'Saya impikan semua Muslimin masuk syurga'
Radzha
Md Raieh
Prof.
Dr Muhd Kamil Ibrahim bersama keluarganya. - Foto oleh Safwan
BERTEMU dengan figura ini terasa begitu berbekas
di hati malahan isi perbualannya yang begitu dekat dengan khalayak mengingatkan
penulis betapa kita sebenarnya mempunyai ruang seluas-luasnya untuk menginsafi
perjalanan hidup yang sementara ini.
Apa lagi, beliau juga pernah melalui jalan kelam
sebelum menemui sinar setelah bersungguh-sungguh meminta hidayah dan nyata
hidayah itu perlu dicari bukannya bergolek begitu sahaja. Beliau yang
dimaksudkan ialah Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim, cendekiawan yang kini menumpahkan
ilmu dan pengalaman di sebuah Universiti di Madinah.
“Sering kali saya menitiskan air mata mengenangi
jalan kehidupan yang pernah dilalui, Sepanjang 42 tahun menjalani kehidupan, ia
berombak-ombak di antara keinginan menjadi manusia soleh dan kejahilan diri.
“Saya tidak tahu membaca al-Quran, jika adapun
hanya beberapa surah ringkas yang telah dihafal semenjak kecil. Itu pun kerana
ayah yang mengajar mengaji dan sembahyang. Namun ia hanya sekadar di situ tanpa
ilmu yang lebih lanjut.
“Ilmu agama yang saya peroleh hanyalah berkisar
pembelajaran di sekolah rendah, MRSM dan universiti. Itulah yang membentuk
pengetahuan asas hingga saya dewasa.
"Namun ia berbeza dengan kejayaan pendidikan
rasmi dengan saya berjaya tamat persekolahan rendah dalam masa lima tahun
sahaja. Kemudiannya saya muncul sebagai pelajar terbaik dan kedua terbaik
kumpulan semasa mengikuti program Diploma dan Sarjana Muda.
“Malahan berjaya menamatkan pengajian di peringkat
Sarjana sebulan lebih awal dari masa yang sepatutnya. Manakala PhD pula
dianugerahkan selepas 32 bulan mendaftarkan diri. Dalam kerjaya pula, jawatan
profesor dianugerahkan ketika umur mencecah 39 tahun.
“Dengan segala pencapaian yang ada, saya tidak
menitikberatkan soal agama, kadang-kadang menyegerakan sembahyang dengan kaedah
sendiri. Sembayang laju tanpa doa, wirid dan ia benar-benar minimun.
Amalam-amalan saya hanya menyentuh perkara wajib yang kadang-kadang tertinggal
juga solat tanpa rasa bersalah,” jelas Prof Kamil yang tidak segan membuka
kisah silamnya walaupun ia sebenarnya sangat peribadi kerana mahu orang yang
membaca ceritanya sedar bahawa masih tidak terlambat bertaubat kerana Allah
Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Doa isteri
Namun benarlah kata pujangga, di sebalik kejayaan
seorang lelaki adanya seorang wanita dan beliau yang dimaksudkan ialah
isterinya Raudzah atau lebih dikenali sebagai Roza dalam penulisannya di blog.
Roza karakternya sangat penyabar dan sentiasa menasihati ke arah kebaikan
malahan sentiasa bangun malam solat Tahajud dan berdoa supaya Allah membuka
pintu hati suaminya untuk berjihad di jalan Allah.
“Ada peristiwa di mana pada Disember 2003, semua
mereka berjawatan Profesor Madya dipanggil temu duga untuk jawatan Profesor
Gred Khas C. Mengetahui keinginan saya, Roza menasihati saya supaya berdoa
memohon ALLAH supaya dianugerahkan jawatan profesor. Jadi, saya mula sembahyang
sunat hajat manakala Roza membeli buku-buku ringkas menceritakan kelebihan
bersembahyang di waktu tengah malam.
“Setelah 12 bulan menunggu, akhirnya pengumuman
telah di buat dan saya antara 13 profesor yang dilantik dengan tunggakan
melebihi RM80,000. Peristiwa ini seolah-olah menyedarkan saya dengan rahmat
ALLAH. Ketika inilah saya bertekad untuk menunaikan haji bersama-sama Roza yang
berdoa selama enam tahun untuk saya merealisasikan impiannya ini.
“Hati saya melonjak-lonjak untuk ke sana namun
perasaan takut juga bersilih ganti memikirkan diri yang jahil malahan ada
segmen penceritaan yang menggambarkan Makkah adalah tempat pembalasan bagi yang
berkelakuan ‘tidak senonoh’ semasa hayat mereka,” jelas beliau lagi yang
sentiasa berfikir mengapa fardu haji tidak menjadi penyebab sesetengah golongan
masih kekal dalam hidup cara lama, seolah-olah haji tidak membawa perubahan
kepada hidup mereka.
Sembahyang taubat
Bagi Prof Kamil sendiri, keinginannya untuk
menunaikan fardu haji menggamit hatinya untuk beribadat menyembah ALLAH yang maha
esa, bertaubat sesungguh hati dengan menyesali kealpaan diri sendiri yang jauh
daripada Allah. Sememangnya dia berdoa dari hati yang paling dalam supaya ALLAH
mengampuni dan merahmatinya.
“Hampir kesemua rencana atau ceramah mengatakan
kita perlu bertaubat meminta ampun dengan sepenuh hati, berasa berdosa, berniat
untuk tidak mengulangi dan kalau boleh menangis serta meratapi dirinya. Ratapan
ini pula seharusnya dari bisikan dan suara jiwa dalamannya.
“Dikatakan dosa seseorang hamba kepada ALLAH akan terampun
jika syarat-syarat ini dipatuhi, ini dinamakan taubat nasuha. Kita biasa
menyebut “Ya ALLAH, ampunilah dosa-dosaku” selepas sembahyang fardu sebagai
rutin doa. Ia kata-kata di bibir yang tidak turun ke hati.
“Jadi, solat sunat taubat dijadikan kemestian
menggunakan Doa Taubat Besar dengan menyebut ‘dosa-dosaku’ manakala hati dan
minda membayangkan perkara yang telah berlaku selama ini. Doa yang dibaca pula
dengan nada sebak namun bukan dalam tangisan. Terasa keikhlasan doa masih belum
mencukupi.
“Hari pertama, hari kedua, minggu pertama, minggu
ketiga dan bulan pertama, setiap hari berdoa dan berdoa agar ALLAH memberi
petunjuk dalam konteks menitiskan air mata. Mungkin ada yang mengatakan ‘kita
berdoa, terima atau tidak terpulang kepada ALLAH, mustahil untuk kita
mengetahuinya.
“Bagaimanapun, hati tidak fikir begitu. Saya
percaya orang yang berdoa dengan penuh keikhlasan akan terasa apabila doanya di
dengari. Namun ia tidak boleh digambarkan dan pada Mei 2006, saya berada di
Florence, Itali bersama Roza kerana membentangkan kertas kerja. Selama seminggu
di sana meneruskan rutin Qiamullail dengan bersembahyang sunat tahajud, hajat
dan taubat.
“Malam terakhir di Itali, saya mengambil wuduk dan
bersembahyang sunat, tatkala berdoa ‘Ya ALLAH, aku memohon keampunanmu Ya
ALLAH, aku mohon keampunanmu Ya ALLAH, aku memohon keampunanmu Ya ALLAH. Ya
ALLAH aku bertaubat kepadamu daripada segala dosa yang telah aku lakukan’.
Akhirnya air mata bercucuran tanpa dipaksa-paksa. Anugerah ALLAH yang tidak
terbandingnya malahan minda terbayang dan yakin ALLAH mendengar permintaan
hambanya dan memberi isyarat dalam keadaan yang tidak dijangkakan.
“Itulah perasaan yang menusuk kalbu. Benar atau
tidak seluruh tubuh merasai kenikmatan bertaubat terutamanya ketika air mata
menitis membasahi pipi. Tidak dapat digambarkan saya mampu bertaubat seindah
ini. Ia berlaku ketika mahu menunaikan fardu haji,” jelasnya yang khatam Quran
buat pertama kali ketika berada di Masjidil Haram, di hadapan Kaabah.
Buku Travelog Haji tulisan Prof. Kamil mendapat
sambutan hangat daripada pelbagai golongan bermula mereka yang mahu menunaikan
haji menjadikannya panduan sehinggalah mereka yang mula mencari ‘Nur’ untuk
kembali ke jalan yang benar.
“Saya sentiasa berdoa agar ia menjadi ilmu yang
bermanfaat dan terharu dengan sambutan yang diberi. Akhirnya saya membuat
sedikit kesimpulan tentang kuasa doa. Ia senjata umat Islam yang telah
dijanjikan oleh ALLAH SWT.
“Sejak ia diterbitkan, saya bertemu ribuan kenalan
baru, malah dijemput untuk berceramah di merata tempat, bermula di RTM1, surat
bukit Jelutong Shah Alam sehinggalah ke Doha, Glasgoq, Leicester dan pelbagai
majlis ilmu yang lain.
“Saya sentiasa berdoa agar pembaca tidak merasakan
tulisan ini membuatkan mereka merasakan saya dalam golongan takbur, riak dan
angkuh. Bagaimanapun Allah memberi keyakinan untuk memulakan dan menyudahkan
penulisan ini setelah menerima beberapa pandangan.
“Pelbagai petunjuk ketika berada di Makkah dan
Madinah saya abadikan dalam bentuk tulisan untuk mewar-warkan keagungan, keesaan
dan kehebatan ALLAH SWT kepada semua khalayak. Ia adalah anugerah dan saya
mohon keampunannya jika kelihatan egoistik, riak, angkuh dan sombong kerana
saya benar-benar tidak berniat begitu.
“Saya impikan masuk syurga tanpa dihisab. Hampir
setiap malam saya berdoa agar isteri dan anak-anak juga ikut serta bersama ayah
dan wan, abah dan mak, adik-beradik, ipar-duai, guru-guru, anak-anak murid dan
seluruh kaum Muslimin dan Muslimat,” katanya lagi yang meletakkan nombor
telefonnya untuk dihubungi tanpa sebarang orang perantaraan. Malahan Prof Kamil
akan memberikan ceramah secara percuma dengan satu syarat tidak mengenakan
sebarang bayaran bagi orang yang mendengar perkongsiannya itu.
Aurat wanita
Setelah menyumbang jasa di bumi Malaysia, kini
Prof.Kamil bersama isteri dan dua anaknya menabur bakti di Madinah pula dan
menyaksikan panorama yang berbeza daripada tanah tempat lahir. Bermula dengan
bahasa, pertuturan, gaya hidup, makanan dan kehidupan wanita di sana sangat
berbeza. Malahan beliau juga melihat perbezaan ini sebagai sikap Melayu yang
mengamalkan alasan ‘tidak mengapa’ bagi mengabui hakikat sebenarnya.
“Di sini, amat jarang wanita berjalan berseorangan.
Apatah lagi untuk berlegar-legar di pusat membeli belah tanpa kehadiran suami
atau mahram. Tiada langsung wanita yang memandu kerana ia satu larangan. Hampir
keseluruhan wanita Madinah berpakaian hitam. Berstoking. Bila keluar rumah,
mereka menutup mulut dan hidung.
“Mungkin membosankan bagi kita yang sentiasa
melihat warna-warni dalam pakaian wanita. Namun di mata saya wajah begitu
sangat bercahaya, begitu juga tutur katanya. Misalnya, saya selalu menyebut di
Malaysia, ‘apakah tanda pakaian seorang wanita sudah sempurna? Mudah sahaja,
apabila masuk masjid atau di mana-mana sahaja kita boleh terus solat’.
“Berada di Tanah Haram, mata saya tidak melihat
aurat wanita. Namun beberapa hari yang lepas, kami berseminar di sebuah hotel
di tanah halal. Masuk sahaja ke lobi, mata terus tertangkap kepada
wanita-wanita yang kelihatan sangat asing.
“Begitulah, wanita berbaju hitam di Malaysia
kelihatan sangat asing, di sini wanita yang tidak berbaju hitam kelihatan
janggal. Sekurang-kurangnya di mata saya, hitam, putih, kelabu, hijau atau
lain-lain warna adalah nikmat kurniaan ALLAH yang terpancar pada pakaian. Soalnya,
apakah pakaian itu sudah sempurna?
“Bila tetamu berkunjung ke rumah, Roza sering
bertanya tetamu wanita, “Di sini kita bersungguh-sungguh menjaga aurat, jaga
rambut, jaga kaki dan jaga segala-galanya. Masih mahukah kita memakai kebaya
bila pulang nanti? Masih sanggupkah kita memakai kain terbelah betis? Kenapa di
lapangan terbang sudah membuka stokin?” akhiri Prof.Kamil lagi dengan niat mahu
menegur supaya semua wanita menjaga auratnya dengan bersungguh-sungguh tidak
hanya ketika menunaikan ibadat di Makkah sahaja.
* Dipetik dari majalah NUR edisi
September / Sinar Harian