Friday 15 September 2017

Bunuh diri tak tertanggung sakit bersalin


DUA kakitangan sebuah hospital di Yulin, wilayah Shaanxi, digantung kerja selepas seorang wanita hamil membunuh diri dengan terjun dari bangunan hospital akibat tidak tahan sakit berikutan pihak hospital enggan melakukan pembedahan Caesarean terhadapnya.
Dalam kejadian yang menggemparkan orang ramai pada 31 Ogos lalu, wanita berkenaan, Ma Rongrong, 26, terjun dari tingkat lima hospital.
Hospital berkenaan dilapor enggan melakukan pembedahan berkenaan yang diketahui mempunyai banyak risiko kerana keluarga wanita itu tidak membenarkan pembedahan terbabit.
Menurut Daily Mail yang memetik laporan People's Daily Online, pasukan penyiasat mengumumkan pengarah dan ketua jabatan sakit puan hospital itu digantung tugas, Isnin lalu.
Ma mengalami kesakitan yang amat sangat ketika hendak bersalin dan dimasukkan ke hospital itu pada 30 Ogos dan membunuh diri kira-kira 8 malam sehari kemudian.
Rakaman video yang beredar di media sosial China menunjukkan wanita itu keluar dari bilik bersalin mencari keluarganya dan dilihat menahan kesakitan ketika berlutut di depan keluarga serta jururawat, dikatakan merayu supaya mereka memberi kebenaran pembedahan dilakukan.
Di China, doktor hanya akan melakukan pembedahan besar selepas mendapat kebenaran bertulis keluarga pesakit.
Laporan media menyatakan hospital mendakwa sudah memberitahu keluarga wanita itu bahawa Ma menghadapi risiko jika bersalin secara normal kerana kepala bayinya terlalu besar.
Selepas kejadian itu, suami mangsa, Yan Zhuangzhuang, 29, mengeluarkan kenyataan selepas dia dan keluarga dikecam orang ramai mendakwa doktor enggan melakukan pembedahan itu pada saat-saat akhir.
Portal bersekutu People's Daily, Huanqiu.com, melaporkan pihak hospital mendakwa mencapai persetujuan dengan keluarga wanita itu, termasuk bayaran ganti rugi serta keluarga mangsa tidak lagi membuat kenyataan kepada media.
Pasukan penyiasat Biro Kesihatan Yulin itu tidak menyatakan kenapa atau bagaimana pembedahan Caesarean tidak dilakukan selepas keluarga mangsa akhirnya membenarkannya.
Pasukan itu menegaskan pihak hospital sudah mengambil semua langkah perlu, termasuk memberitahu perkembangan kepada keluarga namun, ia tidak menyediakan ‘penjagaan kemanusiaan secukupnya kepada wanita hamil’ menyebabkan dua kakitangan itu digantung kerja.

-Metro


No comments: