Tuesday 5 July 2016

Padah mencaci dalam masjid


Ipoh: Wanita berusia 45 tahun didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas tuduhan mengucapkan kata-kata cacian berunsur keagamaan dengan niat melukakan perasaan jemaah di dalam Masjid Abu Ubaidah, Tambun di sini, pada 4 Mei lalu.

Tertuduh, Tham Yut Mooi didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana mengucapkan kata-kata cacian terhadap Nabi Muhammad yang dapat didengar oleh seorang jemaah dengan niat yang disengajakan untuk melukakan perasaan keagamaan orang berkenaan.
Yut Mooi, yang juga seorang ejen insurans didakwa melakukan kesalahan itu pada 5.30 petang di dalam Masjid Abu Ubaidah, Taman Perpaduan, Tambun.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab dihadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan dan tertuduh yang diwakili Chiang Woei Chien bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana pihak pendakwaan membuat permohonan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah agar tertuduh menjalani pemeriksaan kesihatan kerana disyaki mengalami masalah mental.

Nurul Asyifa kemudian membenarkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan bagi menjalani pemeriksaan mental selama sebulan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 9 Jun ini.

-Metro

No comments: