Tuesday 13 June 2017

Budak berhidung gajah


New Delhi: Seorang budak lelaki ditemui dengan hidung tidak ubah seperti belalai gajah yang dipercayai penjelmaan semula dewa Hindu akibat keadaan yang menyebabkan sebahagian otaknya tersembul dari tengkorak.
Kanak-kanak dinamakan Ganesh sempena dewa berupa gajah itu tidak mampu bercakap, makan atau melihat disebabkan ketumbuhan itu disebabkan ensefalosel frontonasal.
Disebabkan itu, otak Ganesh yang berusia sembilan tahun berkembang lebih lambat berbanding kanak-kanak seusianya yang turut mengakibatkan percakapan dan perkembangan mentalnya terjejas.
Pakar bedah bagaimanapun yakin keadaannya mampu berubah dengan pembedahan, seterusnya membolehkan Ganesh yang dipuja penduduk tempatan kerana disangka jelmaan semula dewa mendapat keluarga angkat.
Ganesh ditemui merayau-rayau dan menangis oleh polis tempatan di jalan raya di perkampungan terpencil di timur laut India.
Disebabkan percakapannya tidak sempurna, Ganesh tidak dapat memberitahu polis asal-usulnya, dan mereka menyerahkannya kepada organisasi bukan kerajaan Bakakhat Nirman Gut yang kini menjaganya.
Presiden organisasi itu Jiten Gogoi berkata, Ganesh kanak-kanak paling istimewa dalam jagaan mereka.
“Dia budak baik dan amat disayangi selain turut dipuja segelintir pihak. Namun ketika ditemui dia tidak mampu bercakap, malah sukar makan kerana hidungnya terlalu berat,” katanya.
Sementara itu, Dr Shibu Pillai yang mengetuai pasukan doktor yang merawatnya berkata sebahagian tengkorak Ganesh tidak sempurna menyebabkan ia tersembul dan mewujudkan bonggolan besar pada dahi.
“Keadaan seperti ini pernah dilaporkan namun lebih sukar untuk Ganesh kerana langsung tidak dirawat.
“Kami akan melakukan pembedahan membina semula bentuk muka serta hidung Ganesh selain mengurangkan bengkaknya.
“Dia mampu menjalani kehidupan biasa tetapi perlu menjalani beberapa pembedahan,” katanya.

-Metro

No comments: