Wednesday, 21 November 2012

Nasib malang anak comel ditinggal ibu bapa

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI Dorothy Chong Mei Sem menunjukkan gambar ibu dan bapanya pada sidang akhbar bersama Lee Kon Yin di Ipoh semalam.


IPOH – Kata pepatah Cina, kasih ayah setinggi gunung, kasih ibu sedalam laut.
Bagaimanapun, pepatah tersebut tidak menggambarkan nasib seorang kanak-kanak comel berusia tiga tahun, Chong Mei Sem apabila dia ditinggalkan oleh ibu bapanya untuk dipelihara oleh seorang peniaga sejak tiga bulan lalu.
Lebih memilukan, bapa kanak-kanak malang itu, Chong Chee Liong sanggup pula mengucapkan selamat hari lahir untuk anaknya itu melalui khidmat pesanan ringkas baru-baru ini.
Dia juga sanggup meletakkan sebiji kek hari jadi untuk anaknya itu di hadapan pintu pagar rumah penjaga anaknya di sini baru-baru ini.
Bercerita lanjut mengenai masalah yang timbul, wanita dikenali sebagai Madam Choong, 52, yang memelihara Mei Sem berkata, kanak-kanak tersebut ditinggalkan oleh ibunya sendiri yang dikenali sebagai Chu Sin di rumahnya di Kampung Gunung Rapat dekat sini pada kira-kira pukul 10 malam, 9 Ogos lalu.
Katanya, Chu Sin meminta dia menjaga Mei Sem sementara dia keluar untuk mencari kerja dan berjanji memberikan upah sebanyak RM1,000 sebulan.
“Betul, memang dia beri upah RM1,000 itu dengan memasukkannya ke akaun bank saya tetapi hanya pada bulan September. Selepas itu langsung tiada apa-apa berita daripada mereka.
“Setiap panggilan ke telefon bimbit Chu Sin dan suaminya langsung tidak berjawab malahan saudara-mara pasangan terbabit juga tidak tahu ke mana mereka pergi,” katanya pada sidang akhbar bersama Pengerusi Biro Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional negeri, Datuk Lee Kon Yin di sini semalam.
Menurutnya, Mei Sem seorang kanak-kanak yang baik dan tidak pernah buat perangai.
“Apabila diberitahu ibu bapanya tiada, dia cuma diam dan bermain seperti biasa.
“Cuma sekarang saya tidak mampu lagi menanggungnya. Saya minta ibu atau bapanya ambil semula anaknya dan saya beri masa seminggu sebelum menyerahkan kanak-kanak ini ke Jabatan Kebajikan Masyarakat,” ujarnya.
Sementara itu, Kon Yin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ibu bapa kanak-kanak itu supaya menghubungi beliau menerusi talian 05-253 6981 atau 012-515 1178.-Kosmo

Hidup mati sebagai pelacur

 Oleh SITI AISHAH YUSOFF 

Ketagihan dadah membuatkan Asmah (bukan nama sebenar) terjebak dalam dunia pelacuran. - Gambar hiasan
 
SAYA bertemu Asmah (bukan nama sebenar), 44, ketika dia sedang menunggu untuk mendapatkan makanan dalam satu program anjuran Barisan Aksi Interaksi Kreativiti Mahasiswa/i Fakulti Perubatan di Pusat Perlindungan Sinar Alam, Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menyarung skirt pendek paras lutut dan baju T ketat dengan raut wajah yang cengkung serta tubuh sedikit kurus, pandangan kosong wanita itu bagai menggamit hati saya untuk mendekatinya.
Ternyata sapaan saya dibalas mesra tanpa menunjukkan riak terkejut walaupun ketika itu ada beberapa orang gelandangan lain yang turut menunggu makanan diedarkan berserta sedikit sumbangan wang.
Berbual dengan wanita ini tentang kisah hidupnya, timbul rasa belas di hati kerana dalam usia sebegitu dia sepatutnya bukan menghabiskan masa di jalanan dan lorong-lorong gelap sebagai pelacur murahan dan bergelumang dengan najis dadah.

Tuesday, 20 November 2012

Kata Mahathir

PR wajar lantik Karpal jadi PM
ROBIATULADAWIYAH ABD RASHAD
20 November 2012
Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan kepada Pakatan Rakyat (PR) agar melantik Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Sigh sebagai Perdana Menteri jika PR rakyat berjaya mentadbir negara.

“Bagi kat dialah (Karpal Sigh), teruk lama dah dia berjuang ni, patut bagi Karpal Sigh jadi perdana menteri... Yang Amat Berhormat Karpal Sigh, bila pencen boleh dapat Tun tau, Tun Karpal Sigh, Tun Anwar Ibrahim , Tun Haji Hadi,” katanya dengan sinis ketika ditanya wartawan berhubung kecelaruan PR dalam soal siapa layak jadi Perdana Menteri.

Menurut beliau, rakyat boleh melihat sendiri sikap pemimpin pembangkang yang sudah berebut-rebut jawatan sebelum berjaya menguasai kerusi di Parlimen.

“Inilah yang kita lihat belum jadi kerajaan dah berebut-rebut dah. Bukan sahaja Haji Hadi (Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang), bukan sahaja Anwar (Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim), Karpal Sigh pun nak jadi Perdana Menteri jugak,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian perwakilan di Muktamar Pas ke-58 baru-baru ini yang mahu Abdul Hadi menjadi Perdana Menteri sekiranya kemenangan berpihak kepada PR pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Bagaimanapun, DAP dengan tegasnya mengulangi pendirian mereka mahukan Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri jika PR memerintah.

“Ini adalah pilihan sepakat bagi ketiga-tiga parti, bahawa jika Pakatan Rakyat menang, Anwar yang akan menjadi perdana menteri,” kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semalam.

Mengulas lanjut berhubung perkara itu , Dr Mahathir berkata DAP, mahu mendapat kepercayaan daripada masyarakat Melayu, oleh kerana itu mereka beriya-iya mahukan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Dia nak orang Melayu percaya pada DAP, kerana pemimpin DAP tidak ada orang Melayu, yang ada sudah lari keluar. Jadi dia nak Melayu punya sokongan, sebab itu dia nak orang Melayu jadi PM, jadi orang Melayu merasa legalah orang Melayu jadi PM.

“Tetapi, nanti jadi seperti di Perak, bila Nizar (Datuk Seri Nizar Jamaluddin) jadi Menteri Besar, dia duduk di bawah telunjuk DAP, sebab itu dia bagi tanah, kita tentukan dasar tanah tidak boleh bagi lebih daripada 99 tahun tapi dia bagi sampai kiamat,” katanya.-Sinar Harian

Mahathir:

Orang Arab berani, tapi tak mungkin gerak misi 9/11


20 November 2012


KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mendedahkan kesan serangan 11 September terhadap Amerika dan menyifatkannya sebagai bencana terburuk akibat perbuatan manusia sejak Perang Dunia yang lepas berakhir.


Beliau berkata, peristiwa itu mengakibatkan kematian ratusan ribu rakyat Iraq dan Afghanistan serta beberapa ribu tentera Amerika dan British, selain kemusnahan dunia negara Islam itu



"Ia telah membahagikan dunia kepada Islam dan bukan Islam, serta menabur benih syak wasangka dan kebencian di antara mereka," katanya sambil menambah, peristiwa itu turut menjejas


keselamatan negara di dunia sehingga terpaksa membelanjakan bertrilion dolar untuk langkah keselamatan.


"Namun, ancaman tetap kekal, bukan hanya daripada mereka yang digelar pengganas, malah dari negara berkuasa serta kempen mereka untuk mengubah dunia," katanya ketika berucap pada persidangan antarabangsa berkaitan '9/11 Revisited - Seeking the Truth' di sini, semalam.


Negarawan Malaysia itu juga berkata adalah penting untuk mencari kebenaran di sebalik tragedi 9/11 "kerana apabila kebenaran didedahkan, barulah kita benar-benar bersedia untuk melindungi diri dan keselamatan kita."


Berkongsi pandangan beliau berkaitan serangan udara terhadap Amerika pada 11 September 2001 itu, yang antara lain, membinasakan Menara Berkembar ikonik di New York, Dr Mahathir berkata, tindakan tersebut melibatkan unsur sangat kompleks serta memerlukan perancangan terperinci, pengaturan masa yang tepat selain pelaksanaan berdisiplin.


Beliau turut bercakap panjang lebar berhubung kesukaran yang perlu ditempuh untuk merampas empat pesawat besar bagi melanggar sasaran pada masa sama.


"Saya boleh bayangkan mereka yang terlatih seperti anggota CIA atau Mossad merancang serta melaksanakan operasi sekompleks ini, namun saya tidak pernah terfikir seorang Arab seperti Osama bin Laden mampu merancang dan mengarah serangan udara secanggih ini dari sebuah tempat terpencil di Afghanistan," katanya.


Sambil memohon maaf kepada bangsa Arab, Dr Mahathir berkata: "Merancang dan melaksanakan operasi sekompleks ini bukanlah sesuatu yang mereka boleh lakukan dengan baik.


"Mereka sememangnya amat berani dan sanggup mati demi agama mereka, namun mereka bukanlah seperti anggota Tentera Marin Amerika yang merancang serta melaksanakan pembunuhan Osama bin Laden," kata Dr Mahathir, yang juga Presiden Yayasan Keamanan Global Perdana Malaysia (PGPF).

Dalam perkembangan lain, beliau turut memberi amaran bahawa percubaan akan dibuat untuk memadam laporan berhubung ceramah serta perbincangan pada persidangan itu oleh pihak yang menentang kebebasan bersuara dan kebebasan media.


"Bagaimanapun, media alternatif akan mengecewakan mereka dan mendedahkan apa sebenarnya yang berlaku pada persidangan ini," katanya.


Dr Mahathir kemudian memberitahu pemberita cadangan penubuhan suruhanjaya bebas antarabangsa bagi menyiasat tragedi 9/11 akan membantu mendedahkan dalang sebenar di sebalik kejadian itu.

Satu resolusi berhubung perkara itu juga diluluskan pada persidangan hari ini.


Dr Mahathir berkata, suruhanjaya itu juga boleh mengesahkan ketepatan laporan berhubung tragedi 9/11 yang disediakan pihak berkuasa Amerika.


Dianjurkan PGPF dan Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur, persidangan itu dihadiri, antara lain, bekas anggota kongres AS Cynthia McKinney, produser filem James Corbett dan bekas anggota Parlimen Eropah Giulietto Chiesa dari Itali. - Bernama

Monday, 19 November 2012

Calon PM:

 Anwar pilihan Pakatan, kata DAP
JAMILAH HAMZAH 19 November 2012
Lim Guan Eng
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng
 
 
KUALA LUMPUR - DAP hari ini mengulangi pendirian pihaknya bahawa calon Perdana Menteri jika membentuk Kerajaan Pusat kelak adalah seperti yang telah disepakati oleh Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pihaknya telah bersepakat dalam memilih Anwar sebagai Perdana Menteri dan tiada perubahan dalam keputusan itu setakat ini.


Mengulas perkembangan semasa yang tercetus pada Muktamar Tahunan Pas ke-58 dan Himpunan Kebangkitan Rakyat Jumaat lalu, Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang memberitahu, PR telah mempunyai kesepakatan dalam pemilihan calon pihaknya dan isu siapa menjadi Perdana Menteri tidak perlu dibangkitkan lagi.

"DAP tidak mempunyai calon sebagai Perdana Menteri walaupun Pas dan PKR telah mempunyai calon.

"Kita telah sepakat mengatakan Anwar menjadi Perdana Menteri, jadi kalau ada parti lain ada mahu mencalonkan pemimpinnya, itu terpulang.

"Apa yang penting, keputusan antara pemimpin yang sepakat memilih Anwar sebagai Perdana Menteri apabila PR berjaya menawan Putrajaya dan tiada perubahan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.



Mengulas lanjut, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, sesiapa pun boleh mengeluarkan pendapat dan cadangan untuk memilih pemimpin daripada parti masing-masing untuk menjadi Perdana Menteri.


Namun katanya, apa yang penting ia satu keputusan bersama pemimpin PR.


Dalam pada itu, Guan Eng menafikan DAP mempunyai kesepakatan dalam isu hudud yang dibawa Pas.


Sebaliknya katanya, DAP tetap akan bersama PR memenangi Putrajaya dan memperjuangkan isu membanteras rasuah, memberi kesamarataan serta wujudkan dasar yang adil.


"Memang perbezaan pendapat wujud antara DAP dan Pas tapi kita perjuangkan agenda yang ada dalam Buku Jingga.


"Kita hormat Pas seperti Pas hormat DAP. Kita berganding bahu dalam isu-isu bersama iaitu lawan rasuah dan mahu selamatkan Malaysia dimiliki rakyat bukan kroni," katanya.-Sinar Harian

Harussani:

Dakwaan murtad oleh Nik Aziz satu fitnah kepada umat Islam

19 November 2012
Harussani ZakariaHarussani Zakaria
 
 
IPOH - Tindakan Mursyidul Am PAS Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat mendakwa Umno sebagai murtad adalah satu fitnah kepada umat Islam, kata Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria.

Beliau turut mempersoal atas asas apa dakwaan murtad itu dikeluarkan oleh Nik Aziz sedangkan umat Islam yang menjadi anggota Umno juga mengucap dua kalimah syahadah, bersolat lima waktu dan bertuhankan Allah yang satu.

"Dan jika kita menyampaikan pendapat serta mempertahan Islam, macam mana dihukum murtad? Dalam keadaan sekarang, tidak pernah berlaku di dalam Islam untuk mendoakan kehancuran orang Islam. Salah, ia bertentangan dengan Islam," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Muzakarah Ulama dan Cendiakawan Islam yang disempurnakan Pemangku Raja Perak Raja Nr Nazrin Shah di sini hari ini.

Beliau berkata perbuatan berdoa dan mengaminkan kehancuran umat Islam adalah bidaah dan hukumnya haram serta perlu bertaubat manakala menuduh orang Islam kafir boleh membuatkan orang Islam yang menuduh itu sendiri menjadi kafir.

Katanya dalam Islam, seluruh umat adalah bersaudara dan menjadi kewajiban untuk menasihati jika mereka melakukan sesuatu yang tidak betul, namun parti pembangkang PAS melenting dan menuduh pihak lain tidak menyokong Islam apabila tindakan melampaunya ditegur.

"Macam mana dia (Nik Aziz) tuduh orang Umno semua sekali itu murtad. Apa maksud murtad yang dia kata, kalau bersekongkol dengan kafir Harbi yang terang-terang menentang Islam itu adalah kafir," katanya.

Harussani berkata perkelahian antara umat Islam sedang berlaku dalam masyarakat di negara ini dan ia sesuatu yang mendukacitakan.

"Ini sekarang berlaku dalam masyarakat kita. Politik itu politik, Islam itu Islam, kita jangan berkelahi, di mana pun jangan berkelahi. Tapi kalau kita berkelahi semasa sendiri, itu taksub yang diharamkan Rasulullah. Ini dipanggil asabiyyah.

"Asabiyyah dalam kalangan orang Islam ini ada berpuak-puak. Berpuak dari segi politik ini tiada apa-apa selagi kita tidak memutuskan hubungan silaturrahim. Perbezaan pendapat dari sudut syarak tidak salah, ia membawa kemajuan. Tapi saya lihat yang berlaku dalam kalangan orang PAS, ia membawa kebencian, mereka menghukum dan menuduh," katanya.

Harussani turut berkata ada sebuah hadis mengenai supaya berhati-hati terhadap penyelewengan orang alim kerana golongan itu mempunyai pengaruh dan pengikut.

"Ini kerana yang ikut dan puja dia mesti sokong, alasannya Nabi Noh juga mendoakan umatnya ditenggelamkan, tapi perlu ingat Nabi Noh doakan mereka yang telah tolak dakwah Allah yang baginda bawa, tapi anak, baginda panggil," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Harussani berkata umat Islam sedang dihancurkan oleh musuh Islam walaupun dilakukan secara tidak berterusan namun mereka menggunakan taktik pecah-belah menyebabkan umat bercakaran dan dibunuh.

"Dalam negara ada orang Islam yang digelar ulama memimpin doa untuk dihancurkan sesama Islam, di mana akhlak, iman, pegangan orang Islam pada waktu ini?" soal beliau.

Katanya keadaan yang berlaku hari ini disebabkan kelalaian dan kejahilan tentang akidah serta prinsip Islam sehingga ada yang berebut untuk tempat dan kerusi politik serta kedudukan.

"Sedangkan kedudukan yang telah diberi Allah adalah sebagai Islam kerana umat Islam adalah sebaik-baik umat," katanya.

Beliau berkata sepatutnya solat hajat dan doa diadakan supaya menghancurkan musuh Islam yang terang-terang membunuh umat Islam seperti di Palestin dan Rohingya. - Bernama/Sinar Harian

Saturday, 17 November 2012

Dunia Oh Dunia

Seluar dalam pemuas nafsu

 
Januari lalu, polis menemui lebih seribu seluar dalam di dalam kereta Danai dia ditahan kerana disyaki merompak manakala beribu-ribu lagi ditemui di rumahnya. 

Dia dibebaskan dengan jaminan selepas mengaku mencuri dan mengumpulkan seluar dalam wanita sejak berusia 18 tahun.

Polis melakukan pemeriksaan di rumah Danai selepas kejadian rompakan di sebuah kedai barang kemas membabitkan nilai AS$325,000 (RM975,000).

Isterinya juga didapati memakai barangan kemas yang dicuri. Pada masa itu juga polis turut menemui beberapa beg penuh dengan seluar dalam.

Danai mengaku terlalu menggemari seluar dalam dan menggunakannya untuk memuaskan nafsu, kata Kolonel Polis, Napanwut Liamsanguan.
Dia mengumpul seluar dalam selama bertahun-tahun dan mencuri tiga hingga lima helai dari rumah atau apartmen.

Saya berhenti mengira seluar dalam itu selepas 2,000 helai tetapi saya pasti semuanya melebihi 5,000, katanya.

Isterinya menyedari masalah yang dihadapi lelaki terbabit tetapi beliau enggan bertemu doktor, kata polis.

AFP/Berita Harian

Bapa khayal dadah kelar anak 11 bulan

 

KUANTAN: Seorang bapa yang dipercayai sedang khayal akibat pengambilan dadah menyembelih bayinya yang baru berusia 11 bulan di Felda Panching Selatan dekat sini semalam.

Nur Amirah dikelar dengan senjata tajam ketika dia sedang tidur bersama ibu dan abangnya dalam kejadian kira-kira 9.30 malam.
"Suspek yang dipercayai sedang khayal telah bertindak mengelar leher bayinya ketika isterinya keluar dari bilik tidur," kata Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff kepada Bernama.

Suspek yang berumur 29 tahun kemudiannya memaklum perbuatannya kepada isteri dan ibunya.
Beliau berkata ibu suspek telah membawa bayi tersebut yang dalam keadaan kritikal ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, namun bayi berkenaan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

"Suspek kemudiannya ditahan di dalam sebuah kereta di lampu isyarat dekat Kem Batu 10 bersama bapa dan adik lelakinya, yang dipercayai mereka dalam perjalanan ke balai polis untuk menyerah suspek kepada pihak polis," katanya.

Suspek didapati positif dadah metamphetamine dan amphetamine selepas ujian air kencing dilakukan, katanya.     

Pihak polis turut menemui parang dan pisau di tempat kejadian. - BERNAMA/Berita Harian

Dunia oh Dunia

Kemaluan terpaksa dibuang selepas disuntik minyak zaitun


BANGKOK - Pegawai-pegawai kesihatan semalam menasihati kaum lelaki di Thailand bahawa saiz tidak penting selepas zakar seorang pesakit terpaksa dibuang susulan percubaannya membesarkan organ tersebut dengan suntikan minyak zaitun.

Berisiko dan belum terbukti berkesan, kaedah itu biasa digunakan di Thailand, malah, sebuah hospital di sini menerima sekitar 40 pesakit sebulan yang bimbangkan kesan sampingan teknik tersebut.
Selain minyak zaitun, lelaki Thailand gemar menggunakan lilin lebah, silikon dan parafin untuk membesarkan saiz kemaluan mereka.

Jurucakap Hospital Besar Polis di sini, Sirikul Jiaranaikhajorn memberitahu agensi berita AFP bahawa pesakit berusia 50 tahun itu telah beberapa kali menjalani rawatan suntikan minyak zaitun sejak bertahun-tahun lalu.

Menurutnya, kemaluan lelaki itu mengalami jangkitan kuman yang teruk.

Dia juga didapati menghidap kanser zakar sekali gus menyebabkan pembedahan membuang organ berkenaan perlu dilakukan.

"Ini ialah pembedahan membuang kemaluan terbesar yang kami pernah lakukan selepas kami menemui kanser pada organ tersebut," kata Sirikul.

Katanya lagi, mereka merawat antara dua hingga tiga pesakit akibat zakar dijangkiti kuman pada setiap minggu tetapi belum ada bukti teknik itu menyebabkan kanser.

Jelas Sirikul, lelaki berkenaan menjalani suntikan itu di sebuah klinik dengan ditemani beberapa rakannya walaupun amaran telah dikeluarkan bahawa teknik pembesaran zakar seperti itu amat berisiko.

"Kaedah ini hanya mendatangkan mudarat, orang ramai mendapat maklumat salah bahawa ia berkesan," ujarnya.

Tambah jurucakap itu, kebanyakan lelaki mencuba prosedur tersebut kerana terpedaya dengan cerita rakan-rakan mereka.

"Wanita mencintai lelaki bukan kerana saiz zakarnya," jelas Sirikul.

- AFP/kosmo

Thursday, 15 November 2012

Harussani

Wajib bertaubat, tarik balik kenyataan

IPOH 14 Nov. - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menasihatkan supaya anggota Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar bertaubat serta memohon keampunan daripada Allah SWT serta menarik kembali kenyataannya berhubung kebebasan beragama pada sebuah forum di Subang Jaya, baru-baru ini.

Beliau juga mengulangi nasihat itu untuk seluruh pengikut pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) terbabit yang menyokong serta bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan itu kerana ia adalah berdosa besar.

"Dia (Nurul Izzah) terlampau mudah buat kenyataan seperti itu. Dia perlu bertaubat, bertaubatlah dan tarik balik kenyataan dalam ucapannya itu. Minta maaflah kepada semua. Manusia ini tidak lari daripada melakukan kesilapan, kita mudah melakukan kesilapan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya, pengikut pemimpin pembangkang itu juga bersubahat dalam tindakan atau perbuatan yang tidak dibenarkan oleh agama Islam dan berdosa besar.

"Orang ini (pengikut) ini bersubahat dan berdosa besar, mereka wajib bertaubat...perlu menggunakan akal yang waras. Jangan permain-mainkan agama," katanya.

Katanya, kenyataan seperti yang diungkapkan oleh Nurul Izzah itu akan memudahkan perbuatan atau tindakan yang dilarang oleh agama Islam.

Beliau berkata, sekiranya Nurul Izzah tahu, sedar dan faham yang diucapkannya, maka akidah pemimpin parti pembangkang itu telah rosak dan telah keluar daripada pegangan akidah sebagai seorang Islam.

"Islam terima kewarasan akal, jika dia tahu, sedar, faham serta ada pengetahuan dan keyakinan (tentang apa yang diucapkannya) maka dia wajib bertaubat," katanya. - Bernama

Laporan portal berita propembangkang pada 3 November lepas memetik Nurul Izzah sebagai berkata: "Rakyat tidak seharusnya dipaksa menganut agama tertentu dan perkara ini juga patut terpakai kepada orang Melayu.

"Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama...bagaimana seseorang itu boleh berkata, maaflah, ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, ia sepatutnya diguna pakai secara sama rata," kata Nurul Izzah.

Beliau berkata demikian pada forum bertajuk "Negara Islam: Versi Mana; Tanggungjawab Siapa?" di Subang Jaya, Selangor pada 3 November. - BERNAMA
 
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my