Thursday, 3 August 2017

Derita gelang ‘makan’ isi tangan

Keadaan tangan mangsa selepas operasi memotong gelang dan cincin melekat di tangan serta jarinya di Hospital Lawas kelmarin.


LAWAS – Penderitaan seorang lelaki selama lebih sebulan ekoran seutas gelang dan cincin bukan sahaja melekat bahkan memakan kulit serta daging tangannya berakhir selepas mendapat bantuan pasukan bomba di Hospital Lawas di sini kelmarin.
Pasukan bomba terpaksa mengambil masa hampir empat jam untuk melakukan khidmat khas memotong cincin serta gelang tangan jenis keluli yang tersekat pada jari serta perge­langan tangan mangsa.
Menurut sumber, lelaki berusia 47 tahun itu dikatakan telah menanggung kesakitan disebabkan jari manis dan pergelangan tangan kirinya yang semakin membengkak dan menjadi kebiruan sejak sebulan lalu.
Kata sumber, mangsa dipercayai mengalami gangguan mental dan sering dijumpai merayau seorang diri di sekitar Pekan Lawas.
“Mangsa dikatakan sudah banyak kali mencuba untuk menanggalkan cincin pada jari serta gelang pada pergelangan tangannya itu, namun usaha tersebut menemui jalan buntu.
“Ketika kejadian, ada orang awam ternampak mangsa mengerang kesakitan di tepi jalan sebelum dibantu dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” ujarnya.
Jelasnya, ketika orang awam terjumpa mangsa, tangannya dibalut dan mangsa dilihat memegang tangannya kerana menahan sakit.
Sementara itu, Penolong Pe­ngarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, selepas pihak hospital tidak dapat menanggalkan kedua-dua perhiasan itu, mang­sa kemudian dirujuk kepada anggota bomba bagi melakukan khidmat khas memotong cincin serta gelang tersebut.

-Kosmo
Post a Comment