Wanita yang menggelarkan dirinya Raja Kerinchi Tinggi Sumatera, Indonesia atau ‘Bonda Ratu’ itu akan menyampaikan pingat kepada beberapa individu pada ‘Hari Kebesaran Bonda Ratu’ di ‘Istana Ratu Mahligai Sungai Rambai, Melaka.

Antara penerima yang tersenarai dalam atur cara termasuklah beberapa tokoh dalam dan luar negara dan turut diadakan ialah pemberian anugerah gelar adat kepada lima penerima.

“Difahamkan seramai 80 orang dijangka hadir pada majlis tersebut untuk menerima anugerah dan gelaran tertentu. Majlis yang diadakan secara besar-besaran itu turut didakwa akan dihadiri oleh keturunan Kesultanan Kerinchi,’’ kata sumber itu kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Penganugerahan pingat seumpama itu sudah beberapa kali berlaku termasuk yang terbaharu oleh Noor Jan, baru-baru ini. Selain itu, Melaka juga pernah ‘digemparkan’ dengan penganugerahan pingat oleh keturunan Raja Naning pada 2014.

Kesemua anugerah itu dirancang akan disampaikan oleh wa­nita tersebut yang turut akan menjelaskan susur galur keturunan Kesultanan Alam Kerinchi Tinggi Nan Sakti.

Lebih mengejutkan, wanita berkenaan turut mempamerkan logo rasmi kononnya melam­bangkan institusi Kesultanan Kerinchi pada sampul surat jemputan bagi majlis berkenaan yang tertera perkataan ‘Urusan Seri Paduka Baginda’, selain menggunakan gelaran ‘Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ratu...’ pada permulaan namanya.

Sementara itu, difahamkan satu laporan polis telah dibuat oleh kerajaan negeri bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan bagi mengelakkan daripada berlaku perkara tidak diingini yang bertentangan dengan undang-undang negara.

-Utusan