TINDAKAN wanita ini membawa anjing ke dalam sebuah pasar raya di Plentong, Masai baru-baru ini mendapat kritikan hebat di laman media sosial.
 
Tindakan dua wanita membawa seekor anjing menggunakan troli di sebuah pasar raya di Plentong, Masai dekat sini bukan sahaja menyalahi peraturan, malah dianggap tidak peka terutamanya bagi pengguna yang beragama Islam.

Lebih menjijikkan, anjing tersebut dilaporkan kencing sehingga mengotorkan troli dan lantai pasar raya berkenaan.

Gambar kedua-dua wanita bersama anjing berkenaan yang dirakam seorang pelanggan pasar raya itu kemudian menjadi viral dalam Facebook dan mendapat kecaman daripada ramai pengguna laman media sosial berkenaan.

Utusan Malaysia difahamkan, pihak pengurusan pasar raya telah meminta bantuan daripada jemaah Masjid Plentong untuk menyamak kira-kira 500 troli di pasar raya dan gambar kerja-kerja pembersihan itu turut dimuat naik dalam laman media sosial tersebut.

Seorang penggguna Facebook dikenali sebagai Annie Belinda Han melahirkan rasa kesal dengan tindakan kedua-dua wanita berkenaan membawa haiwan peliharaan mereka di tempat awam.

“Saya tidak faham mengapa ada segelintir manusia yang perlu membawa haiwan peliharaan mereka ke tempat awam. Saya berharap pihak pengurusan bangunan agar meletakkan papan tanda besar-besar dalam empat bahasa melarang membawa haiwan peliharaan.
“Pada masa yang sama, diharap pihak pengawal keselamatan memerhatikan perkara ini dan menghalang mereka daripada memasuki bangunan. Tindakan yang kurang ajar ini harus diberi perhatian kerana saya juga mendapati gejala ini telah mula berleluasa,” katanya.

Bagi Zaberi Che Mat, pihak pengurusan pasar raya berkenaan perlu bertanggungjawab dalam isu berkenaan dan berharap supaya perkara sama tidak berulang pada masa depan.
“Mana pergi pengawal bertugas semasa wanita itu bawa anjing masuk?” soalnya.

Sementara itu, seorang pegawai pasar raya berkenaan yang enggan namanya didedahkan berkata, kejadian tersebut berlaku semalam dan pihaknya telah mengambil langkah sewajarnya termasuk menyamak kira-kira 500 troli di pasar raya itu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Abdul Samad Salleh pula berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan tentang isu berkenaan.

“Pihak pengurusan sepatutnya peka tentang isu ini serta membuat larangan ke atas pengunjung supaya tidak membawa haiwan peliharaan ke dalam pasar raya terutamanya anjing.

“Sekiranya terdapat laporan polis dibuat, kita akan merujuk kes kepada Jabatan Agama Islam Johor untuk tindakan lanjut,” katanya.-Utusan