Wednesday 26 July 2017

Alahai dunia :Mati kerana capati tak bulat

New Delhi: Seorang wanita hamil mati dibunuh suaminya semata-mata berang kerana mangsa tidak dapat membuat roti capati yang berbentuk bulat.
Mangsa yang dikenali sebagai Simran, 22, dipercayai dicekik hingga mati oleh suaminya selepas bergaduh pada malam Sabtu lalu.
Mayat Simran yang hamil empat bulan ditemui terbaring di sebuah rumah pangsa di sini pada pagi Ahad lalu oleh abang mangsa.
Anak perempuan pasangan itu yang berusia empat tahun ditemui dikurung di dalam sebuah bilik manakala suami mangsa melarikan diri.
Kanak-kanak itu memberitahu polis, bapanya sering memarahi ibunya kerana wanita itu tidak dapat membuat capati berbentuk bulat.
“Ibu saya seorang yang pandai memasak tetapi bentuk capati yang dibuatnya sering menimbulkan kemarahan bapa saya,” katanya.
Menurutnya, dalam kejadian itu, bapanya berang selepas dihidangkan capati yang tidak berbentuk bulat dan terus menendang perut ibunya.
“Saya cuba membantu ibu tetapi bapa mengheret saya masuk ke dalam bilik dan mengunci dari luar,” ceritanya.
Polis memberitahu, siasatan awal mendapati mangsa mati selepas leher dijerut dengan tali.
“Polis kini memburu suami mangsa dan suspek berdepan dakwaan membunuh,” katanya.

-Metro

No comments: