Friday 20 April 2018

Wanita maut disedut keluar pesawat


New York: Seorang wanita maut selepas ‘terjuntai’ di luar tingkap dan hampir disedut keluar selepas pesawat dinaiki mengalami letupan enjin di udara sebelum berjaya mendarat dengan selamat.
Ibu kepada dua anak, Jennifer Riordan, 43, menaiki penerbangan pulang ke Dallas dari New York ketika enjin kiri pesawat meletup menyebabkan puing terpelanting pada tingkap di sebelah tempat duduknya.
Menurut New York Post, beberapa penumpang lain bergegas menahannya daripada disedut keluar.
Jennifer dikejarkan ke hospital sebaik juruterbangnya mendarat kecemasan di Lapangan Terbang Philadelphia pada jam 11.27 pagi semalam (waktu tempatan).
Pihak berkuasa kemudian mengesahkan Jennifer maut akibat kejadian itu.
Daily Mail memetik penumpang, Eric Zilbert berkata: “Dia terjuntai di luar pesawat dari pinggang ke atas. Penumpang berusaha menariknya masuk dan menutup lubang tingkap berkenaan sebelum memberikannya bantuan kecemasan.”
AFP melaporkan, tujuh penumpang lain turut cedera ringan. - Agensi/Metro

No comments: