NEW DELHI: Gara-gara mahu memuaskan nafsu seksnya, seorang lelaki di India sanggup memasukkan wayar pengecas telefon bimbit ke pundi kencingnya.
Malah, ketika mendapatkan rawatan di hospital, lelaki itu mereka cerita bahawa dia menelan wayar berkenaan.
Doktor kemudian menjalankan pembedahan namun tidak menemui apa-apa wayar.
Perunding kanan bedah sebuah hospital di Guwahati, Walliul Islam berkata, pihaknya tidak perlu membuat pembedahan itu sekiranya lelaki berusia 30 tahun itu bercakap benar.
"Pesakit itu datang kepada kami kerana kesakitan pada perutnya dan memberitahu kami dia tersalah memakan wayar.
"Kami membuat endoskopi dan tidak menemui wayar itu dalam najisnya sebelum memutuskan membuat pembedahan.
"Namun, dia tidak menemui apa-apa di dalam saluran pencernaan lelaki itu," katanya seperti dipetik Mirror Online.
Katanya, rahsia lelaki itu terbongkar selepas imbasan sinar-X menunjukkan wayar itu berada pada pundi kencingnya.
"Lelaki itu datang lima hari selepas memasukkan wayar itu. Dia sebelum itu berulang kali mengatakan dia makan wayar itu melalui mulutnya. Kami tidak pernah bayangkan orang dewasa boleh menipu untuk perkara seperti ini.
"Lelaki itu yang malu (mengaku perkara sebenar) mempunyai kebiasaan memasukkan sesuatu dalam alat sulitnya untuk kepuasan seksualnya," katanya.
Beliau mengesahkan lelaki itu tiada masalah kesihatan mental, namun tindakan dilakukannya itu jarang berlaku.
"Kejadian lelaki memasukkan sesuatu dalam zakarnya pernah berlaku, tetapi lelaki ini pergi lebih jauh dengan memasukkan wayar dalam pundi kencing.
"Ini memang betul-betul jarang berlaku," katanya.
Katanya, wayar sepanjang dua kaki itu (kira-kira 0.6 meter) berjaya dikeluarkan menerusi satu pembedahan, manakala pesakit kini sembuh.
-Metro