Ayat yang dimaksudkan: “(Pada ketika itu) orang yang tidak percayakan hidup semula berkata: Aduhai celakanya kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami? (Lalu dikatakan kepada mereka): Inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh rasul-rasul.” (Yasin [36:52]).
Setelah merujuk, didapati ayat tersebut mempunyai dua penjelasan (Tafsir Ibn Kathir):

1. Azab kubur yang mereka lalui di alam barzakh masih terlalu kecil jika dibandingkan dengan azab akhirat yang amat dahsyat. Azab akhirat seperti sakit dalam sedar sedangkan azab kubur hanyalah seperti sakit dalam tidur atau mimpi

2. Setelah alam musnah akibat tiupan sangkakala pertama, segala azab kubur dihentikan dan orang yang diazab di alam barzakh dapat berehat seakan tidur selama beberapa tempoh. Kemudiannya setelah sangkakala kedua ditiup dan semua manusia bangkit untuk dihisab di padang mahsyar, mereka berkata demikian kerana baru tersedar daripada tidur tanpa azab antara tiupan dua sangkakala tersebut.


WUJUDNYA BERDASARKAN DALIL


 Dalam akidah Ahli Sunnah wal Jamaah, kepercayaan wujudnya azab kubur diimani berdasarkan banyak nas dan dalil. Azab kubur berlaku di alam barzakh iaitu sebuah alam transit antara dunia dan akhirat. Firman Allah SWT:

“Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada seorang antara mereka, berkatalah dia: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) - supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan”. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat),” (al-Mu’minun [23:99-100]).

Sesetengah kumpulan seperti muktazilah dan antihadis menolak keimanan kepada azab kubur kerana kononnya tidak disebut dalam al-Quran. Muktazilah menganggapnya bercanggah dengan logik akal. Bagi mereka kewujudan azab kubur menunjukkan ketidakadilan Allah kerana manusia yang mati sejak zaman Nabi Adam a.s. akan lama terseksa, manakala orang yang mati ketika hampir kiamat hanya akan diseksa dalam tempoh singkat sahaja.

Jawapannya:

Perkiraan lama atau sekejap dalam kerangka dunia ini diukur berdasarkan pergerakan matahari dan bulan. Alam barzakh pula suatu alam yang tidak sama dengan alam dunia. Tindakan menyamakan dimensi alam dunia dan alam barzakh adalah tidak tepat. Allah Yang Maha Berkuasa mampu menjadikan alam barzakh sebagai suatu alam yang kosong daripada ruang masa.Semua yang mati dari dahulu sehingga ke akhir zaman akan berada dalam tempoh yang sama.

Sebenarnya terdapat beberapa dalil menyebut kewujudan azab kubur sebelum akhirat. Firman Allah SWT:

“Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh); dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): “Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!,” (Ghafir[40:46]).

Perkataan ‘pada waktu pagi dan petang’ dalam ayat di atas tidak merujuk kepada waktu hakiki kerana kita tidak mengetahui adakah matahari atau perkiraan waktu dunia masih wujud dalam alam barzakh. Oleh itu, Imam al-Razi mentafsirkannya sebagai suatu kiasan bahasa yang membawa maksud mereka diazab secara berterusan tanpa henti.
Juga firman Allah: “Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.” (Taha [20:124]).
Ketika mentafsirkan perkataan ‘kehidupan yang sempit’ dalam ayat ini, Imam al-Tabari mentafsirkannya dengan beberapa makna iaitu:

- Kehidupan duniawi yang sukar dan sempit
- Kehidupan bersumberkan harta haram
- Kehidupan penuh amalan jahat
- Kesempitan akhirat dalam azab neraka
- Kesempitan alam barzakh kerana diazab dalam kubur.

Selain itu, azab kubur juga disebut dalam banyak hadis Rasulullah SAW yang sahih, antaranya: Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW selalu berdoa dalam solatnya dengan doa: Ya Allah aku mohon perlindungan-Mu daripada azab kubur, dan aku mohon perlindungan-Mu daripada fitnah al-Masih al-Dajjal….” 
- Sahih Bukhari.