Thursday, 23 February 2017

Bertafakur dalam kubur


Chongqing: Ramai wanita yang bercerai dengan pasangan mereka berdepan masalah tekanan emosi dan ada yang gagal mengawal diri sehingga sanggup membunuh diri.
Menyedari masalah itu, seorang wanita di bandar ini menawarkan kelas bertafakur di dalam kubur kepada wanita yang baru bercerai.
Liu Taijie, 30, berkata, kelas bertafakur di dalam kubur itu membantu wanita untuk mengatasi tekanan akibat perceraian mereka.
“Apabila seseorang itu berada dalam keadaan tertekan dan terlalu sedih, mereka biasanya merasakan kehidupan sudah sampai ke penghujungnya.
“Keadaan itu menyebabkan mereka memilih untuk membunuh diri,” katanya.

-Metro

Tuesday, 21 February 2017

Nenek pun neneklah... dah jodoh



Sulawesi Utara, Indonesia: Seorang pemuda berusia 28 tahun di Minahasa Selatan di sini, menarik perhatian apabila berkahwin dengan wanita berusia 82 tahun, Sabtu lalu, selepas setahun saling kenal mengenali.
Kisah pemuda itu kini heboh di media sosial Indonesia selepas selepas gambarnya berkahwin Martha Potu tersebar di Internet.
Sofian yang bekerja di sebuah bengkel berkata, dia berkenalan dengan Martha kira-kira setahun lalu selepas wanita itu tersilap mendail nombor telefonnya.
Menurut Kompas ketika ditemui semalam, Sofian berkata: “Setahun lalu saya menerima panggilan telefon daripada pemanggil tidak dikenali, saya menjawab dan kami berkenalan. Sejak hari itu kami sering berhubung tanpa mengetahui umurnya.
“Saya belum pernah bercinta sebelum ini, dan saya berasa jatuh cinta," kata Sofian.
Tidak tahan dengan perasaan cintanya, Sofian nekad mengunjungi Martha di Lelama, yang jaraknya amat jauh. Saat bersua muka kali pertama dengan Martha, Sofian terkejut.
"Saya tidak sangka Martha sudah setua ini. Namun, kami berasa benar-benar jatuh cinta, dan sepakat melanjutkan hubungan ini," kata Sofian.
Selepas beberapa bulan, mereka bercadang berkahwin yang menerima bantahan banyak pihak, terutama keluarga Martha, namun mereka bertekad untuk berkahwin.
Sofian memberitahu ibu bapanya di Pulau Mantahage serta mengajak mereka menemui Martha dan melamarnya tanpa memberitahu usia calon bakal isterinya itu.
“Kami tidak tahu calon isterinya seorang nenek. Kami sangat terkejut namun apa lagi mahu dikata.
“Kami lihat mereka saling menyayangi, lalu bersetuju dengan pilihannya. Jodoh itu urusan Tuhan," kata ibunya, Magdalena, 60.
Suami Martha meninggal dunia 10 tahun lalu dan tinggal seorang diri manakala dua anaknya anaknya berada di Jerman dan Arab Saudi.
"Saya berdoa kepada Tuhan jika masih diizinkan dan diberi kesempatan, saya meminta ada suami yang boleh mengurus saya pada usia tua ini.
“Tak sangka Tuhan mengutus Sofian," kata Martha.

- Metro

Monday, 20 February 2017

Silap minyak tanah disangka air




Benin (Nigeria): Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun enam bulan maut selepas ibunya tersilap memberi mangsa minum minyak tanah yang disangkanya air.
Dalam kejadian pada minggu lalu itu, Isreal Buhari meninggal dunia tidak lama selepas meminum minyak tanah yang diberi ibunya.
Menurut laporan media tempatan, Buhari pada mulanya mengadu haus kepada ibunya yang bekerja sebagai penjual minyak tanah.
Wanita itu kemudian mengambil satu tin minuman dan terus diberikan kepada anaknya tanpa menyedari bekas itu sebenarnya mengandungi minyak tanah.
Kanak-kanak itu meneguk cecair di dalam tin minuman berkenaan dan terus muntah.
Selang beberapa saat, badan kanak-kanak itu mula kejang dan dia menjerit-jerit kesakitan.
Apabila menyedari anaknya meminum minyak tanah, wanita itu segera meminta bantuan jirannya yang kemudian memberi kanak-kanak itu minum minyak kelapa sawit sebelum dibawa ke hospital.
Bagaimanapun, kanak-kanak itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.
Ibu mangsa memberitahu polis dia terlupa tin minuman berkenaan yang diberi kepada anaknya sebenarnya mengandungi minyak tanah.
Bapa mangsa juga merayu kepada pihak berkuasa supaya tidak mengambil tindakan terhadap isterinya kerana keluarga mereka miskin.

-Metro

Friday, 17 February 2017

Nasib baik tidak mati



Phnom Penh: Gambar pisau terpacak di belakang leher pemandu teksi motosikal antara gambar kejadian negeri yang dikumpul pakar bedah saraf, Profesor Sam Nang, sejak Jun tahun lalu, yang ditunjukkannya semalam.
Dalam kejadian itu, seorang penumpang mahu merompak pemandu teksi pada satu malam di Phnom Penh dan apabila mangsa enggan menyerahkan wangnya, penumpang terbabit menikam belakang leher lelaki itu menggunakan pisau dapur sepanjang lima inci.
Gambar X-ray menunjukkan pisau menembusi seluruh leher mangsa namun lelaki itu bernasib baik kerana terbabas hanya beberapa milimeter daripada saraf tulang belakang (spinal cord) membolehkan mangsa hidup.

Pisau yang digunakan dan luka mangsa yang semakin pulih. Gambar kanan, Profesor Sam Nang.
Profesor Sam Nang melakukan pembedahan mengeluarkan pisau itu namun beliau tidak menyatakan bila kejadian terbabit berlaku.
Beliau yang bersama dua lagi pakar bedah mengambil masa 90 minit untuk mengeluarkan pisau berkenaan berkata: “Mangsa amat bernasib baik kerana tikaman pisau itu tidak mengenai saraf penting.
“Pisau itu terbabas hanya satu atau dua milimeter, jika terkena lelaki itu sudah mati serta-merta.”
Menurutnya, lelaki itu pulih sepenuhnya tanpa sebarang kesan sampingan atau masalah saraf.
Profesor Nang yang mula menyertai pasukan pembedahan saraf pada 2005, kini bertugas di Hospital Preah Kossamak dan mengumpul gambar kes seperti kejadian itu sebagai bahan rujukan dan pembelajaran untuknya mengajar di Hospital Universiti Antarabangsa Sen Sok.

-Metro

Thursday, 16 February 2017

Mengaji RM33,400


Kuala Lumpur: Mengaji al-Quran di awan biru. Itu pakej ditawarkan sebuah syarikat penerbangan yang menampilkan kelainan bagi mendekatkan golongan jutawan kepada Allah SWT.
Kelas mengaji al-Quran dalam jet mewah yang dikendalikan johan qariah Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa 2009, Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman itu hangat diperkatakan netizen di media sosial.
Lebih menarik perhatian apabila orang ramai terkejut dengan caj yang dikenakan hampir mencecah AS$7,500 (RM33,400) seorang bagi sejam penerbangan pada setiap Ahad manakala RM2,000 untuk mengaji di dalam jet tanpa diterbangkan ke mana-mana.
Ketua Pegawai Eksekutif Elite Jets Sdn Bhd Hani Salman Ahmad bersama rakan kongsinya Sharifah Khasif berkata, kelas itu bertujuan mempromosikan pesawat peribadi selain mahu pelanggan Elite Jets mendapat pengalaman bermakna dengan membaca al-Quran di awan biru.
“Mereka yang tidak mahu mengambil pakej penerbangan boleh memilih pakej belajar di dalam jet saja tanpa perlu terbang,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, program itu disediakan khusus untuk mereka yang berkemampuan atau jutawan bagi mendekatkan diri dengan al-Quran.
“Sama saja seperti pakej umrah bersama selebriti yang ada sekarang. Contohnya, umrah bersama ustaz tersohor dengan bayaran pakej RM10,000,” katanya.
Menurutnya, pengajian bersama Sharifah Khasif percuma dan hanya dikenakan bayaran menyewa jet peribadi itu.
“Kos untuk menyewa jet peribadi mahal dan caj operasi setiap satu jam mencecah AS$5,000 (RM22,245) bagi kos minyak, permit, insurans dan kos penyelenggaraan.
“Kami beri pelanggan pengajian al-Quran percuma walaupun sekejap, tapi ilmu yang dimiliki lebih berharga dan tiada ternilai dan sebenarnya al-Quran kalamullah harus diangkat tinggi martabatnya di mana jua dan di mana saja,” katanya dipetik dalam Facebook Sharifah Khasif.
Menurutnya, ada sesetengah mereka sukar belajar al-Quran di tempat biasa dan perkhidmatan itu disediakan bagi memberi privasi serta pengalaman berada dalam pesawat peribadi.
“Setakat ini, kami menerima 100 pertanyaan. Ia bukan kerana wang disebabkan Sharifah Khasif juga mengajar golongan miskin secara percuma,” katanya.

-Metro

Wednesday, 15 February 2017

Sempat goreng telur atas bonet kereta

Brisbane: Kerana cuaca panas melampau, seorang anggota polis Australia di Birdsville sempat menggoreng telur di atas bonet kereta perondanya.
Satu rakaman video yang dimuat naik ke laman Facebook Jabatan Polis Queensland menunjukkan seorang anggota menggoreng telur dalam kuali yang diletakkan di atas bonet keretanya.
Video itu dimuat baru-baru ini dan ditonton lebih tiga juta kali dalam tempoh lima hari.
Menurut catatan Biro Kaji Cuaca, suhu di Birdsville berada sekitar 41 darjah Celsius sejak sambutan Hari Australia pada 26 Januari hingga Ahad lalu.
Birdville lazimnya mencatat suhu maksimum 38 darjah Celsius pada Februari, tetapi Ahad lalu suhu paling tinggi direkodkan iaitu 47.1 darjah Celsius.

-Metro

Terhenti pada sebatan ke-15

Banda Aceh: Hukuman sebat terhadap seorang wanita berusia 21 tahun di sini, Rabu lalu, terpaksa dihentikan pada sebatan ke-15 selepas dia tidak dapat menahan kesakitan jika hukuman itu diteruskan.
Seramai tiga orang iaitu dua lelaki, Safruddin, 32, dan Humaidi, 19, dan serta wanita berusia 21 tahun itu dikenali sebagai Linda, menjalani hukuman sebat di halaman Masjid Al Muchsinin Gampong Jawa, Kecamatan Kutaraja, Banda Aceh.
Sepatutnya pasangan Safruddin iaitu Epi Susanti, 28, juga disebat namun hukumannya diganti dengan penjara setahun enam bulan kerana sedang hamil dua bulan.

Seorang pesalah lelaki menjalani hukuman sebat.
Safruddin menjadi pesalah pertama disebat 27 kali yang berjalan lancar dan selepas itu, Humaidi (pasangan Linda) pula disebat 26 kali, juga berjalan lancar.
Selepas itu tiba giliran Linda Darmawati dan selepas disahkan pasukan perubatan dia sihat, hukuman sebatan 26 kali terhadapnya dimulakan.
Menurut laporan Detik.com, wanita itu rebah pada sebatan keempat dan pasukan perubatan memeriksa keadaannya sebelum hukuman diteruskan tiga minit kemudian. Wanita itu mengerang kesakitan sepanjang hukuman sehingga sebatan ke-15, dia rebah sekali lagi, memaksa doktor mengarahkan hukuman dihentikan.
Setiausaha Satuan Polisi Pamong Praja dan Wilayatul Hisbah (Satpol PP dan WH) Kota Banda Aceh, Yusnardi, berkata pihaknya akan bermesyuarat dengan pihak kejaksaan bagi memutuskan sama ada baki hukuman terhadap Linda akan dilaksanakan kemudian atau dihapuskan.
Menurutnya, dua pasangan itu ditahan berasingan di Banda Aceh beberapa bulan lalu dan Mahkamah Syariah Kota Banda Aceh memutuskan tiga dihukum sebat dan seorang dihukum penjara.
"Seorang (Epi Susanti) dihukum penjara kerana hamil, tidak dihukum sebat kerana dikhuatiri membahayakan kandungannya. Hukumannya diganti dengan penjara setahun enam bulan,” katanya.
Menurutnya, 89 pesalah syariat Islam yang diputuskan bersalah oleh Mahkamah Syariah dihukum sebat sepanjang 2016 dengan yang pesalah berkaitan judi paling ramai iaitu 60 orang.
Beliau berkata, pesalah khalwat yang dihukum ialah 22 orang, pesalah berkaitan minuman keras hanya tujuh orang.

-Metro

Tuesday, 14 February 2017

Isteri 'naik hantu'




Sao Paulo: Malang bagi seorang wanita ditangkap berasmara dengan suami orang apabila isteri kekasihnya membelasah dan memotong rambutnya sebelum mengaraknya di seluruh kawasan kejiranan tanpa seurat benang.

Isteri terbabit dilihat mengheret kekasih suaminya yang berusia 20 tahun dengan menarik rambut mangsa dalam kejadian dilaporkan berlaku di Cubatao, Sao Paulo itu.
Dua anak lelaki remajanya dan rakan mereka turut didengar bersorak serta ketawa besar untuk menarik perhatian jiran sekeliling.
Si isteri terbabit yang namanya tidak didedahkan dilaporkan mengekori suaminya ke sebuah apartmen sebelum menyerbu kediaman itu dan menemui lelaki terbabit dengan kekasihnya berasmara.
Selepas memotong rambut wanita itu dengan pisau cukur, dia terus membogelkan mangsa dan mengheretnya keluar.
Rakaman itu dikongsikan di dalam talian oleh keluarga si isteri yang dengan bangga menceritakan serangan terhadap perempuan simpanan terbabit seterusnya mencetuskan puluhan aduan kepada polis oleh pengguna media sosial.
Susulan itu, si isteri turut menyelar kritikan terhadapnya di media sosial.
“Saya tidak peduli apa yang mereka kata atau fikirkan.
“Mari saya tunjukkan caranya mengajar pembelot wanita yang meniduri suami orang. Saya menangkap jalang ini bersama suami yang mulai hari ini menjadi bekas suami saya!” katanya.
Mangsa dilaporkan kemudian diambil kekasihnya yang turut membawa bajunya.
Polis memulakan siasatan dengan cuba mengenal pasti identiti mangsa, tetapi berjaya menjejaknya selepas wanita itu sendiri datang ke balai polis membuat laporan bersama kakaknya.
Menurut wanita itu, kekasihnya mendakwa bujang dan mereka menjalinkan hubungan sejak lima bulan lalu.
Isteri terbabit ditahan polis dan kini berdepan hukuman penjara 10 tahun jika didapati bersalah atas beberapa tuduhan termasuk mengancam, mencederakan, memalukan dan melakukan keganasan terhadap wanita.

-Metro

Friday, 10 February 2017

Demi rambut lurus...

Gaza: Ramadan Odwan menggunakan kaedah pelik untuk meluruskan rambut pelanggannya di kedai gunting rambutnya di sini, iaitu dengan menyembur api.
Odwan bukan tukang gunting pertama menggunakan kaedah itu untuk meluruskan rambut, namun cara ini unik di Semenanjung Gaza.
“Orang ramai di sini sudah fanatik mengenai kaedah ini serta ramai ingin mencubanya pengalaman ini dan mereka tidak takut,” katanya.
Di kedai gunting rambutnya di Rafah, Odwan meletakkan lapisan cecair pelindung di rambut pelanggan sebelum menyembur api ke rambut pelanggannya.
Bagaimanapun, Odwan enggan memberitahu bahan yang digunakan untuk menghasilkan cecair pelindung itu.
“Saya mengawal tempoh api diguna. Saya menyalakannya atau mematikannya dalam tempoh 10 atau 15 saat. Ia sangat selamat dan belum pernah ada kemalangan sejak saya gunakan kaedah ini dua bulan lalu,” katanya.
Odawan mengenakan bayaran AS$5.20 (RM23.08) untuk meluruskan rambut menggunakan kaedah itu dan menggunting rambut.
Bekerja sebagai tukang gunting rambut selama 18 tahun, Odwan berkata, antara sebab menggunakan teknik itu adalah untuk menunjukkan tukang gunting rambut Palestin profesional seperti di negara lain.

https://youtu.be/-ECxlzIhQJ0

-Metro

Bayi empat kaki kembali normal


New Delhi: Bayi lelaki yang dilahirkan dengan empat kaki dan dua kemaluan, kini seperti bayi biasa selepas pembedahan berjaya membuang organnya yang berlebihan itu.
Pembedahan rumit itu dilalukan di Narayana Health City oleh sepasukan 20 doktor, jururawat dan pakar, minggu lalu.
Bayi itu dilahirkan secara normal pada 21 Januari lalu, di sebuah pusat kesihatan pedalaman kerajaan di perkampungan Puladinni, Karnataka, selatan India.
Sebaik dilahirkan, anak kedua pasangan Lalitamma, 23, dan Chennabasava, 26, itu dipindahkan ke hospital berdekatan sebelum menempuh perjalanan sejauh lebih 300 kilometer ke Narayana Health City, sehari kemudian.
Perjalanan jauh itu menyebabkan bayi berkenaan kekurangan air dan memerlukan bantuan oksigen sebaik sampai ke hospital.
Menurut CNN, pada sidang akhbar semalam, pakar bedah pediatrik di Narayana Health City Dr Sanjay Rao yang mengetuai pasukan pembedahan itu berkata, bayi itu mengalami Polymelia iaitu masalah genetik yang antara lain menyebabkan embrio membesar menjadi kembar siam.
“Bagaimanapun, satu daripada bayi itu berhenti membesar meninggalkan organnya melekat pada bayi satu lagi” katanya.
Menurut Rao, kehadiran kembar yang berhenti membesar menyebabkan pembedahan bertambah sukar.
“Banyak kerja perlu dilakukan sebelum pembedahan seperti mengenal pasti anatomi, struktur yang dikongsi kembar itu dan saluran darah,” katanya.
Ia adalah kes keempat di hospital itu sejak sedekad lalu, termasuk bayi perempuan, Lakshmi Tatma, yang dilahirkan pada 2008 di Bihar dengan empat kaki dan empat tangan yang menarik perhatian puluhan ribu rakyat India datang melawat kerana percaya ia jelmaan dewi kekayaan, Laxmi.

-Metro

Friday, 3 February 2017

Lelaki bakar diri, bekas kekasih

New Delhi: Kerana ditinggalkan kekasih, seorang lelaki bertindak kejam membakar bekas teman wanitanya itu di dalam kelas sebuah kolej perubatan di bandar Kottayam, Kerala, kelmarin, sebelum turut membakar dirinya sendiri.
Kedua-duanya dilaporkan mengalami kecederaan lecuran yang serius dan disahkan meninggal dunia di hospital.
Menurut polis, ketika kejadian lelaki terbabit meluru masuk ke sebuah kelas di Sekolah Pendidikan Perubatan (SME) dengan membawa sebotol minyak petrol.
Sebelum sempat rakan sekelas bekas teman wanitanya itu bertindak, dia mencurahkan bahan api berkenaan ke atas gadis terbabit dan membakarnya.
Lelaki itu yang turut belajar di sekolah perubatan sama dan sudah menamatkan kursusnya dua tahun lalu, kemudian bergegas keluar dan membakar dirinya.
Dua rakan yang cuba menyelamatkan mereka turut mengalami lecuran ringan.
Menurut rakan gadis itu, kedua-dua mereka pernah menjadi pasangan kekasih sebelum terpaksa berpisah selepas ibu bapa gadis itu menghalang hubungan mereka, menyebabkan lelaki dikenali sebagai Adarsh, 25, dari Kollam itu mengancam mangsa beberapa kali.
“Kejadian berlaku dalam hanya beberapa saat. Gadis itu cuba melarikan diri tetapi lelaki terbabit mengikutinya dan membakarnya,” kata Ashwin, rakan sekelas mangsa yang turut cedera ketika cuba menyelamatkannya.

-Metro

Alahai Dunia : Wanita tawar khidmat panaskan tilam

Moscow: Seorang wanita muda di sini menawarkan perkhidmatan berbaring selama satu jam di atas katil lelaki bujang untuk memanaskannya supaya pelanggan dapat tidur dengan lena.
Viktoria Ivachyova, 21, berkata, dia mengenakan bayaran AS$82 (RM363) untuk berbaring di atas tilam selama satu jam bagi memastikan ia panas dan dipenuhi dengan tenaga positif sebelum pelanggannya tidur.
Terapi itu didakwanya boleh menghilangkan tekanan dan menjamin tidur yang lena.
Katanya, dia baru memperkenalkan perkhidmatan itu dan kini sudah mempunyai 10 pelanggan tetap.
Viktoria memberitahu, pelanggan tidak boleh menyentuhnya sepanjang dia berbaring di atas katil tetapi mereka boleh meluahkan perasaan jika perlu.
“Saya seorang pendengar yang baik dan pelanggan saya suka meluahkan perasaan mereka untuk menghilangkan tekanan,” katanya.
Tambahnya, seorang pelanggannya yang mengalami masalah kemurungan berjaya pulih selepas dia memanaskan tilam dan berbual dengan lelaki itu.
“Pada waktu pagi pelanggan itu menghubungi saya bagi memberitahu dia semakin bersemangat dan ceria,” jelasnya.
Menurutnya, pelanggan yang mahu mendapatkan perkhidmatan itu hanya perlu menetapkan temu janji di laman sesawang miliknya.
Kata Viktoria, dia kini merancang mengambil beberapa wanita sebagai pekerja selepas permintaan terhadap perkhidmatan itu semakin meningkat.

-Metro

Thursday, 2 February 2017

Mati tinggalkan 86 isteri



Abuja: Seorang lelaki berusia 93 tahun yang pernah berkahwin sebanyak 130 kali, meninggal dunia Sabtu lalu, meninggalkan 86 isteri dan lebih 200 anak.
Mohammed Bello Abubakar mati di negeri Niger di Nigeria akibat penyakit yang tidak diketahui dan ramai yang hadir pada upacara pengebumiannya.
Mohammed Bello pernah menjadi tajuk akhbar seluruh dunia kerana jumlah isterinya ramai.
Dia pernah dikritik oleh ulama tempatan dan luar negara yang mendesak dia menceraikan 82 daripada 86 isterinya dalam masa 48 jam.
Bagaimanapun Bello berkata, dia mempunyai ‘tugas suci’ yang membolehkan dia memiliki isteri seramai itu.
Dia berkahwin sebanyak 130 kali. Daripada jumlah itu, 10 perkahwinannya berakhir dengan perceraian dan ada isterinya yang meninggal dunia.
Dalam satu wawancara dengan BBC pada 2008, lelaki itu berkata, dia diberi kemampuan oleh tuhan untuk memiliki dan mengawal 86 isteri.
“Seorang lelaki yang mempunyai 10 isteri akan mati. Tetapi tuhan memberikan saya kekuatan. Kerana itu saya boleh mempunyai 86 isteri,” katanya.
Sebahagian besar isterinya berkata, mereka mulanya datang menemui Bello untuk berubat.
Ketika ditahan kerana tindakannya berkahwin lebih daripada empat, Bello disifatkan oleh isteri dan anaknya sebagai suami dan bapa yang baik.
Dia bagaimanapun menasihati orang lain supaya tidak mengikuti jejak langkahnya kerana kemampuannya memiliki hampir 100 isteri itu adalah selaras dengan misi suci yang dipikulnya.
Pembantu peribadi yang juga anaknya, Mutairuu Salawudeen Bello berkata, bapanya sakit sebelum meninggal dunia pada hari sama.
“Dia memberitahu kami, masanya sudah tiba. Dia secara peribadi memberitahu saya, misi sucinya sudah disempurnakan dan tiba masanya untuk menemui tuhan.”

-Metro