Oddity Central melaporkan, doktor itu, Li Juhong, 37, kehilangan kedua-dua belah kakinya apabila dilanggar sebuah lori dalam satu kemalangan ketika dia berumur empat tahun.
Doktor terpaksa memotong kedua-dua kakinya yang patah teruk akibat digilis kenderaan berkenaan bagi menyelamatkan nyawanya.
Bagaimanapun, ketika berumur lapan tahun, Juhong yang tidak mengenal erti putus asa, mengajar dirinya ‘berjalan’ menggunakan tangan dengan bantuan dua bangku kayu.
Semangat tinggi wanita itu menyaksikan dia berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di sebuah kolej vokasional khas dan pulang bertugas di sebuah klinik di kampung halamannya di Wadian pada 2000.
Sejak itu, beliau merawat hampir 1,000 penduduk kampungnya dan melakukan rawatan rumah ke rumah menggunakan ‘tongkat istimewanya’ itu.
Juhong berkahwin dengan seorang lelaki tempatan, Liu Xinyan yang menyokong kerjayanya, malah lelaki itu sanggup berhenti kerja bagi menguruskan kerja-kerja rumah mereka dan adakalanya mendukung isterinya ke rumah pesakit di kampung berdekatan.
Dengan bantuan Xinyan, Juhong dipercayai telah mengendalikan lebih 6,000 kes perubatan di beberapa buah kampung di kawasan pergunungan daerah Hechuan itu.
Wanita itu berkata, dia telah menggunakan 24 bangku kayu dalam tempoh 15 tahun untuk merawat pesakit dari rumah ke rumah.
“Saya hanya buat apa yang saya rasa perlu lakukan. Walaupun jika saya tidak dipuji kerana tugas ini, saya akan terus bekerja sebagai seorang doktor di kawasan pedalaman,” katanya kepada media tempatan.

-Utusan