Friday 11 September 2015

Bayi enam minggu mabuk

Kenosha (Amerika Syarikat): Seorang bayi berusia enam minggu dikejarkan ke hospital selepas ibunya secara tidak sengaja mencampurkan susunya dengan vodka.


Paras alkohol dalam darah bayi itu mencecah 0.294, tiga kali lebih tinggi daripada paras yang dibenarkan untuk pemandu dewasa, selepas dia diberi minum susu formula yang dicampurkan dengan arak itu.


Penyiasat percaya kejadian Isnin lalu itu tidak disengajakan dan ibu bapa bayi berkenaan tidak akan didakwa berhubung kejadian itu, kata jurucakap polis Kenosha di Wisconsin Bradley Hetlet. Bagaimanapun, si bapa, Brian Smith, 22, akan didakwa atas tuduhan berkait dengan keganasan rumah tangga yang berlaku selepas kejadian berkenaan.


Menurut Hetlet, ibu kanak-kanak itu memberitahu polis, dia mengisi air ke dalam bekas untuk dicampur dengan susu tepung sebelum meninggalkan dapur seketika.


Bapa bayi itu masuk ke dapur dan membuang air dalam bekas itu sebelum mengisikannya dengan vodka dengan tujuan membawanya ke rumah rakannya. Apabila si ibu masuk semula ke dapur, dia mencampurkan dua auns vodka berkenaan dengan susu tepung bayinya dan memberi kanak-kanak itu minum.


Pasangan itu menyedari kesilapan mereka apabila melihat bayi mereka berkelakuan luar biasa. “Pergaduhan berlaku antara pasangan suami isteri itu. Beberapa anggota keluarga juga campur tangan sebelum pasukan kecemasan tiba dan membawa bayi itu ke hospital,” kata Hetlet.


Laporan terbaru menyatakan, bayi itu terselamat dan sudah dibenarkan dibawa pulang.


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/76655#sthash.yF8osUZD.dpuf

No comments: