Dalam kejadian lebih kurang pukul 12.30 tengah malam itu, mangsa berusia 19 tahun ditemui bapanya dalam keadaan menyayat hati dan berlumuran darah di bahagian belakang dapur kediaman terbabit
Hasil pemeriksaan terhadap fizikalnya mendapati mangsa cedera parah pada bahagian leher dan badan akibat dikelar dengan gergaji sepanjang 30 sentimeter.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Hamin berkata, sebelum insiden mangsa dikatakan mengalami kemurungan sejak tiga hari lalu selepas ibu dan bapanya melarang dia mengikuti aktiviti tabligh. 
Dimaklumkan, mangsa merupakan salah seorang anggota Jemaah Tabligh yang aktif di sekitar daerah Sandakan.
"Hasil siasatan awal turut mendapati semalam mangsa telah dibawa ke Lapangan Terbang Sandakan untuk dihantar ke Kuala Lumpur untuk bekerja tetapi mangsa enggan dan terus pulang ke rumah.
"Bagaimanapun, selepas pulang lelaki itu tidak menunjukkan sebarang reaksi dan tidak mahu berbual sehingga dia dijumpai terbaring dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah sambil tangan kirinya masih memegang sebilah gergaji yang terletak pada bahagian dada," katanya kepada Kosmo! hari ini.
Tambah Mohd. Azhar, pemeriksaan ke atas tubuh mangsa tidak menemui sebarang kesan luka mahupun pergelutan.
Mangsa seterusnya dihantar ke Unit Forensik, Hospital Duchess of Kent dekat sini untuk proses bedah siasat.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - K! ONLINE