Friday 14 July 2017

Batas-batas pelihara anjing


Mengikut Mazhab Syafie, anjing merupakan najis berat. – Gambar hiasan


PERBUATAN menjadikan anjing sebagai binatang peliharaan dan memegangnya secara sengaja sepatutnya tidak berlaku kerana umat Islam perlu akur dengan larangan Allah SWT terhadap haiwan tersebut.
Namun, perintah itu dipandang remeh oleh segelintir umat Islam sehingga tanpa rasa bersalah memegang dan memelihara anjing secara terbuka.
Pastinya ada hikmah tersembunyi mengapa Allah meletakkan anjing sebagai salah satu haiwan yang haram untuk disentuh tetapi itu bukan bermakna kita boleh melakukan kezaliman terhadap haiwan tersebut.
Kosmo! pada 6 Julai lalu melaporkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menasihati seorang gadis Melayu bertaubat kerana bukan sahaja menyentuh malah membiarkan wajahnya dijilat oleh anjing.
Difahamkan video tersebut adalah rakaman program Loving My BFF terbitan satu produk makanan haiwan.
Gadis itu yang dikenali sebagai Nurhanizah Abdul Rahman turut memuat naik gambar-gambarnya memegang anjing bernama Bubu di Facebook.
Pendakwah bebas, Johari Abdul Wahab berkata, para ulama memberi pelbagai pandangan mengenai isu anjing tetapi di Malaysia kita harus berpegang teguh dengan Mazhab Syafie bagi menjaga akidah dan kesucian diri.
“Mengikut pandangan Mazhab Syafie anjing termasuk dalam kategori najis mughallazah (najis berat). Imam An-Nawawi menyebut di dalam Al-Minhaj: “Yang disebut najis itu adalah setiap cecair yang memabukkan, anjing, babi dan apa-apa yang lahir daripada keduanya.
“Dalil dalam isu ini ialah Abu Hurairah berkata, “Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Apabila anjing minum daripada bekas seseorang daripada kalian, maka, hendaklah ia membasuhnya tujuh kali,” sebagaimana yang diriwayatkan oleh Bukhari,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Tambah Johari, dalam riwayat Muslim turut menyebut “Sucikan bekas salah seorang antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan yang pertama (basuhan) dengan tanah,”.
Ujarnya, perkara berkaitan hukum-hakam dalam Islam tidak boleh dilakukan mengikut logik akal dan perasaan. Ia hendaklah berpandukan kepada al-Quran, sunah, ijmak serta qiyas yang sahih.
Air liur anjing mempunyai pelbagai jenis kuman yang boleh memudaratkan manusia yang hanya boleh dimatikan dengan membasuh menggunakan tanah. Oleh itu, kita disarankan agar samak atau sertu tempat yang terkena haiwan tersebut dengan bahan itu.
Mengulas mengenai tindakan menjadikan anjing sebagai haiwan peliharaan, Johari berkata, Islam mengharamkan perbuatan tersebut dan tidak boleh membawanya masuk ke dalam rumah kerana malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang mempunyai anjing.
Pahala berkurangan
Jelasnya, Islam tidak melarang jika anjing tersebut dipelihara bagi tujuan menjaga ternakan dan keselamatan kediaman serta berburu.
Perkara ini dijelaskan dalam hadis riwayat Bukhari seperti berikut:
“Siapa yang memelihara anjing, kecuali untuk menjaga ternakan atau berburu, maka akan dikurangi amalnya setiap hari sebanyak dua qirath.”
Johari memberitahu, satu qirath bersamaan dengan sebesar Bukit Uhud. Maka, bayangkan pahala yang berkurangan setiap hari dan cuba renungkan berapa pula pahala yang kita lakukan dalam sehari.
Sehubungan itu, Johari berpesan kepada umat Islam di negara ini agar berhati-hati dan jangan mudah terpengaruh dengan mereka yang mahu merosakkan kesucian agama Islam.
“Rujuklah mereka yang arif mengenai agama sekiranya mempunyai sebarang kemusykilan,” sarannya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Kartini Aboo Talib berkata, mereka yang beragama Islam perlulah mengikuti syariat yang telah ditetapkan oleh Allah.
“Kekeliruan yang dicetuskan oleh mereka yang tidak mempunyai pengetahuan agama akan mencalarkan imej Islam.
“Walaupun anjing dianggap sebagai najis berat, tetapi ia tidak sama sekali menafikannya haknya sebagai makhluk Tuhan yang perlu diberi perlindungan dan kasih sayang,” ujarnya.
Justeru, masyarakat janganlah mudah melatah jika ada individu yang melindungi dan menjaga anjing-anjing itu asalkan mereka tahu batas-batas dalam Islam serta cara membersihkan najis itu.
Kartini turut menyeru agar perkongsian ilmu mengenai anjing ini diperluaskan agar masyarakat mendapat maklumat dan ilmu yang tepat mengenai hukum sebenar jika menyentuh atau memeliharanya.
Begitu juga cara membersihkan najis berat. Ia penting untuk mengelakkan sebarang kekecohan dan salah faham pada masa akan datang.
-Kosmo

No comments: