Thursday 22 February 2018

Pisau terpacak masih selamba



GELAGAT lelaki yang masih kelihatan santai menunggu ambulans walaupun pisau terpacak di belakangnya mengejutkan orang ramai di Brasileia, utara Brazil.
Dalam kejadian minggu ini, Elionardo Nascimento sedang minum bersama rakannya di sebuah pub apabila seorang lelaki menerkam dan menikam belakangnya dengan pisau.
Menurut doktor, lelaki berusia 22 tahun itu bernasib baik kerana tikaman itu tidak terkena organ utama dan hanya berada beberapa milimeter daripada tulang belakangnya.
Menurut Daily Mail, rakaman video menunjukkan Nascimento berdiri di tepi jalan dengan darah mengalir daripada luka di belakangnya, namun dia kelihatan tidak terganggu dengan kecederaannya itu.
Orang ramai yang kedengaran cuba menenangkannya sementara menunggu ambulans tiba, memberi amaran kepadanya supaya dia tidak pengsan.
“Saya sedang berdiri, berbual dengan rakan di luar pub apabila penyerang terbabit tiba-tiba muncul dan menikam belakang saya.
“Saya berasa seperti dipukul di belakang dan hanya mengetahui ditikam dengan pisau selepas diberitahu rakan,” katanya.
Dia mendakwa tidak mengenali penyerang berkenaan dan tidak tahu kenapa diserang kerana tidak terbabit dalam sebarang pergaduhan.
Dia kini semakin pulih di Hospital Rio Branco selepas menjalani pembedahan mengeluarkan pisau itu.

-Metro

No comments: