Monday 2 October 2017

Kaki 'putih' tiga hari dalam telaga



Chennai (India): Seorang lelaki warga emas berusia 74 tahun yang terjatuh ke dalam telaga terbiar sedalam 15 meter di Tiruttani, terpaksa berdiri selama tiga hari di dalam air cetek perigi itu sebelum diselamatkan.
Rangarajulu yang menjual pisau sebagai mata pencariannya, hanya mampu menangis malah hilang suara kerana pada awalnya cuba menjerit untuk menarik perhatian.
Selepas tiga hari berendam dalam air berkenaan, kulit kakinya menjadi pucat.
Bomba bergelut selama hampir sejam untuk membersihkan tumbuhan tebal di sekitar telaga itu sebelum menghantar dua anggotanya turun untuk menarik mangsa keluar.
Rangarajulu segera dibawa ke hospital kerajaan dan dimasukkan ke unit rawatan rapi di mana dia masih berada di bawah pemerhatian.
“Saya kehilangan suara kerana kurang tidur dan tiada makanan. Saya cuma minum sedikit air telaga yang dipenuhi lumut dan daun mati untuk terus hidup,” kata Rangarajulu.
Menurutnya, dia terjatuh dalam perigi pada 26 September lalu, ketika menjaja pisaunya selepas masuk ke kawasan itu untuk membuang air besar sebelum terjatuh ke dalamnya.
Apabila dia tidak pulang ke rumah, ahli keluarganya pergi mencarinya sebelum membuat laporan polis.
Nasibnya hanya diketahui apabila pemilik tanah tempat perigi itu, Krishna Babu, mendengar tangisannya dan pergi menyiasat bersama keluarganya.
Babu berkata, dia menyangka bunyi tangisan itu anak kucing dan dia sekeluarga terkejut apabila melihat seorang lelaki tua menangis merayu diselamatkan.

-Metro

No comments: