Thursday 20 August 2015

Pihak berkuasa AS lulus ‘Viagra’ untuk wanita

Washington: Ubat perangsang untuk merawat nafsu seks rendah wanita akhirnya mendapat kelulusan daripada pengawal selia kesihatan Amerika Syarikat (AS) kelmarin.
Kelulusan itu bagaimanapun disertakan dengan amaran mengenai kemungkinan ubat itu akan menyebabkan tekanan darah rendah dan pengsan apabila diambil bersama alkohol.
Selain itu, Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) Amerika Syarikat berkata, ubat perangsang pertama diluluskan di bawah jenama Addyi itu hanya boleh dijual di pusat penjagaan kesihatan dan farmasi yang diluluskan kerana isu keselamatan.
FDA sebelum ini menolak dua kali ubat itu, flibanserin, yang dihasilkan oleh syarikat Sprout Pharmaceuticals.
Keputusan terbaru itu dibuat selepas panel penasihat merumuskan pada Jun lalu bahawa ia boleh diluluskan dengan disertakan syarat ketat bagi memastikan pesakit menyedari risiko pengambilannya.
Walaupun ubat ini digelar sebagai ‘Viagra wanita,’ ia tidak mempunyai fungsi yang sama seperti pil Viagra keluaran syarikat Pfizer Inc pada 1998 yang menjadi ubat pertama diluluskan untuk merawat penyakit mati pucuk.
Flibanserin perlu diambil setiap hari. Bezanya dengan Viagra, yang melancarkan pengaliran darah ke alat kelamin, flibanserin berfungsi merangsang otak.
Ia direka untuk wanita di ambang putus haid yang mengalami tekanan akibat kurang nafsu seks. - Reuters

No comments: