Wednesday 25 January 2017

Mohon izin 'bunuh' anak, cucu

Dhaka: Tidak sanggup melihat anak dan cucu menderita sakit, seorang lelaki merayu kepada kerajaan supaya membenarkannya ‘membunuh’ dua anak dan seorang cucunya.
Rayuan lelaki berkenaan, Tofazzal Hossain, menjadi berita utama di Bangladesh baru -baru ini, selepas dia menulis surat kepada pihak berkuasa daerah memohon bantuan penjagaan anak dan cucunya yang menderita penyakit otot Duchenne Muscular Dystrophy (DMD) atau membenarkan mereka ‘dimatikan’ dengan ubat.
“Sudah bertahun saya menjaga mereka, membawa mereka ke hospital di Bangladesh dan India. Saya jual kedai untuk membiayai perubatan mereka dan kini saya miskin.
“Kerajaan perlu memutuskan apa yang patut dilakukan terhadap mereka. Saya sudah tidak mampu lagi,” kata Tofazzal, penjual buah-buahan di Meherpur, pedalaman Bangladesh.
DMD ialah penyakit keturunan akibat masalah ketidakseimbangan genetik menyebabkan otot yang mengawal pergerakan menjadi lemah dan ia juga boleh menjejaskan jantung dan organ lain. Pesakitnya jarang hidup melebihi 30 tahun.
Bangladesh, antara negara termiskin di Asia, kekurangan perubatan dan rawatan percuma untuk puluhan juta rakyat di bawah paras kemiskinan. Dianggarkan 600,000 rakyat Bangladesh menderita akibat penyakit yang sukar dirawat.
Menurut Tofazzal, dua anak lelakinya berusia 24 dan 13 tahun, sedar dengan keadaan mereka yang tidak boleh bergerak dan kaku di atas katil.
Cucunya yang berusia lapan tahun masih boleh berjalan ke bilik air namun keadaannya semakin buruk dari sehari ke sehari.
“Saya beritahu mereka mengenai surat itu (kebenaran untuk mematikan mereka). Mereka tidak menganggapnya serius, mungkin tidak faham dengan keadaan yang kami sekeluarga hadapi,” katanya.
Anaknya yang berusia 24 tahun, Mohammad Abdus Sabur, berkata dia menghabiskan masa dengan menonton televisyen dan berbual dengan bapanya.
“Saya beritahu bapa supaya jangan terlalu bimbang,” katanya.
Doktor yang merawat mereka, Mahbubul Alam, berkata tiada rawatan untuk memulihkan ketiga-tiga pesakit itu dan mereka terpaksa hidup dalam kesakitan.
“Ini kes kemanusiaan, semua pihak perlu tampil membantu,” katanya.
Seorang pegawai agensi kerajaan yang melawat keluarga itu berkata, permintaan Tofazzal itu ialah ‘rayuan seorang bapa yang sudah putus asa’.
“Dia memohon bantuan perubatan atau kebenaran ‘membunuh’ mereka. Siapa yang akan beri kebenaran membunuh itu,” katanya.
Menurutnya, kerajaan sedang berusaha mencari jalan bagi membantu Tofazzal membiayai kos rawatan dan jagaan anak serta cucunya.

-Metro

No comments: