Thursday 20 August 2015

Arak kepala keliling kampung

Lucknow (India): Dua lelaki di utara India memenggal adik perempuan mereka yang masih remaja dan mengarak kepalanya di seluruh kampung kerana tidak merestui hubungannya dengan seorang sepupu.
Lebih 10 orang penduduk kampung menyaksikan Phool Jehan, 17, diheret keluar dari rumahnya, dibelasah dan dipenggal kedua-dua abangnya lewat kelmarin, tetapi tidak menghubungi pihak berkuasa, kata pegawai polis Rajesh Singh.
Sebaliknya kejadian itu dilaporkan seorang pengawal keselamatan tempatan.
Polis masih memburu kedua-dua lelaki itu - Nanhe dan Gul Hasan - yang tidak diketahui usia mereka. Sepupu terbabit ditahan untuk disoal siasat.
Nanhe dan Gul Hasan membiarkan mayat adik mereka di tengah jalan sebaik memenggalnya dan mengarak kepala mangsa di sekitar kampung sambil menjerit mereka tidak merestui hubungan percintaan mangsa dengan sepupu mereka. .
Pembunuhan kerana maruah kerap berlaku di India, namun kejadian seganas ini jarang terjadi.
Semakin India moden, semakin rakyatnya berdepan kemelut sosial seperti golongan muda yang mempertikaikan amalan lazim dalam masyarakat.
Berikutan itu, golongan berkenaan kerap menerima padah yang ada kalanya ganas, terutama di kawasan terpencil.
India dianggap antara negara paling berbahaya untuk wanita memandangkan kejadian seperti pembunuhan bayi perempuan dan perkahwinan kanak-kanak masih diamalkan.
-Metro

No comments: