Thursday, 15 November 2012

Dunia oh Dunia:

Nurul usah nafi kenyataan

Siti Zabedah
 
KUALA LUMPUR 14 Nov. - “Dia (Nurul Izzah Anwar) tidak boleh menafikannya, sesiapa pun tidak boleh buat cerita, kita ada rakaman, every word (setiap perkataan) kita rakam."

Demikian reaksi ahli Majlis Peguam, Siti Zabedah Kasim berhubung kenyataan bahawa hak kebebasan beragama perlu diguna pakai sama rata, termasuk orang Melayu seperti yang disebut oleh Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah dalam sebuah forum baru-baru ini.

Menurut Siti Zabedah, kenyataan Nurul Izzah bagi menjawab soalannya dalam forum itu sangat jelas dan difahami maksudnya oleh para hadirin forum berkenaan.

Penegasan terbaru Siti Zabedah itu ekoran pendirian Nurul Izzah mahu menyaman media arus perdana dan media alternatif yang didakwa memutar belit kenyataannya serta mengelak mengulas berhubung kenyataannya berhubung isu tersebut sebelum ini.-: http://www.utusan.com.my

Wednesday, 14 November 2012

Dunia Oh Dunia:

Seluar dalam cegah bau kentut laris

Tokyo: Seluar dalam yang didakwa dapat meneutralkan bau 'kentut' terbukti mendapat sambutan hangat dalam kalangan ahli perniagaan rajin bekerja di sini yang gemarkan idea melepaskan bau tanpa masalah.

Sebuah syarikat tekstil tempatan membangunkan rangkaian seluar dalam yang dikatakannya mencegah bauan tidak diingini.     

 
“Ia mengambil masa beberapa tahun untuk membangunkan seluar dalam deodoran pertama yang cukup selesa dipakai dalam kehidupan seharian malah segera menghapuskan bau busuk,” kata Nami Yoshida, seorang jurucakap syarikat Seiren yang mengeluarkan produk itu.     
 
Ramai orang kebanyakan seperti ahli perniagaan membelinya untuk berjumpa orang ramai setiap hari," Nami Yoshida, Jurucakap syarikat

Dapat sambutan

“Pada mulanya kami terfikir untuk menjualnya kepada mereka yang memerlukan penjagaan di rumah orang tua dan hospital. Namun amat mengejutkan kami, ramai orang kebanyakan seperti ahli perniagaan membelinya untuk berjumpa orang ramai setiap hari,” katanya.

Seluar dalam itu dikeluarkan dengan partikel seramik penyerap bau di dalam bahan gentian.

Seiren membangunkan teknologi itu selepas dihubungi seorang doktor yang mahukan sesuatu untuk menutup bau najis yang dikeluarkan mereka yang menghidap sindrom usus.      
 
Syarikat itu kini berkembang kepada 22 barangan, termasuk stokin yang mencegah kaki daripada berbau dan baju-t yang menutup bau ketiak. - Agensi/Berita Harian

Tuesday, 13 November 2012

Regangan Otak :

Istilah Ketenangan

Apa sebenarnya ketenangan ?

Apakah kerana banyak wang ?
Harta melimpah ruah bukan kepalang ?
Baru hidup menjadi tenang

Atau ketenangan sebenarnaya
Hanya istilah tanpa pengisian ?

Ketenangan sebenarnya apabila ;

Iman bertambah bukannya kurang
Penyakit semakin berusia semakin kurang
Makan sedikit tetapi kenyang
Hutang tidak pernah keliling pinggang
Mata rabun menjadi terang
Buang air sentiasa senang
Mulut manis bukan kepalang
Kalau berbahas sentiasa tenang

Bersangka baik sesama insan
Tak kira kawan mahupun lawan
Yang salah sama betulkan
Yang benar kita ikutkan

Marilah sama-sama kita fikirkan
Kalau ingin mencari ketenangan
dalam kehidupan

Anak Ketam 131112

Monday, 12 November 2012

Dunia oh Dunia

Pemimpin Islam perlu sepakat pertahan maruah agama

 
Besut: Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin berkata pemimpin Islam di negara ini perlu sepakat dalam menjaga kepentingan agama Islam tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

Katanya tindakan sesetengah pemimpin politik yang mengetepikan kepentingan agama demi kedudukan politik dan menyebabkan kecelaruan berpanjangan dalam masyarakat.     
 
 “Amat dikesalkan kerana pemimpin PAS seperti tidak mahu memperbetulkan kenyataan yang dibuat Nurul Izzah Anwar (Naib Presiden PKR) dalam soalan kebebasan beragama selain turut menyokong dan mengatakan perkara itu tidak penting,” katanya pada satu perjumpaan dengan media, di sini semalam. 
 
Katanya sebagai Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat jelas mengetepikan kepentingan Islam apabila menyokong Nurul Izzah sekalipun menyedari beliau melakukan kesalahan besar.

“Nik Aziz jika tahu perkara ini salah sepatutnya jangan keluar apa-apa pandangan dan lebih baik menjadi syaitan bisu daripada syaitan yang berkata-kata,” katanya.

Beliau turut meminta Nurul Izzah memperbetulkan kenyataannya dan meminta maaf dengan mengakui tidak arif mengenai bidang agama.      

Pada 3 November lepas, portal berita Malaysiakini melaporkan Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, rakyat tidak seharusnya dipaksa menganut agama tertentu dan perkara tersebut juga patut terpakai kepada orang Melayu.

“Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama... bagaimana seseorang itu boleh berkata, maaflah, ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, ia sepatutnya diguna pakai secara sama rata,” katanya.

Beliau berkata demikian pada forum bertajuk ‘Negara Islam: Versi Mana; Tanggungjawab Siapa?’ di Subang Jaya pada 3 November lalu. - BERNAMA

Dunia Islam

Kebangkitan Islam Kemboja selepas Pol Pot



DI ruang dapur yang sempit di bawah sebuah rumah papan, Aishah, 27, ibu kepada seorang anak lelaki berusia 11 tahun kelihatan sedang memasak air menggunakan dapur kayu. Pada masa sama, dia menanak nasi putih kemudian menggoreng telur itik.

Kesemua juadah itu perlu disiapkan pada awal pagi sebelum langit cerah kerana selepas bersarapan, dia dan suaminya akan turun ke sungai menangkap ikan.

"Sebagai seorang isteri, saya bukan sahaja perlu membuat kerja-kerja rumah, malah membantu suami menangkap ikan. Kami akan menaiki sampan selama dua jam untuk sampai ke lokasi menangkap ikan iaitu di Sungai Ochok bersempadan dengan Vietnam.

"Antara spesies ikan yang biasa kami dapat termasuk haruan, keli, toman dan lampam. Setelah dijual, dalam sehari purata pendapatan kami sekitar RM10," katanya yang pulang ke rumah pada pukul 4 petang.

Begitulah antara suasana Kampung Samrong, Takeo, Phnom Penh, Kemboja tatkala azan Subuh berkumandang pada pukul 4.40 pagi.

Bagi golongan lelaki di perkampungan Islam itu, mereka bergegas dahulu ke masjid untuk menunaikan solat secara berjemaah. Pagi itu, kira-kira 100 orang menunaikan solat secara berjemaah. Sebaik selesai solat, sebahagian mereka bertaburan keluar mencari rezeki.

Mereka perlu menyediakan diri untuk ke sawah atau ke sungai. Bunyi deruan enjin Kubota iaitu jentera untuk membajak sawah memecah keheningan pagi itu. Sesekali terdengar percakapan antara mereka dalam bahasa Khmer.

Di beberapa buah rumah yang kedudukannya agak rapat antara satu sama lain kelihatan pula wanita-wanita sedang memilih dan menyiang ikan-ikan kecil yang dibawa suami dari sungai bagi dijadikan makanan ikan peliharaan di dalam kolam.

Kaum wanita lain pula sibuk melakukan rutin harian sebagai suri rumah seperti menyapu, membasuh pinggan mangkuk atau mengemas rumah.

Kemudahan asas

Penulis yang pertama kali berkunjung ke perkampungan itu pada Hari Raya Korban lalu mendapati keadaannya umpama Malaysia, 30 tahun yang lalu.

Memakan masa perjalanan selama dua jam setengah dari Phnom Penh, rumah-rumah di perkampungan itu dibina agak rapat.

Rumahnya dibina tinggi lengkap bersama tangga. Di bawah rumah terdapat pangkin untuk mereka beristirehat atau makan. Sesetengah rumah, di bawah rumah terdapat kandang lembu, reban ayam dan angsa.

Laluan di kampung itu masih menggunakan tanah merah atau laluan kampung sahaja. Kampung itu dikelilingi sawah padi yang terbentang luas serta sungai yang lebar menyambung sehingga ke Vietnam.

SEORANG wanita membuka perniagaan kecil-kecilan di depan rumahnya di Kampung Samrong.

Selain pergi ke sawah, ada juga yang menjadi nelayan atau menternak lembu, angsa, ayam dan itik.
Dari segi kemudahan, kampung tersebut baru saja mempunyai bekalan elektrik sejak setahun lalu. Bagaimanapun, bekalan air masih diperoleh dari sungai. Penduduk mengepam air sungai masuk ke dalam kolah di rumah masing-masing untuk digunakan semasa mandi. Airnya agak keroh.
Kewujudan tempayan-tempayan besar di setiap rumah juga adalah pemandangan biasa di kampung berkenaan.

Sejarah
Ketua Kampung Samrong, Yusof Abdullah, 61, berkata, kampung berkenaan dibuka pada tahun 1979 iaitu selepas berakhirnya era kekejaman Pol Pot yang menguasai negara berkenaan selama tiga tahun bermula dari tahun 1976.

"Pada peringkat awal cuma ada lebih 60 keluarga, namun kini bilangannya meningkat kepada 175 keluarga atau kira-kira 1,000 penduduk. Sumber ekonomi utama penduduk kampung ialah tanaman padi dan perikanan.

"Golongan muda pula ada yang berhijrah ke bandar seperti Phnom Penh untuk bekerja di kilang-kilang dan sebahagian kecil merantau ke luar negara seperti Malaysia," katanya.

Yusof yang merasai keperitan hidup pada zaman komunis Pol Pot menyatakan, era gelap itu turut merencatkan perkembangan pendidikan dan agama Islam. Ketika pemerintahan diktator Pol Pot dianggarkan antara satu hingga tiga juta penduduk Kemboja mati.

Pada ketika itu, penduduk bukan sahaja takut untuk keluar rumah, malah tidak dibenarkan melakukan amalan agama seperti solat dan puasa.

Apabila negara Kemboja bebas daripada pengaruh rejim Pol Pot, orang ramai mulai berhijrah ke kampung berkenaan yang pada waktu itu masih tiada penghuni.

Selepas 30 tahun dibuka, Yusof berkata, kemajuan ekonomi penduduk kampung masih berada pada tahap rendah dan kemiskinan masih merantai kehidupan harian mereka.


KAUM wanita mengasingkan ikan-ikan kecil untuk diberi makan ikan yang diternak di kolam.


Masjid di kampung berkenaan juga mungkin tidak wujud hari ini jika tidak kerana kemurahan hati seorang rakyat Malaysia yang mengeluarkan dana bagi mendirikannya.

Pendidikan

Tanaman padi yang dituai dua kali semusim juga sekadar mampu untuk menampung keperluan harian penduduk. Meskipun mempunyai kawasan sawah padi yang luas, masalah kos serta harga peraih yang rendah menekan kehidupan mereka. Penduduk kampung terpaksa meminjam wang daripada pihak tertentu dan perlu membayarnya setelah memperoleh hasil daripada penjualan padi.

"Kita di sini sekadar cukup makan, namun kehidupan sekarang jauh lebih baik berbanding zaman Pol Pot. Dari segi pendidikan kita jauh ketinggalan kerana di kampung ini para pelajar hanya diajar bahasa Khmer dan pendidikan agama sahaja.

"Bilangan guru juga agak menyedihkan kerana terdapat tiga orang sahaja. Bagaimanapun, 40 orang pelajar berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, manakala tiga orang berjaya pergi ke Madinah," katanya.

Seorang penduduk, Menjan, 29, berkata, suaminya mengerjakan sawah seluas 1.5 hektar sebanyak dua kali semusim.

"Setiap kali musim menuai kami memperoleh sebanyak lima tan padi dengan setiap tan berharga RM170. Pendapatan yang diperoleh itu, belum lagi ditolak sewa Kubota, anak benih dan lain-lain," katanya yang merupakan seorang suri rumah.-Kosmo

Dunia oh Dunia

Pas serah kepada orang ramai


KUALA TERENGGANU 11 Nov. - Dewan Ulama Pas hari ini menyerahkan kepada orang ramai untuk menilai kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berhubung orang Melayu perlu diberi kebebasan memilih agama.

Ketuanya, Datuk Harun Taib percaya rakyat sudah tahu menilai kenyataan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Selain itu, beliau berkata, terserah kepada pertimbangan Nurul Izzah sama ada perlu menarik balik kenyataannya yang penuh kontroversi itu atau tidak.

Tegasnya, hanya Nurul Izzah sendiri yang tahu menilai keperluan untuk menarik balik kenyataan itu atau pun sebaliknya memandangkan anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim itu lebih mengetahui ketepatan sebenar fakta yang diluahkannya.

