seseorang itu masuk syurga atau sebaliknya dengan bayaran RM5,000 bagi setiap doa yang dijamin makbul kerana tarafnya sebagai seorang ulama besar.

 - See more at: http://www.hmetro.com.my/node/34005#sthash.byhYhotf.dpuf