Tuesday, 10 June 2014

Imam besar meninggal dunia


Shah Alam: Selepas enam hari dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, Ahmad Mustafa Mohd Sidin Al-Muqri, 39, meninggal dunia malam tadi.

Allahyarham Ahmad Mustafa, 39, disahkan meninggal dunia jam 9.07 malam akibat komplikasi jantung.

Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor ( JAIS) Ahmad Zaharin Mohd Saad dalam satu kenyataan, di sini, malam tadi.

Ahmad Zaharin berkata, Allahyarham Ahmad Mustafa dimasukkan ke IJN pada pada Rabu lalu selepas mengadu sesak nafas.

Menurutnya, jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah untuk dimandi dan dikafankan malam tadi, namun setakat jam 10 malam tadi, pihak JAIS belum mendapat maklumat daripada keluarga Allahyarham berhubung lokasi pengebumian.

Sebelum ini, JAIS dalam satu kenyataannya berkata, Allahyarham dimasukkan ke Hospital Selayang selepas mengadu sesak nafas pada 3 Jun lalu sebelum dirujuk ke IJN untuk rawatan susulan.

-Metro

Terkejut lihat ‘mayat’ terkebil-kebil


Shanghai: Seorang pekerja rumah mayat di sini berkata dia menemui wanita yang masih hidup dalam laci penyejuk beku mayat setelah menyedari pintunya terbuka. Menurut laporan, wanita itu cuba membunuh diri .

Dia dikatakan pergi ke rumah mayat itu dan tidur dalam satu daripada peti penyejuk beku berkenaan.

Pekerja rumah mayat yang menyedari pintu laci mayat itu tidak ditutup, menjenguk ke dalam dan terkejut melihat mata wanita berusia 70 tahun itu terkebil-kebil.

Laporan sebuah stesen televisyen menyatakan, wanita itu mengalami kemurungan dan pernah cuba membunuh diri sebelum ini.

Sementara itu, dalam satu kes lain di Anhui, seorang budak berusia sebulan yang disahkan meninggal dunia, bangun dan menangis di sebuah rumah mayat sejurus sebelum dia dibakar.

Bayi itu dihantar ke sebuah hospital tempatan sebelum dia diisytihar mati akibat beberapa kecederaan dalaman.

Ekoran kejadian itu, pihak berkuasa bertindak membatalkan lesen doktor yang mengesahkan kematian bayi itu.

-Metro

Monday, 9 June 2014

Padah bimbang bayi lapar


London: Seorang wanita dari Ghana dituduh membunuh bayinya dengan memberinya makan berlebihan.

Mahkamah turut mengarahkan dia diusir dari United Kingdom.

Wanita itu dikatakan terlalu bimbang anaknya lapar bertindak menuangkan susu ke dalam mulut bayinya dengan mengguna jag.

Akibatnya, bayi malang itu mati kerana radang paru-paru.

Hukuman yang dikenakan terhadapnya bagaimanapun ditolak oleh mahkamah tinggi.

Dia sebaliknya dibenar untuk terus tinggal di England, berdasarkan Artikel 8 Konvensyen Eropah mengenai Hak Asasi Manusia.

Wanita berusia 33 tahun itu hanya dihukum penjara tiga tahun tetapi dibenar tinggal bersama tiga anaknya yang lain di kediaman yang sama apabila bebas kelak.

Keputusan mahkamah tinggi mendapat kecaman masyarakat.Keputusan mahkamah tinggi itu bagaimanapun dikritik oleh orang ramai.

- AFP/Metro

200 disembelih 'Boko Haram'


Maiduguri: Militan Boko Haram yang memakai seragam tentera membunuh sekurang-kurangnya 200 penduduk di tiga buah kampung di timur laut Nigeria.

Saksi semalam berkata, tentera gagal menangani perkara itu walaupun amaran mengenai serangan berkenaan sudah diberikan lebih awal.

Seorang pemimpin masyarakat yang menyaksikan pembunuhan itu berkata, penduduk di daerah Gwoza merayu agar tentera menghantar pasukan bagi melindungi kawasan itu selepas mendapat tahu rancangan militan terbabit.

Namun, katanya, tentera tidak muncul.

Pembunuhan berlaku di kawasan Danjara, Agapalwa dan Antagara.

“Kami menyangka mereka adalah pasukan tentera yang memberi bantuan,” katanya.

Dia bernasib baik kerana sempat menyelamatkan diri.

Kumpulan Boko Haram tiba dengan kenderaan pacuan empat roda dan memberitahu penduduk kampung kononnya mereka adalah pasukan tentera yang datang memberikan bantuan.

Taktik sama digunakan mereka ketika menculik lebih 300 pelajar perempuan dari sebuah sekolah di Chibok pada 15 April lalu.

Saksi berkata, selepas penduduk berkumpul, mereka mula melepaskan tembakan sehingga semua yang berada di situ mati.

Kejadian kejam itu disahkan Senator Mohammed Ali Ndume yang mewakili wilayah Borno dan seorang pegawai kanan keselamatan yang dirahsiakan identitinya.

Maklumat mengenai kejadian itu disampaikan mereka yang terselamat selepas beberapa hari ia berlaku kerana perjalanan dari kawasan berkenaan ke Maiduguri sangat berbahaya dan tiada talian telefon.

- AP

Nak kebumi guna kabilah


Baha: Penduduk di sebuah kampung di Arab Saudi enggan membenarkan seorang bayi berusia 10 hari dikebumikan di tanah perkuburan kampung itu kerana perbezaan kabilah.

Menurut laporan media tempatan, ahli keluarga yang menguruskan jenazah itu membawanya ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

Mereka bagaimanapun dihalang penduduk kampung berhampiran bandar Baha.

“Bapa kanak-kanak itu berkata, keluarganya terpaksa mengebumikan jenazah itu di tanah perkuburan lain yang terletak hampir 15 kilometer dari rumahnya.

“Penduduk kampung bertindak demikian kerana dia bukan kabilah mereka dan bukan penduduk asal kampung itu,” lapor akhbar tempatan.

-Metro

Thursday, 5 June 2014

RM1 juta untuk bantuan perubatan bekas Pengerusi DAP Sarawak


KUCHING - Penderitaan hidup bekas Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng akibat penyakit barah otak mendapat perhatian kerajaan negeri dengan penyerahan cek bantuan kewangan sebanyak RM1 juta kepada isterinya Irene Chang, di sini hari ini.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, peruntukan itu disalurkan bagi menanggung kos perubatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek itu yang kini masih bertarung nyawa dengan penyakit yang dihadapinya sejak tahun lalu.

Katanya, meskipun wujud perbezaan fahaman politik, namun ia tidak menjadi tembok pemisah kepada kerajaan negeri untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga Ho Leng.

"Atas dasar kemanusiaan, kerajaan negeri telah bersetuju untuk menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM1 juta kepada bagi menanggung sebahagian kos perubatannya," katanya pada majlis penyerahan cek bantuan di Pejabat Speaker DUN di sini sebentar tadi.

Ho Leng yang menerima rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura kini berada di Sibu dan dikatakan masih dalam keadaan koma.

- KOSMO!

Janda sorok dadah dalam kemaluan


BANDUNG 5 Jun - Kerana cinta, seorang janda beranak dua sanggup membahayakan dirinya dengan menyeludup dadah jenis syabu seberat 25.3 gram yang disembunyi di dalam kemaluannya di penjara Banceuy, lapor media semalam.

Dadah itu, kata polis, dibawa masuk untuk diserahkan kepada salah seorang daripada banduan di penjara berkenaan yang menjadi kekasih suspek.

Bagaimanapun, kata sumber, cubaan itu digagalkan selepas pihak penjara menjalankan pemeriksaan teliti terhadap janda terbabit.

- Agensi/Utusan

Wednesday, 4 June 2014

Wanita terhempas depan mata


Cheras: “Saya sangkakan anak patung jatuh melayang dari tingkat atas bangunan. Namun, saya tergamam apabila seorang wanita jatuh terhempas mati betul-betul di hadapan saya,” kata saksi kejadian bunuh diri yang hanya mahu dikenali sebagai Haikal, 25.

Dalam kejadian jam 4.07 petang semalam, mangsa, Woo Kwan Ti, 26, dikatakan terjun dari tingkat tujuh Bangunan Pusat Komuniti, Bandar Tun Razak, di sini.

Haikal yang ditemui berkata, dia sempat melihat kelibat objek jatuh dari atas kepalanya tanpa menyangka ia adalah manusia.

Menurutnya, dia bagaimanapun terkejut apabila tubuh mangsa terhempas di kaki lima tingkat bawah bangunan itu tidak jauh dari lokasi dia berdiri.

“Saya tergamam seketika, namun segera mendapatkan bantuan orang ramai. Bagaimanapun, mangsa disahkan sudah mati di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada organ dalaman,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Cheras Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, siasatan awal mendapati mangsa berasal dari Taman Mulia Bandar Tun Razak, Cheras.

Menurutnya, mangsa yang masih bujang itu pernah beberapa kali cuba untuk membunuh diri sebelum ini, namun gagal kerana sempat diselamatkan ahli keluarganya.

“Hasil siasatan mendapati mangsa mengalami masalah psikiatri sejak lima tahun lalu.

“Ibunya turut mengesahkan perkara itu dan mangsa sering mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM),” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke PPUKM untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga mangsa.

-Metro

Monday, 2 June 2014

Bapa biar anak mati kelaparan


TOKYO - Polis Jepun menahan seorang lelaki selepas rangka manusia dipercayai anak lelakinya yang berusia lima tahun ditemui di dalam sebuah apartmen bertahun-tahun selepas mangsa meninggal dunia, menurut beberapa laporan semalam.

Menurut laporan pihak berkuasa, polis menahan pemandu trak, Yukihiro Saito kerana didakwa tidak memberi anaknya, Riku makan sehingga mangsa mati kebuluran pada penghujung 2006 hingga awal 2007.

"Rangka mangsa itu ditemui di dalam sebuah apartmen yang dipenuhi sampah sarap di bandar Atsugi, dalam wilayah Kanagawa, barat daya bandar raya ini pada Jumaat lalu," kata polis.

Penemuan itu dibuat selepas sebuah pusat kebajikan tempatan membuat laporan polis pada Mei lalu selepas Riku tidak hadir ke sebuah sekolah menengah rendah yang tercatat namanya pada tahun ini.

Saito pernah tinggal di apartmen itu bersama isteri dan anak lelakinya tetapi wanita tersebut dilaporkan meninggalkan mereka pada 2005.

Dia kemudian mula mengabaikan anak lelakinya. Saito menemui Riko dalam keadaan tidak bernyawa apabila dia pulang ke rumah pada suatu hari.

"Dia kemudian melarikan diri kerana takut," kata polis.

Menurut polis, pemandu trak itu masih membayar sewa apartmen berkenaan walaupun dia telah berpindah ke tempat lain.

Rangka anak lelakinya itu ditinggalkan di dalam apartmen tersebut sejak lebih tujuh tahun lalu.

Mangsa pada tahun ini berusia 13 tahun.

- AFP/Kosmo

Hina anggota polis bersih jalan


Johor Bahru: Seorang lelaki berusia 20-an yang didakwa menghina dan memperlekehkan tindakan sekumpulan anggota polis trafik membersihkan serpihan kaca menerusi laman sosial miliknya akan dipanggil bagi diambil keterangan.

Ia berikutan tindakan lelaki berkenaan memuat naik entri dalam Facebook (FB) miliknya kelmarin yang didakwa menggelar anggota berkenaan sebagai anjing kerana menyapu kaca bertaburan di Jalan Skudai di sini.

Lelaki berkenaan turut didakwa memuatkan gambar anggota berkenaan ketika menjalankan tugas.

Perbuatan lelaki itu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan ramai terutama keluarga anggota terbabit yang berkongsi luahannya bersama pengguna FB lain.

Seorang wanita dipercayai isteri kepada seorang anggota trafik terbabit menyatakan suaminya bertugas dengan ikhlas bertujuan melancarkan pergerakan lalu lintas.

-Metro