Jelas Harun, sekiranya Nurul Izzah rasa bersalah atas kesilapan kenyataan yang dinyatakannya tempoh hari, Naib Presiden PKR itu sewajarnya menarik balik kenyataan tersebut bagi mengelak timbul kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

Sunday, 11 November 2012

Manusia tiada nafsu seks

 

SAINTIS belum dapat mengenal pasti punca kewujudan golongan aseksual.
MAO Sukiyama, 22, yang bekerja sebagai chef di Tokyo, Jepun kelihatan sama seperti lelaki normal lain.
Namun, lelaki berambut perang itu mengaku dia seorang aseksual iaitu manusia yang tidak menaruh perasaan cinta mahupun naluri seks terhadap pasangan sejenis ataupun berlawanan jantina.
Pada 8 April lalu, Sukiyama mengejutkan dunia apabila dia menulis pesanan di akaun Twitter miliknya dengan menawarkan kemaluannya untuk dimasak pada harga 100,000 yen (RM3,860).
Katanya, organ sulit itu dibuang melalui satu pembedahan yang sah di sisi undang-undang selain bebas daripada sebarang penyakit.
Lelaki yang gemar memasak ini berkata, dia tidak menyuntik sebarang hormon wanita ke dalam tubuhnya.
Jual kemaluan
"Saya ingin menjual kemaluan saya kepada pembeli yang berminat selain akan memasaknya mengikut menu yang diminta.
"Ini merupakan cara saya menterjemahkan diri sebagai seorang aseksual yang tidak berminat dengan lelaki atau wanita," katanya.
Menurut akhbar The Huffington Post, pada mulanya Sukiyama ingin melakukan satu perbuatan yang tidak masuk akal iaitu memakan kemaluannya sendiri.
Namun, dia mengubah fikiran untuk menjualnya. Akhirnya, pada 13 Mei lalu, dia merealisasikan tujuannya itu di sebuah restoran bernama Suginami Ward of Tokyo sempena hari lahirnya.
Pada majlis itu, lima individu bertuah dapat menjamah kemaluan Sukiyama yang direbus bersama cendawan butang serta halia sebagai penambah perisa. Harga makanan itu RM1,218 seorang.
"Saya berharap semua orang dapat mengiktiraf golongan aseksual. Kami juga mahu memakai pakaian lut sinar sebagai pengenalan untuk kami berinteraksi antara satu sama lain," tutur Sugiyama.
Malangnya, kerana perbuatan yang dianggap memalukan negara Jepun itu, dia boleh didakwa dan dipenjarakan selama dua tahun selain didenda sehingga RM100,000.
Sebenarnya, golongan aseksual jarang diketahui kewujudannya, tidak seperti homoseksual atau lesbian.
Kerajaan Jepun pernah membuat penyelidikan mengenai tingkah laku seks ribuan remaja lelaki dan wanita di negara itu tidak lama dahulu.
Hasilnya, satu pertiga remaja lelaki berusia 16 hingga 19 tahun mengatakan mereka tidak berminat untuk melakukan seks manakala satu pertiga remaja perempuan menyatakan perkara yang sama.
Kajian
Kajian itu turut mendapati, 25 peratus lelaki Jepun berumur lewat 30-an tidak pernah melakukan hubungan seks. Lebih mengejutkan, 61 peratus lelaki Jepun dan 50 peratus wanita negara itu tidak berminat berkahwin malah tidak mempunyai pasangan.
Baru-baru ini, kru Jurnal berpeluang bertemu dengan seorang wanita aseksual bernama Hamidah di sebuah restoran di Bangsar, Kuala Lumpur hasil bantuan seorang rakan.
Hamidah mendakwa dia tidak mempunyai naluri seks terhadap lelaki atau wanita.
"Saya berusia 47 tahun tetapi masih kelihatan muda. Saya mempunyai segalanya daripada rumah, kereta dan keluarga.
"Tetapi saya menganggap perkahwinan itu hanya satu bebanan kerana saya perlu menjaga suami dan anak-anak," katanya yang enggan gambarnya dirakam.
Hamidah mendakwa dia pernah mempunyai teman lelaki tetapi hubungan itu sekadar bertahan selama seminggu.
"Saya berasa pelik apabila bekas teman lelaki itu menyentuh tangan saya. Tiada langsung rasa ghairah ataupun keintiman.
"Pernah juga saya ingin menjadi seorang lesbian tetapi hasilnya tetap sama," ujarnya yang bekerja di sebuah firma guaman di ibu kota.
Menurut seorang pakar seks di Britain, David Jay, terdapat 1 peratus penduduk dunia yang merupakan golongan aseksual.
"Faktornya sehingga kini masih gagal dikenal pasti," ujar Jay.
Pakar Psikiatri Universiti Malaya (UM), Prof. Nor Zuraida Zainal berkata, fitrah manusia dan haiwan sebenarnya memerlukan pasangan dalam hidup.
"Jika benar ada golongan aseksual di negara ini, itu hanya akan mendatangkan musibah.
"Bayangkan jika mereka berjaya meresapi pemikiran remaja sekarang hingga menyebabkan ramai yang tidak mahu berkahwin. Ini pasti merugikan negara sekali gus mengurangkan populasi penduduk," katanya.-Kosmo

Dunia oh Dunia !

Terlalu gemuk untuk jalani hukuman mati


 
OHIO: Doktor seorang banduan yang menanti hukuman mati memberitahu mahkamah di sini semalam, pesakitnya terlalu gemuk untuk menjalani suntikan maut dan kerana itu tidak boleh menjalani hukuman berkenaan.

“Kerana tidak mempunyai vena pada lengan, tangan atau kaki untuk disuntik kerana terlalu gemuk, dia tidak boleh menjalani hukuman mati,” kata Doktor Sergio Bergese. Ronald Post, 53, sepatutnya menjalani hukuman itu pada 16 Januari depan atas kesalahan membunuh seorang kerani hotel, Grance Vantz pada 1983.
Post, 53, yang seberat 270 kilogram mahukan mahkamah membatalkan hukuman itu atas alasan berat badannya akan menyebabkan dia mengalami kesakitan amat sangat ketika menjalani proses berkenaan.
Menurut Bergese, Post juga mempunyai parut pada lengan kiri dan kanannya akibat cubaan membunuh diri. Parut berkenaan menyebabkan dia tidak boleh disuntik.
Sementara itu, waris mangsanya yang mendesak pihak berkuasa meneruskan hukuman itu, menyifatkan alasan Post sebagai jenaka. - Agensi/Metro

Friday, 9 November 2012

Dua pegawai tentera wanita dipaksa hantar gambar bogel

 

FORT BRAGG, Carolina Utara - Dua pegawai tentera wanita Amerika Syarikat yang memberi keterangan kelmarin menyatakan mereka menghantar beberapa gambar bogel kepada seorang pegawai tinggi tentera, Brigadier Jeneral Jeffrey Sinclair.

Menurut akhbar Fayetteville Observer, salah seorang daripada mereka menyatakan bahawa Sinclair berulang kali meminta dia menghantar gambar bogelnya.

Bagaimanapun, dia yang berpangkat kapten memuat naik beberapa gambar bogel wanita lain tanpa kepala untuk dihantar kepada pegawai tinggi itu.

Keterangan itu diberikan pada hari ketiga pendengaran tentera yang diadakan di sini bagi menentukan sama ada Sinclair akan dibicarakan berhubung beberapa dakwaan termasuk liwat dan perzinaan serta perlakuan seks yang dilarang.

Semua perbuatan itu tidak dibenarkan dalam perkhidmatan ketenteraan.
Pada Selasa lalu, seorang lagi pegawai tentera wanita berpangkat kapten memberi keterangan dengan menyatakan dia dipaksa melakukan seks oral dengan Sinclair.

Menurutnya, Sinclair yang sudah berkahwin mengancam untuk membunuhnya dan keluarganya jika dia enggan melakukan perbuatan itu.

Seorang lagi pegawai tentera berpangkat mejar memberitahu kelmarin, dia menghantar gambar payudaranya dan video kepada Sinclair.

Sinclair berdepan hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah di mahkamah tentera. - AP/Kosmo

'Sekolah' percuma di bawah jambatan


AP
BEBERAPA kanak-kanak belajar di bawah jejambat di New Delhi kelmarin.


NEW DELHI - Kira-kira 30 kanak-kanak belajar di sebuah 'sekolah' di bawah sebuah jejambat di sini.
Kanak-kanak itu tinggal di sebuah kawasan setinggan berdekatan jejambat tersebut.
'Sekolah' itu wujud sejak tiga tahun lalu.
Ia diasaskan oleh seorang sukarelawan, Rajesh Kumar Sharma.
Seorang lagi rakannya, Laxmi Chandra turut mengajar kanak-kanak itu. - Agensi/Kosmo