Tuesday 12 May 2015

Kejutan 1,000 imigran

Banda Aceh: Pihak berkuasa Aceh kini bertungkus-lumus menyediakan tempat tinggal dan makanan kepada hampir 1,000 pendatang Myanmar dan Bangladesh yang terdampar di wilayah itu sejak dua hari lalu.

Pada awal pagi kelmarin, pihak berkuasa menyelamatkan 573 pendatang daripada etnik Rohingya dan Bangladesh selepas bot dinaiki mereka terkandas di wilayah itu.

Semalam, pihak berkuasa menemui sebuah lagi bot yang membawa lebih 400 lagi pendatang hanyut di perairan berkenaan.

Kedatangan pendatang dalam jumlah yang besar berkenaan mengejutkan pihak berkuasa Aceh yang tidak pernah bersedia dengan situasi seperti itu.
Pihak berkuasa kini bertungkus-lumus menyediakan makanan dan tempat tinggal kepada kumpulan pendatang berkenaan.

Sebahagian mereka juga memerlukan rawatan kerana terlalu lemah dan kekurangan air akibat terlalu lama berada di dalam bot.

“Sebenarnya kami tiada wang untuk membeli makanan dan menyediakan kemudahan kepada pendatang ini.

“Bagaimanapun, kami akan mencari jalan untuk menambah dana kerana ini adalah kecemasan,” kata Pegawai Kebajikan Masyarakat Aceh Utara, Mohd Yani.

Semua pendatang itu dikumpulkan di sebuah pusat sukan dan ramai antara mereka hanya mampu terbaring kerana terlalu lemah.

Keadaan di pusat sukan itu juga sangat menyedihkan kerana ruang yang sempit dan tandas pula tidak mencukupi untuk menampung jumlah pendatang yang ramai.

“Mereka tidur beralaskan kanvas yang kami bentang di atas tanah tanpa bantal dan selimut.

“Kami sangat memerlukan bantuan dan lokasi penempatan yang lebih sesuai,” tambahnya.

Ujarnya, ramai penduduk tempatan membantu dengan memberi makanan dan pakaian kepada kumpulan pendatang berkenaan tetapi ia tidak mencukupi.

-Metro

No comments: