Tuesday 1 August 2017

Tak mengaku paksa lelaki masuk keranda



Johannesburg: Dua petani kulit putih Afrika Selatan semalam mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan selepas satu video yang tular di Internet menunjukkan mereka menolak seorang lelaki kulit hitam ke dalam keranda dan mengancam membakarnya hidup-hidup.
Willem Oosthuizen dan Theo Jackson, masing-masing berusia 28 tahun dibicarakan atas tuduhan menculik, menyerang dan cubaan membunuh berhubung kejadian tahun lalu itu di sebuah ladang berhampiran Middleburg di Mpumalanga, wilayah di timur Afrika Selatan.
Mereka ditahan selepas video itu yang dirakam dengan telefon bimbit oleh seorang daripada mereka tersebar di Internet.
Rakaman selama 20 saat itu menunjukkan seorang lelaki menolak Vivtor Mlotshwa, 27, ke dalam keranda dan cuba menutupnya secara paksa.
Selain mengancam membakar lelaki itu, kedua-dua tertuduh juga mengancam meletakkan ular di dalam keranda itu.
Kedua-dua tertuduh memberitahu mahkamah, mereka menangkap Mlotshwa bersama barangan yang dicurinya dan hanya mahu menakut-nakutkannya apabila memaksa lelaki itu memasuki keranda.
Mlotshwa sebelum ini berkata, dia dalam perjalanan ke bandar Middleburh apabila kedua-dua lelaki kulit putih itu menangkap dan mengikatnya dengan kabel elektrik sebelum memukulnya dan memaksanya masuk ke dalam keranda. 

- AFP/Metro

No comments: