Thursday 12 April 2018

Bayi 'ajaib' dalam longkang



Cape Town: Seorang bayi perempuan dianggap ajaib selepas ditemui hidup walaupun cuaca sejuk berhampiran sarang semut api selepas ditinggalkan dalam longkang sedalam 1.8 meter di Port Elizabeth, Afrika Selatan.
Bayi yang dalam keadaan bogel dengan tali pusat masih bersambung itu ditemui seorang wanita, Charmaine Keevy, 63, yang keluar berjalan dengan anjingnya pada awal pagi kelmarin.
Menurut laporan Daily Mail yang memetik media tempatan, anjing wania itu tiba-tiba mula menyalak dan selepas mendengar bunyi tangisan dia cuba menahan kenderaan bagi meminta bantuan sebelum seorang pemandu, Cornie Viljoen, 60, berhenti.
Viljoen memberitahu bunyi yang mereka dengar adalah esakan bayi.
Mereka mengumpil dan mengangkat penutup longkang itu sebelum Viljoen turun dan meraba mencari bayi berkenaan walaupun tangannya disengat semut api.
“Saya terasa kaki bayi itu dan menyedari ini lokasi jenayah lalu terus mengambil gambar menggunakan telefon bimbit yang kemudian diserahkan kepada Charmaine untuk menyampaikannya kepada perkhidmatan kecemasan.
“Bayi itu terlalu kecil dan saya berhati-hati menariknya. Dia amat bernasib baik kerana tempat dia ditinggalkan lebih rendah daripada sarang semut,” katanya.
Bayi itu dikejarkan ke hospital dan menurut Jurucakap Kesihatan Wilayah, Sizwe Kupelo, dia mengalami hipotermia serta masalah pernafasan.
Kakitangan hospital memberikannya nama Grace April.
Jurucakap polis, Kolonel Priscilla Naidu berkata, pihaknya masih menyiasat dan merayu saksi membantu siasatan.
Sementara itu, Charmaine berkata: “Saya percaya tuhan menggerakkan hati untuk melalui kawasan itu kerana saya tidak pernah berjalan di situ. 

- Daily Mail/Metro

No comments: