Tuesday 9 January 2018

Bogel di lapangan terbang tak tahan Viagra

AKIBAT terlalu banyak mengambil Viagra, pelancong dari Amerika Syarikat menjadi ‘tidak siuman’ apabila berbogel di Lapangan Terbang Phuket, Thailand, memaksa enam anggota keselamatan lapangan terbang dan polis menahannya, Khamis lalu.
Rakaman video kejadian itu beredar di internet menunjukkan lelaki berkenaan berbogel di Balai Berlepas, menunggu penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan, kira-kira 11.20 malam.
Selepas ditahan, lelaki Korea Selatan yang memegang pasport Amerika itu memberitahu, dia mengambil terlalu banyak Viagra.
Menurut laporan portal phuketnews, pihak lapangan terbang dalam kenyataan hari ini, menegaskan pihaknya tidak menggunakan kekerasan ketika menahan lelaki itu, Steve Cho, 27.
Anggota keselamatan yang menerima laporan ada lelaki berbogel, menemui Steve di depan tandas dekat pusat pemeriksaan penumpang.
Enam anggota keselamatan bersama anggota dari Balai Polis Saku, pegawai jabatan pelancongan di lapangan terbang itu bergegas ke tempat kejadian dan cuba menenangkannya.
Namun, usaha menjadi sukar kerana lelaki itu membuang air besar di atas lantai dan membaling najisnya ke arah anggota keselamatan dan orang ramai.
Dia juga mengamuk merosakkan barangan lapangan terbang serta kedai berhampiran.
“Bagi mengelak kejadian buruk dan mengawal lelaki itu, dia terpaksa ditahan. Dia dibawa ke pejabat pusat pelancongan lapangan terbang.
“Apabila lelaki itu kembali tenang, dia mengaku mengambil terlalu banyak Viagra menyebabkan menjadi tidak waras.
“Dia mengaku kesalahannya dan bersedia membayar ganti rugi kerosakan dilakukannya,” kata kenyataan itu.
Lelaki itu kemudian dibawa ke Balai Polis Saku sebelum dihantar ke hospital untuk pemeriksaan.

-Metro

No comments: