Sunday, 21 April 2013

BICARA PERJUANGAN: (PRU13) : PKR CABANG LUMUT DIBUBARKAN...!!!

BICARA PERJUANGAN: (PRU13) : PKR CABANG LUMUT DIBUBARKAN...!!!: LUMUT 21 April - Tidak sampai 24 jam selepas proses penamaan calon yang menyaksikan pertembungan sesama sendiri calon mereka, krisis ...

Saturday, 20 April 2013

Isu Mustafa bukan perkara besar?

MARANG - Isu video seks seorang lelaki mirip Mustafa Ali bukan isu besar bagi Pas? Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang beranggapan demikian, ketika mengulas keengganan Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali membuat laporan polis berhubung penyebaran video seks seorang lelaki yang miripnya, menegaskan perkara itu bukanlah satu perkara besar bagi parti pembangkang itu. Abdul Hadi yang cuba mengalihkan isu itu, ketika diasak oleh wartawan,sebaliknya menuduh penyebaran video seks tersebut merupakan satu permainan kotor sesetengah pihak yang mahu menjatuhkan maruah Mustafa Abdul Hadi kelihatan keberatan mengulas lanjut,cuma memberitahu bahawa Mustafa telah memaklumkan bahawa perkara terbabit telah diserahkan kepada peguam untuk diselesaikan. "Saya dimaklumkan beliau (Mustafa) telah serah semua kepada peguam, jadi, terpulanglah kepada nasihat peguam (sama ada mahu lapor polis atau tidak)," katanya. Beliau ditemui pemberita selepas mengumumkan calon Pas yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) di Masjid Rusila dekat sini malam tadi. Bagaimanapun Mustafa tidak hadir pada majlis itu. Abdul Hadi berkata demikian ketika diminta mengulas soalan pemberita berhubung pendirian parti itu sama ada mahu mendesak Mustafa membuat laporan polis atau sebaliknya berhubung rakaman video seks yang dikaitkan dengan dengan Setiausaha Agung Pas itu. -Utusan Melayu (M) Bhd

Friday, 19 April 2013

Kisah dan Teladan : Perihal Khimar Nabi Uzair as

..Uzair bangun dari kematian yang dijalaninya selama seratus tahun. Matanya mulai memandang apa yang ada di sekelilingnya lalu ia melihat kuburan di sekitarnya. Ia mengingat-ingat bahawa ia telah tertidur. Ia kembali dari kebunnya ke desa lalu tertidur di kuburan itu. Inilah peristiwa yang dialaminya. Matahari bersiap-siap untuk tenggelam sementara ia masih tertidur di waktu Dzuhur. Uzair berkata dalam dirinya: Aku tertidur cukup lama. Barangkali sejak Dzuhur sampai Maghrib. Malaikat yang diutus oleh Allah s.w.t membangunkannya dan bertanya: “Berapa lama kamu tinggal di sini?” Malaikat bertanya kepadanya: “Berapa jam engkau tidur?” Uzair menjawab: “Saya tinggal di sini sehari atau setengah hari.” Malaikat yang mulia itu berkata kepadanya: “Sebenarnya kamu tinggal di sini selama seratus tahun lamanya. ” Engkau tidur selama seratus tahun. Allah s.w.t mematikanmu lalu menghidupkanmu agar engkau mengetahui jawapan dari pertanyaanmu ketika engkau merasa heran dari kebangkitan yang dialami oleh orang-orang yang mati. Uzair merasakan kehairanan yang luar biasa sehingga tumbuhlah keimanan pada dirinya terhadap kekuasaan al-Khaliq (Sang Pencipta). Malaikat berkata sambil menunjuk makanan Uzair: “Lihatlah kepada makanan dan minumanmu yang belum berubah.” Uzair melihat buah tin itu lalu ia mendapatinya seperti semula di mana warnanya tidak berubah dan rasanya pun tidak berubah. Telah berlalu seratus tahun tetapi bagaimana mungkin makanan itu tidak berubah? Lalu Uzair melihat piring yang di situ ia memeras buah anggur dan meletakkan di dalamnya roti yang kering, dan ia mendapatinya seperti semula di mana minuman anggur itu masih layak untuk diminum dan roti pun masih tampak seperti semula, di mana kerasnya dan keringnya roti itu dapat dihilangkan ketika dicampur dengan perasan anggur. Uzair merasakan kehairanan yang luar biasa, bagaimana mungkin seratus tahun terjadi sementara perasan anggur itu tetap seperti semula dan tidak berubah. Malaikat merasa bahawa seakan-akan Uzair masih belum percaya atas apa yang dikatakannya. kerana itu, malaikat menunjuk keldainya sambil berkata: “Dan lihatlah kepada keledaimu itu (yang telah menjadi tulang- belulang).” Uzair pun melihat ke keldainya tetapi ia tidak mendapati kecuali ia tanah dari tulang-tulang keldainya. Malaikat berkata kepadanya: “Apakah engkau ingin melihat bagaimana Allah s.w.t membangkitkan orang-orang yang mati? Lihatlah ke tanah yang di situ terletak keledaimu.” Kemudian malaikat memanggil tulang-tulang keldai itu lalu atom-atom tanah itu memenuhi panggilan malaikat sehingga ia mulai berkumpul dan bergerak dari setiap arah lalu terbentuklah tulang-tulang. Malaikat memerintahkan otot-otot saraf daging untuk bersatu sehingga daging melekat pada tulang-tulang keldai. Sementara itu, Uzair memperhatikan semua proses itu. Akhirnya, terbentuklah tulang dan tumbuh di atasnya kulit dan rambut. Alhasil, keldai itu kembali seperti semula setelah menjalani kematian. Malaikat memerintahkan agar roh keldai itu kembali kepadanya dan keldai pun bangkit dan berdiri. Ia mulai mengangkat ekornya dan bersuara. Uzair menyaksikan tanda-tanda kebesaran Allah s.w.t tersebut terjadi di depannya. Ia melihat bagaimana mukjizat Allah s.w.t yang berupa kebangkitan orang-orang yang mati setelah mereka menjadi tulang belulang dan tanah. Setelah melihat mukjizat yang terjadi di depannya, Uzair berkata: “Saya yakin bahawa Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. “ Uzair bangkit dan menunggangi keldainya menuju desanya. Allah s.w.t berkehendak untuk menjadikan Uzair sebagai tanda-tanda kebesaran-Nya kepada masyarakat dan mukjizat yang hidup yang menjadi saksi atas kebenaran kebangkitan dan hari kiamat. Uzair memasuki desanya pada waktu Maghrib. Ia tidak percaya melihat perubahan yang terjadi di desanya di mana rumah-rumah dan jalan-jalan sudah berubah, begitu juga manusia dan anak-anak yang ditemuinya. Tak seorang pun di situ yang mengenalinya. sebaliknya, ia pun tidak mengenali mereka. Uzair meninggalkan desanya saat beliau berusia empat puluh tahun dan kembali kepadanya dan usianya masih empat puluh tahun. Tetapi desanya sudah menjalani waktu seratus tahun sehingga rumah-rumah telah hancur dan jalan-jalan pun telah berubah dan wajah-wajah baru menghiasi tempat itu. sumber: Fuh.my

Wednesday, 17 April 2013

Subhanallah - Bekas Perdana Menteri Britain Akui Kehebatan Al-Quran

Posted by Al-Azrul Zakuan


 

Tony Blair berkata beliau kini bersikap lebih terbuka terhadap agama sejak tidak lagi memegang jawatan perdana menteri. Malah bekas Perdana Menteri Britain itu mengakui beliau membaca al-Quran setiap hari kerana aktiviti itu membuatnya lebih memahami mengenai iman.

“Berusaha ke arah celik iman amat penting dalam dunia global,” katanya seperti dilaporkan akhbar Britain, Daily Mail kelmarin. Malah beliau berkata membaca al-Quran setiap hari untuk memahami hal yang berlaku di dunia kerana al-Quran memberikan perintah yang berguna.

Ia juga meyakinkan pengetahuan beliau mengenai iman yang dapat membantu dalam tugasnya sebagai wakil di Asia Barat mewakili Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah san Russia. Sebelum ini beliau juga pernah menyatakan iman umat Islam amat indah dan Nabi Muhammad adalah tokoh yang mendorong peradaban.

Pada 2006 beliau pernah menyatakan al-Quran adalah kitab reformasi yang inklusif. Al-Quran juga mengagungkan ilmu dan pengetahuan dan membenci tahyul. “Kitab (al-Quran) itu memberikan arahan praktis mengenai pernikahan, wanita dan pemerintahan,” katanya.

Walaupun demikian, Tony turut mengakui beliau melihat bagaimana pelaku jihad menterjemahkan al-Quran sebagai panggilan untuk mengangkat senjata. Ketika kejadian serangan bom bunuh diri 52 maut, beliau ketika itu masih lagi memegang jawatan Perdana Menteri. Membaca al-Quran membantunya dalam menunaikan tugas sebagai utusan damai. – Agensi/Fuh.My

Tuesday, 16 April 2013

Najib Tolak Orang Lama – Kita?

Ana secara kebetulan tertengok TV3 malam tadi. Tak sengaja. Sewaktu makan malam bersama keluarga di AU5D. Makan soto.

Tiba-tiba terkeluar muka Rais Yatim. Najib berani buang Rais. Orang lama. Ana kalau Najib berani buang Tengku Razaleigh, ana lagi hormat. Rais Yatim ni kira macam The Last Mohican lah. Dah berapa zaman, muka dia ada lagi. Sejak zaman Semangat 46. Kerja lain tak ada, asyik bawa kamera ke mana-mana.

Ana nak kita sama-sama tengok bagaimana musuh kita membuat susunan pencalonan. Yang lama, mempunyai skandal dan sebagainya digugurkan dengan serta merta. Pada ana, kita pun kena sama-sama amal benda yang sama.

Ini tidak, ana tahu sangat ada bakal YB yang memang tak pernah jaga rakyat, tak pernah jaga kita orang Pas pun, diberikan peluang bertanding lagi. Ini semua merosakkan peluang kita. Di Kelantan, benda ini menjadi-jadi. Nama sudah tiada, pergi rumah Tok Guru, menangis-nangis. Lepas tu dapat bertanding semula. Sebab apa? Bukan sebab rakyat sayang. Tapi sebab Tok Guru kasihan dan simpati.
Sampai bila kita nak jadi macam ini. Bila diberikan amanah, kita lupa dan tak buat kerja. Bila tak dapat, merayu macam-macam. Sudahnya kita dapat bertanding lagi.

Allah s.w.t berfirman:“Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya.” (Al Mukminuun : 8).

Allah s.w.t berfirman:“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui. (Al Anfaal : 27)

Allah s.w.t berfirman:“Sesungguhnya kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesunguhnya tabiat kebaikan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan (Al Ahzab : 72)

Ana harap semua bakal YB kita faham bab amanah ini. Jangan suka sangat nak jadi YB. Tapi pula amanah dan tanggungjawab.


Keluhan ini dipetik dari blog : PAS Untuk Kesejahteraan Ummah    

Anwar dakwa Hadi sedia draf panduan

KUALA LUMPUR - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang didakwa bertanggungjawab menyediakan kertas panduan bagi menegaskan pendirian pakatan pembangkang yang membenarkan kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Abdul Hadi diberi peranan itu bagi memastikan tiada percanggahan berhubung isu berkenaan dalam pakatan pembangkang.

Menurut beliau, Abdul Hadi telah menyediakan draf kertas panduan tersebut dengan berpandukan hujah panjang yang diterangkan oleh ulama-ulama besar.

"Nabi Muhammad pesuruh Allah, bin Abdullah itu nama digunakan sebelum Nabi menerima wahyu yang bermakna nama itu digunakan sebelum Islam, itu kenyataan pertama.

"Saya bawa draf yang dipersetujui oleh PKR beri kepada DAP, di mana yang timbul masalah, setuju bentang dalam mesyuarat minta Abdul Hadi baca dan kita luluskan.

"Di mana kita hina Allah? Di mana kita tunduk kepada kehendak DAP atau Cina atau Kristian? Ini fitnah," katanya ketika berucap sebelum mengumumkan calon-calon PKR di Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-13 di padang bola sepak AU2, Keramat di sini malam tadi.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130416/po_07/Anwar-dakwa-Hadi-sedia-draf-panduan#ixzz2QaOBfwl3
© Utusan Melayu (M) Bhd

Dr Juanda: 'Ini berita syaitan'

             
Dr Juanda Jaya
Dr Juanda Jaya
 
 
SHAH ALAM - "Ini berita syaitan." Demikian mesej Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya mengulas mengenai laporan media bahawa beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Kangar.

Mesej itu disusuli dengan tweet yang mengatakan "masih jauh lagi" untuk mengesahkan bahawa beliau akan menjadi calon.

"Mufti Perlis Juanda masih jauh daripada dapat disahkan akan menjadi calon PKR bagi kerusi parlimen Kangar, sebagaimana dilaporkan," kata beliau mengulas laporan sebuah laman web petang tadi.

Juanda merupakan antara tokoh ulama yang disebut-sebut akan bertanding kali.-SH

Monday, 15 April 2013

Kritik tak bermakna antikerajaan

 

Kritik tak bermakna    antikerajaan
Daim kongsi aspirasi pelbagai kaum
Apabila beliau tidak ke luar negara, Tun Daim Zainuddin akan terperuk di meja komputernya di Wisma YPR (Yayasan Pok Rafeah yang dinamakan mengambil sempena nama Allahyarhamah ibunya). Mejanya bersepah dengan kertas cetakan dan analisis kewangan yang dihantar setiap hari oleh sebuah organisasi diketuai rakannya – bekas Perdana Menteri sebuah negara jiran di Asia. Ruang tamunya pula mempunyai corak yang berlainan. Ia seolah-olah sebuah galeri seni. Beliau memiliki lebih 2,000 lukisan.

Sesetengah lukisan itu kini bernilai 10 kali harga yang dibayarnya dulu. Beliau pernah menjadi Pengerusi Galeri Seni Kebangsaan sebelum menyertai Kabinet. Peguam yang kemudiannya bertukar menjadi pemaju perumahan dan kemudian dua kali sebagai Menteri Kewangan, tidak mempamerkan lukisan itu untuk jualan.
Kegemarannya amat luas. Beliau adalah peminat Shah Rukh Khan. Daim juga seorang pemegang saham sebuah bank yang mempunyai banyak cawangan di Afrika. Beliau juga Pengerusi Jawatankuasa Audit AFC (Persekutuan Bola Sepak Asia). Pada usia 74 tahun, beliau masih bermain badminton, sebilangannya orang muda. Dan, beliau juga memakai jersi replika Manchester United yang ditandatangani oleh Sir Bobby Charlton.

“Saya seorang yang begitu sibuk,” katanya ketika menerima kunjungan wartawan New Straits Times (NST) – Datuk A Jalil Hamid, Rashid Yusof dan Hariz Mohd – dan jurugambar Zahari Zakaria bagi memulakan siri temu ramah yang panjang lebar. Daim yang berjaya membantu mengekang kejatuhan pasaran saham pada 1994 dengan ‘nasihatnya’, bagaimanapun beliau kemudian dilabelkan sebagai ‘ketua pengkomplot’ oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kemudian timbul minat dalam kalangan pihak media berhubung pandangan bernasnya mengenai politik berikutan ramalannya yang tepat mengenai Pilihan Raya Umum pada Mac 2008. Ini mendorong NST untuk mendapatkan ramalan baru daripadanya. Kami menelusuri pemikirannya mengenai politik sambil sekali sekala mengajukan beberapa persoalan berbentuk provokasi menyentuh pelbagai topik. Sebaik saja temu ramah itu selesai, kami memperoleh perspektif baru dan barulah kami memahami dengan lebih jelas peristiwa politik yang berlaku berikutan Krisis Kewangan Asia pada 1997, mengenai masa depan UMNO, Datuk Seri Najib Razak, Anwar, Tun Dr Mahathir Mohamad, Lee Kuan Yew, kebangkitan China dan Arab Spring atau Kebangkitan Arab (sambil bergurau beliau merujuknya sebagai ‘Kejatuhan Arab’). Sesi soal jawab ini akan disiarkan dalam dua siri. Dalam bahagian pertama ini, sebahagian besarnya berkisar soal politik semasa. “Jika anda tanya saya, antara kedua-duanya, Najib atau Anwar, saya akan pilih Najib,” katanya. Dalam siri kedua esok, banyak lagi perkara disentuh antaranya, termasuk isu utama ketika ‘zaman Mahathir’...

Soalan: Tun, sejak bersara, Tun sudah ditemuramah oleh beberapa akhbar berbahasa Cina, tetapi jarang dengan media arus perdana. Apakah ada sebab tertentu?
Tun Daim:
Saya diminta memberi banyak temu ramah tetapi apa yang mereka ingin tahu ialah bila pilihan raya akan diadakan dan apa pula pandangan saya berhubung keputusannya. Jadi sebelum pilihan raya, yang saya jangkakan akan diadakan menjelang bulan depan (ketawa), ini adalah temu ramah saya yang terakhir sebelum pilihan raya.

Saya tidak mahu lagi memberi apa-apa temu ramah kerana anda akan hanya bertanya mengenai pilihan raya, dan letih saya dibuatnya.

Lagipun, saya tidak memberi temu ramah kerana tidak mahu disalah petik apa yang saya katakan. Saya dengar orang kata saya berpendapat BN akan menang di tiga negeri saja. Ini tidak benar. Anda kena baca jawapan saya sepenuhnya. Saya katakan BN khususnya UMNO, mesti bekerja keras, bersatu dan meletakkan calon terbaik untuk menang.

Memang betul saya memberi banyak temu ramah kepada akhbar Cina. Orang Cina ingin memahami pemikiran orang Melayu. Untuk tujuan itu, saya harus tahu apa dalam pemikiran mereka, kebimbangan mereka dan aspirasi mereka. Mereka juga ingin tahu apakah dasar ekonomi kita itu betul. Mereka mahukan keamanan di negara ini dan mereka tahu bahawa untuk memperoleh keadaan aman, mesti ada kestabilan politik.

Apakah anda pernah membaca artikel mereka mengenai dasar kerajaan? Mungkin akan ada orang membisik kepada kerajaan mengenai itu dan ini atau kertas tertentu ataupun penulisnya antikerajaan. Saya katakan ‘Hentikan’ semua ini! Saya sudah membaca artikel mereka. Walaupun mereka mengkritik, mereka bukannya antikerajaan. Kita berhujah dengan fakta dan statistik. Proses berkenaan akan menghasilkan perbahasan yang sihat.

S: Jadi bagi Tun, bersikap kritikal tidak bererti seseorang itu antikerajaan. Apakah maksud Tun pandangan yang diluahkan oleh orang ramai tidak semestinya menjejaskan undi kepada Barisan Nasional?

J: Pastinya. Itulah hujah saya yang utama. Selalunya saya bersetuju dengan perbahasan yang baik. Sejak beberapa tahun lalu, saya juga secara peribadi mendapati ada dasar yang boleh ditentang, tetapi saya masih menyokong kerajaan kerana terdapat banyak dasar yang baik berbanding tidak baik. Bagi rakyat Malaysia, jika anda tidak bersetuju dengan dasar kerajaan, ya, terus berikan pandangan dan kritikan, tetapi dengan secara membina.

Saya lebih takut jika orang biarkan saja dan tidak peduli. Saya percaya hanya jika anda peduli dan mahu keadaan menjadi lebih baik, baru anda akan memberi pandangan. Sebuah masyarakat yang pasif dan tidak berminat akan menghancurkan negara.

S: Masih mengenai politik yang berkaitan dengan masyarakat Cina, satu perbandingan selari dibuat mengenai DAP dan PAP. Apakah ini perbandingan yang adil?

J: Saya tidak fikir ada apa-apa hubungan. Saya fikir (Lee) Kuan Yew tidak begitu menghormati kepemimpinan DAP. Kualitinya tidak ada. Pada peringkat awal ya, mungkin ketika mereka mempunyai cawangan di sini - apabila Devan Nair ada di sini, dan Zain Azahari menyertai PAP. Zain masih berada di sini dan berkhidmat dalam bidang perundangan. Saya berpendapat terdapat banyak golongan intelek yang menyertai PAP. Ini golongan yang akan mengikut Kuan Yew.

PAP lebih cerdik, dan lebih berkira-kira, pendekatan mereka lebih berhemah. DAP sebenar-benarnya sebuah parti Cina. Ia bukan parti pelbagai kaum. Ia bersifat cauvinistik tetapi mendakwa sebagai Malaysian Malaysia. Anda boleh lihat dalam pemilihan parti yang lalu, ahlinya tidak mahu walau seorangpun Melayu duduk di jawatan tertinggi parti.

Ini amat jelas. Itulah idea Malaysian Malaysia mereka. Tidak kira apa yang didakwa pemimpin mereka, ahli menjadi penentunya. PAS juga mempunyai masalah sama.

Apabila isu kalimah Allah dibangkitkan, pemimpinnya beranggapan kononnya mereka boleh ikut Anwar tetapi ahli pada peringkat akar umbi memberi respon mereka – dengan menolak pendirian pemimpin parti berkenaan. Dan Majlis Syura juga berkata tidak. Sekiranya orang Cina tidak memahami ini, mereka akan menyesal.

S: Bagaimana pula dengan Parti Keadilan Rakyat?

J: PKR sentiasa parti ‘one man show’. Sejarahnya ialah parti yang memperjuangkan Anwar. Mereka adalah bekas ahli UMNO. Kemudian beberapa orang berfikiran liberal menyertai mereka, yang terpengaruh dengan nada keadilan dan kesaksamaan, tetapi pada hakikatnya ia sekadar satu slogan. Ia sebenarnya perjuangan untuk satu orang, bukan pun untuk keadilan. Siapakah yang sudah mereka perjuangkan? Apakah yang diperjuangkan mereka? Lihat saja pendirian mengenai Palestin. Ia adalah persoalan mengenai keadilan dan kemanusiaan. Mereka memberi sokongan kepada Israel.

S: Dan Pakatan Rakyat?

J: Apabila anda dipilih menjadi wakil rakyat, anda berbahas di Parlimen. Kita lakukannya dengan secara bertamadun. Kita memilih orang dan memanggil mereka dengan nama ‘Yang Berhormat’. PKR adalah parti yang lahir di jalanan. Jadi ia akan kembali ke jalanan. Itulah budayanya. Justeru, kita dapat saksikan demonstrasi di jalan raya yang dianjurkan atau disokong oleh mereka. PAS sebelum ini bukan seperti itu. DAP juga bukan macam itu. Anwar sudah beberapa kali menyatakan akan berlaku demonstrasi seperti Arab Spring – jika Pakatan kalah pada pilihan raya akan datang atas alasan kononnya berlaku ‘penipuan’.

Beliau sudah menyediakan perancangan sekiranya mereka kalah pada pilihan raya akan datang. Keseluruhan Pakatan sedang menyediakan pemikiran orang ramai supaya menyalahkan kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pertama, kita bukan negara Arab. dan kedua, jika berlaku penipuan pada pilihan raya umum lalu, bagaimana boleh pakatan menang di empat negeri pada 2008?

Arab Spring akhirnya menjadi kejatuhan Arab (akibat tiada kepemimpinan yang boleh menyatupadukan dan ketidakstabilan).

S: Kejatuhan negara Arab?

J: Anda perlu kaji sejarah Mesir di bawah pemerintahan Raja Farouk barulah dapat memahami mood dan suasana rampasan kuasa 1952. Saya pernah melawat Mesir pada akhir zaman belajar lewat 1950-an dan ia amat menyedihkan saya bagaimana pejuang pembebasan gagal untuk mentadbir negara mereka dengan jayanya.

Mereka gagal menaikkan taraf hidup rakyat dan ketika lawatan akhir saya beberapa tahun lalu, masih berlaku kemiskinan yang sama. Kita perlu membaca buku Revolt of the Nile, tulisan Gamal Nasser yang sangat membimbangkan Barat sehingga mereka menyamakannya dengan Hitler. Kita bukannya dari dunia Arab.

Kita perlu faham latar belakang Asia Barat mengapa ia tidak berlaku dan tidak mungkin berlaku di Timur. Kita mahu kematian di jalanan? Kita mahu melihat pertumpahan darah? (Kebangkitan Kebangsaan Arab berlaku pada Julai 1952 apabila Gamal Nasser, Kolonel dalam pasukan tentera Mesir mengetuai kumpulan ‘Pegawai Pembebasan’ untuk menggulingkan Raja Mesir dan Sudan iaitu Raja Farouk 1.

Kejayaan pemberontakan bersenjata pimpinan Gamal menjadi ikutan beberapa pegawai tentera negara Arab untuk menyingkirkan raja mereka, termasuk jeneral tentera Iraq, Abd al-Karim Qasim pada 1958 bagi menghapuskan kuasa monarki Kesultanan Hashem dan diikuti di Libya dilakukan Muammar Gaddafi yang memimpin sekumpulan pegawai tentera muda menggulingkan Raja Idris 1 pada 1969).

S: Bagaimana keadaan politik Malaysia dan perubahan landskap geopolitik serta peristiwa di tempat lain?

J: China dan Jepun membuktikan kualiti mereka sebagai rakan sejati dengan negara ini ketika kemuncak krisis kewangan Asia. China membuat keputusan untuk tidak menurunkan nilai mata wang, manakala Jepun membantu Malaysia menerusi pinjaman mudah berjumlah AS$5 bilion. Naib Menteri Kewangan, Eisuke Sakakibara kemudian meminta saya supaya tidak memberitahu Amerika Syarikat (AS) mengenai bantuan itu. AS tidak mahu membantu kita atas sebab yang terlalu banyak dan tidak diketahui. Anwar dilihat mempunyai kecenderungan untuk mengikut kehendak AS.

Jika berlaku sesuatu kepada ekonomi Malaysia, AS dan Eropah yang ketika itu ekonominya turut merudum, tidak akan ambil peduli untuk membantu. Jika kita terus mengikut telunjuk Amerika, apa yang akan negara rakan kita fikir? Merekalah yang membantu kita tetapi AS cuba untuk melemaskan kita. China kini menjadi kuasa ekonomi kedua terbesar, dan ia berkembang.

Presiden Barack Obama dengan segera melawat Myanmar dan dasar luar beliau kini condong terhadap negara rantau Pasifik bertujuan mengimbangi pengaruh China. Ketika ini berlaku krisis ekonomi di Eropah, AS dan Jepun. China, India, Brazil, Russia agak perlahan, maka kita tidak perlu mempunyai pasukan yang salah untuk menguruskan ekonomi. Bahaya yang timbul di sini ialah apabila seseorang tidak mempunyai pengalaman dan terbukti tidak mempunyai keupayaan mengendalikan krisis silam. Ia menimbulkan bahaya kerana kita boleh jatuh terduduk. Dan tiada siapa yang akan membantu kita.

AS, rakan sekutu mereka dan Eropah tidak akan membantu kita. Mereka mementingkan diri sendiri apabila berada dalam kesusahan. Ia memang amat berbahaya jika pakatan pembangkang di bawah pimpinan Anwar menerajui negara. Saya bimbang kerana dia tidak mempunyai ilmu mendalam dalam ekonomi, memerlukan orang di sekelilingnya untuk membantunya. Apa yang perlu difikir dan apa yang perlu dilakukan.

Setakat ini, tiada satu pun idea besar daripada Anwar sebagai penasihat ekonomi kepada Kerajaan Negeri Selangor. Lebih buruk lagi, Selangor gagal mengendalikan isu air yang mana ia amat mengecewakan rakyat dan pelabur.

Sudah tentu mereka akan menyalahkan segala-galanya kepada kerajaan Persekutuan walaupun projek pemindahan air menerusi Loji Langat 2 sudah dirancang sebelum mereka memerintah di negeri itu. Kenapa beliau tidak menjadi penasihat ekonomi kepada Kelantan dan Kedah jika Pakatan Pembangkang mendakwa beliau begitu baik? Fikirkanlah dengan serius. Fikirkan masa depan kita.


Perpaduan kukuh komponen BN syarat menang PRU-13

S: Anwar percaya bahawa beliau ditakdirkan untuk menjadi Perdana Menteri pada masa akan datang.

J: Hakikatnya, nasib manusia ditentukan Tuhan. Anda mungkin hanya tinggal satu denyutan jantung lagi daripada jawatan itu tetapi orang berkata, Tuhan menentukan. Saya fikir Tuhan masih menyayangi Malaysia.

S: Apakah peluang Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kali ini? Adakah BN berpeluang mendapat sokongan majoriti dua pertiga?

J: Sekali lagi, soalan berkaitan pilihan raya. Saya katakan BN akan menang. Ia adalah baik kerajaan (BN) berpendapat ia boleh mendapatkan sokongan dua pertiga, yang sepatutnya menjadi sasaran mereka. UMNO mempunyai kira-kira 3.3 juta ahli, MCA kira-kira satu juta, MIC kira-kira 600,000. Itu sudah dikira separuh daripada pengundi.

Sekarang anda hanya perlu sedikit sokongan daripada golongan atas pagar, maka anda berpeluang untuk menang. Tetapi BN mesti meletakkan calon yang bersih, baru diterima pengundi. Tetapi sebelum BN boleh menang, mesti wujud perpaduan dalam gabungan itu. Jika mereka tidak bersatu, pembangkang akan melakukan yang lebih baik.

Itulah apa yang berlaku pada 2008. Kekal bersatu, setia dan tidak sabotaj. Kita memerlukan pemimpin yang stabil dan berpengalaman. Hanya BN mempunyai pengalaman. Kita sudah melalui krisis demi krisis, dan pulih dengan cepat. Kita perlu memujuk pengundi Cina bahawa kita tidak boleh bereksperimen. Lihatlah Jepun. Lihatlah di sekeliling kita. Lihat di Britain. Kaji apa yang sedang berlaku.

S: Secara peribadi, adakah anda mahu melihat Najib memenangi pilihan raya ini?

J: Jika anda bertanya kepada saya, di antara Najib atau Anwar, saya akan pilih Najib. Saya akan memberikan Najib peluang. Berikan beliau mandat dan lihat jika adakah mampu memenuhi kehendak kerana Anwar sudah mempunyai peluang, tetapi dia mensia-siakannya. Saya mahu Najib menang kerana saya tidak fikir Anwar adalah calon tepat untuk menjadi perdana menteri. Saya percaya beliau (Anwar) akan mengacau-bilaukan negara dengan mendapatkan nasihat daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan (Paul) Wolfowitz (bekas Presiden Bank Dunia).

Saya akan menyokong Najib, tetapi beliau mesti memerangi rasuah dan jenayah, mengukuhkan keselamatan negara dan mengkaji sistem pendidikan. Jadikan bahasa Inggeris wajib di semua sekolah kebangsaan. Tanpa bahasa Inggeris kita semua ‘mati’, terutama orang Melayu. Orang Melayu mesti sedar, tanpa bahasa Inggeris mereka tidak boleh bersaing.

Kita mesti bertegas menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Ia bukan satu kesilapan menukar medium arahan daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Ia bahasa negara dan perpaduan. Jika tidak bercakap bahasa yang sama bagaimana kita memahami antara satu sama lain. Kesilapan dalam dasar kita mengangkat martabat bahasa Melayu, kita juga perlu mengutamakan bahasa Inggeris. Kita tidak boleh mengabaikan bahasa Inggeris hanya kerana menjadikan bahasa Melayu sebagai lingua franca di negara ini. Dan jika boleh, kita harus cuba untuk belajar bahasa Arab, kerana wang mengalir dari negara Arab yang kaya. Mengenai keselamatan negara, setiap hari dalam media dan di televisyen terdapat laporan berita pembunuhan serta pelbagai kejadian jenayah.

Anda mengatakan negara kita selamat, tetapi jika rakyat tidak berasa selamat, maka tanpa mengambil kira statistik, rakyat tidak akan mempercayai anda? Mengenai rasuah, beritahu kepada rakyat bahawa kerajaan amat serius untuk menanganinya tetapi tidak dapat melakukannya sendirian, ia perlu sokongan rakyat. Tingkatkan kesedaran rakyat mengenai keburukan rasuah, babitkan sekolah dalam usaha memerangi rasuah. Didik pelajar.

Jika kerajaan dan rakyat bekerjasama, kita boleh berjaya. Ia adalah satu usaha bersama. Kerajaan tidak boleh melawan rasuah sendirian. Rakyat mestilah bersih dan jujur. Jangan hanya menyalahkan kerajaan. Tepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Jika rakyat jujur dan bersih, kerajaan juga boleh menjadi bersih. Kerajaan mesti bertegas terhadap mereka yang rasuah.

S: Najib sudah melaksanakan ikrar dan janjinya, adakah ia baik untuk negara?

J: Beri peluang kepada Najib. Lima tahun. Uji beliau. Berikan beliau mandat. Beliau melaksanakan amanah dengan baik, mari kita lihat beliau terus membuktikan kemampuannya dan meneruskan dasar transformasi beliau. Najib juga perlu merombak Kabinet. Bawa masuk muka baru. Orang fikir beliau membawa banyak pemimpin yang ‘kayu mati’ dalam Kabinet. Kebanyakan mereka sudah melepasi era masing-masing.
 
sumber : Berita Harian

Warga Singapura jangan masuk campur

 

ANTARA kereta nombor pendaftaran Singapura yang melekatkan pelekat kempen pilihan raya parti pembangkang di Johor Bahru.

JOHOR BAHRU - Warganegara Singapura diingatkan supaya tidak mencampuri urusan politik di negara ini lebih-lebih lagi bagi membantu mana-mana parti berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Menteri Pengajian Tinggi yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berpendapat, tindakan orang asing mencampuri urusan pilihan raya sesebuah negara adalah tidak patut kerana ia tidak baik untuk hubungan dua negara.
"Berkempen di negara yang mana rakyat Malaysia sedang bekerja dan mempengaruhi mereka untuk mengundi parti yang mempunyai kepentingan mereka adalah tidak betul," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Mohamed Khaled mengulas kebanjiran kenderaan dari Singapura di bandar raya ini yang dilihat turut berkempen membantu pakatan pembangkang dalam mengajak rakyat negara ini pulang mengundi.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada pemilik kenderaan berkenaan terdiri daripada warga negara jiran atau rakyat Malaysia yang mempunyai taraf penduduk tetap di republik itu.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi pula berpendapat, perbuatan itu tidak wajar dan bertentangan dengan polisi mana-mana negara pun.
"Mereka sepatutnya tidak masuk campur, urusan politik kita biarlah kita sesama kita," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Johor Jaya, Tan Cher Puk mahu pemerintah Singapura menyiasat penduduk negara itu yang menyalahgunakan kenderaan dari republik tersebut untuk berkempen di Malaysia.
"Pemerintah Singapura harus melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan yang memasuki Malaysia," tegasnya.-Kosmo

Wanita ditegur cara bonceng

Banda Aceh: Seramai 35 wanita di bandar Lhokseumawe, Aceh, diberi amaran oleh polis Syariah selepas membonceng motosikal secara mengangkang selain tidak menggunakan pakaian mengikut kehendak agama.

Duduk mengangkang
Anggota polis itu melakukan operasi di beberapa jalan bagi melihat sejauh mana penduduk khususnya wanita akur kepada undang-undang menegah mereka duduk mengangkang di belakang penunggang.
 
 
Ramai penduduk masih membonceng dengan cara biasa, mungkin mereka tidak faham peraturan, sebab itu kami beritahu mereka” - Irsyadi, Pemangku ketua polis Syriah Lhokseumawe

“Tujuan operasi pada hari ini ialah menguatkuasa dan memaklumkan kepada penduduk peraturan itu yang diumumlan oleh datuk bandar,” kata Irsyadi, pemangku ketua polis Syriah Lhokseumawe kepada Atjehpost.com.

“Kami juga memberi amaran kepada mereka yang tidak berpakaian sewajarnya mengikut kehendak agama. Kami harap mereka akan lebih sedar mengenainya menerusi operasi hari ini,” katanya.

Meskipun tidak ditahan, wanita terbabit diberi amaran tidak lagi membonceng dengan mengangkat selain mengelak memakai pakaian ketat.

“Ramai penduduk masih membonceng dengan cara biasa, mungkin mereka tidak faham peraturan, sebab itu kami beritahu mereka,” jelas Irsyadi.

Datuk Bandar Lhokseumawe, Suadi Yahya menjelaskan, undang-undang tertentu diperlukan bagi mengelakkan wanita memakai seluar di tempat umum.

“Kami mahu selamatkan wanita daripada perkara yang menyebabkan mereka dilihat melanggar Syariah,” katanya lagi. - AGENSI/BH