Monday 18 September 2017

Curi tempat duduk mangkuk tandas



Beijing: Dua pelancong China meminta maaf kerana cuba membawa tempat duduk mangkuk tandas hotel mereka sebagai cendera hati percutian di Jepun.
Pasangan suami isteri itu menemui alat berkenaan di bawah katil mereka yang disimpan di situ sebagai ganti sekiranya yang sedia ada di dalam tandas rosak.
Mereka kemudian mengambilnya kerana menyangka perbuatan itu tidak dikesan sesiapa.
Bagaimanapun, kakitangan hotel di Nagoya itu berjaya menghidu perbuatan mereka dan pihak pengurusan terus menghubungi pemandu pelancong mereka menuntut pasangan itu segera memulangkan barangan berkenaan.
Pada mulanya pasangan itu menafikan tuduhan berkenaan, namun terpaksa membuat pengakuan selepas ia ditemui di dalam bagasi mereka.
Sebagai penjelasan, mereka mendakwa menyangka tempat duduk itu ditinggalkan di bawah katil oleh penghuni terdahulu bilik berkenaan.
Pasangan itu turut menulis surat ‘meminta maaf seikhlasnya’ atas kejadian berkenaan dan berjanji tidak mengulanginya.
Mereka dijadualkan kembali ke hotel itu pada hujung percutian mereka.
Tempat duduk mangkuk tandas Jepun yang canggih amat diburu pelancong China ke negara itu.
Pada festival musim bunga lalu, seorang lelaki dari Hangzhou pergi ke Jepun semata-mata mahu membeli barangan berkenaan tetapi kecewa selepas mendapati ia dibuat di kilang diHangzhou. 

- Agensi/Metro

No comments: