Friday 3 February 2017

Alahai Dunia : Wanita tawar khidmat panaskan tilam

Moscow: Seorang wanita muda di sini menawarkan perkhidmatan berbaring selama satu jam di atas katil lelaki bujang untuk memanaskannya supaya pelanggan dapat tidur dengan lena.
Viktoria Ivachyova, 21, berkata, dia mengenakan bayaran AS$82 (RM363) untuk berbaring di atas tilam selama satu jam bagi memastikan ia panas dan dipenuhi dengan tenaga positif sebelum pelanggannya tidur.
Terapi itu didakwanya boleh menghilangkan tekanan dan menjamin tidur yang lena.
Katanya, dia baru memperkenalkan perkhidmatan itu dan kini sudah mempunyai 10 pelanggan tetap.
Viktoria memberitahu, pelanggan tidak boleh menyentuhnya sepanjang dia berbaring di atas katil tetapi mereka boleh meluahkan perasaan jika perlu.
“Saya seorang pendengar yang baik dan pelanggan saya suka meluahkan perasaan mereka untuk menghilangkan tekanan,” katanya.
Tambahnya, seorang pelanggannya yang mengalami masalah kemurungan berjaya pulih selepas dia memanaskan tilam dan berbual dengan lelaki itu.
“Pada waktu pagi pelanggan itu menghubungi saya bagi memberitahu dia semakin bersemangat dan ceria,” jelasnya.
Menurutnya, pelanggan yang mahu mendapatkan perkhidmatan itu hanya perlu menetapkan temu janji di laman sesawang miliknya.
Kata Viktoria, dia kini merancang mengambil beberapa wanita sebagai pekerja selepas permintaan terhadap perkhidmatan itu semakin meningkat.

-Metro

No comments: