Monday 17 April 2017

Iktibar : Lelaki cuba bakar imam kerana solat lama


Nablus: Seorang lelaki ditangkap selepas dia cuba membakar imam sebuah masjid di barat bandar ini.
Agensi berita Palestin, Maan, memetik satu sumber keselamatan sebagai berkata, lelaki berkenaan yang bekerja sebagai pengawal di sebuah bangunan di bandar Nablus membawa sebotol minyak tanah dan melemparkannya pada imam yang masih berada di dalam masjid itu selepas solat Subuh dan menyalakan api dalam usaha membakar imam itu.
Kebakaran berlaku tetapi berjaya dipadamkan oleh beberapa jemaah.
Imam itu terselamat manakala masjid itu mengalami kerosakan kecil.
Polis yang tiba di tempat kejadian menahan lelaki berusia 50 tahun itu, menurut laporan berkenaan.
Menurut sumber, lelaki itu sebelum ini sudah berulang kali memberi amaran kepada imam berkenaan supaya tidak memanjangkan solat.
“Imam itu tidak mengendahkan amaran supaya memendekkan solat. Ia menyebabkan lelaki itu berang dan mendorong dia bertindak membakar imam terbabit,” kata sumber itu.
Lelaki itu bukan sahaja berdepan tuduhan cuba membunuh, tetapi juga akan didakwa atas tuduhan menyerang tempat ibadah, membakar dan menyebabkan kerosakan.

 - Agensi/Metro

No comments: