Friday 8 June 2018

Dibakar kekasih cemburu

KLANG: Hanya kerana cemburu, seorang lelaki bertindak membakar teman wanitanya di rumahnya di Andalas di sini, pagi semalam.
Akibat perbuatan suspek, mangsa yang berusia 24 tahun melecur 60 peratus di bahagian badan sebelum dibawa ke Hospital Tunku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa berusia 52 tahun, yang melawat wanita berkenaan di hospital terbabit kira-kira jam 10 pagi semalam.
"Mangsa memaklumkan dia bergaduh dengan teman lelakinya yang berusia 24 tahun ketika berada di rumah lelaki berkenaan di Andalas di sini, sehingga dipukul dengan getah paip di bahagian badan.
"Suspek kemudian menyimbah petrol ke badan mangsa sebelum menyalakan api menyebabkan mangsa terbakar," katanya ketika dihubungi hari ini.
Shamsul Amar berkata, mangsa dan juga suspek yang bekerja sebagai mekanik dibawa ke hospital terbabit oleh untuk rawatan lanjut.
"Suspek cedera pada kedua-dua tangan akibat kejadian itu dan turut dibawa ke hospital berkenaan di mana lelaki itu kemudian ditahan untuk siasatan lanjut ketika menerima rawatan," katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai bermotifkan cemburu.
"Berlaku perselisihan faham antara suspek dengan mangsa yang berpunca daripada perasan cemburu hingga mengakibatkan mereka bergaduh.
"Pergaduhan antara pasangan yang sudah menjalinkan hubungan sejak setahun lalu itu menjadi serius apabila lelaki berkenaan gagal mengawal emosi dan bertindak memukul mangsa menggunakan getah paip serta menyimbah petrol lalu membakar mangsa," katanya.
Beliau berkata, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh.

-BH

No comments: