Monday 3 April 2017

Pindah telinga dari lengan

Beijing: Telinga tiruan yang ‘disemai’ pada lengan seorang lelaki tiga bulan lalu berjaya dipindahkan ke kepalanya.
Lelaki itu yang hanya dikenali sebagai Ji menjalani pembedahan menakjubkan itu minggu lalu.
Dia hilang telinga kanannya akibat satu kemalangan jalan raya di wilayah Shanxi tahun lalu.
Untuk membantu dia memperoleh semula pendengarannya, pakar bedah plastik dari Hospital Bersekutu Pertama di Universiti Jiaotong di Xian, ‘menyemai’ telinga tiruan pada lengannya.
“Kemalangan itu bukan sahaja memusnahkan telinganya, tetapi juga saluran darah dan kulit di sekitar telinganya.
“Ia menyebabkan telinga tiruan konvensional tidak sesuai untuknya. Kami memutuskan menyemai telinga baru di lengannya terlebih dahulu,” kata Guo.
Untuk menyemai telinga tiruan, Guo dan pasukannya menegangkan kulit lengan Ji dengan penegang kulit. Mereka kemudian mengambil tulang rawan daripada satu bahagian dadanya yang kemudian dibentuk menjadi telinga sebelum menanam organ tiruan itu pada lengan pesakit.
Apabila telinga tiruan cukup dewasa, doktor berjaya pula melakukan pembedahan untuk memindahkannya dari lengan ke kepalanya menggunakan teknik anastomosis vaskular.
Ji dijangka pulih dan mungkin dibenarkan pulang selepas dua minggu.
Menurut pakar, terdapat 300,000 penduduk di China berdepan masalah telinga dan perintis prosedur perubatan untuk menyemai telinga tiruan pada lengan akan membawa harapan baru kepada pemulihan masalah mereka.



-Metro

No comments: