Monday 25 May 2015

Jauhi Tujuh Perkara Boleh Menjadi Isteri Yang Nusy...

Assalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh



سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم



Segala puji bagi
Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi
Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti
baginda hingga ke hari kiamat.



Sahabat yang dirahmati
Allah,



Perkahwinan adalah jalinan ikatan yang sah di antara lelaki dan
perempuan untuk menjadi suami isteri. Dengan adanya ikatan perkahwinan ini,
terdapat hak-hak yang perlu dijaga dan ditunaikan oleh pasangan suami isteri.
Antara hak-hak isteri ke atas suami ialah suami bertanggungjawab memberi nafkah
kepada isteri yang meliputi keperluan seharian seperti makanan, pakaian dan
tempat tinggal.



Bagi isteri pula, terdapat hak suami ke atasnya yang
wajib dilaksanakan iaitu isteri wajib taat dan melakukan segala perintah
suaminya selagi perintahnya itu tidak bertentangan dengan hukum
syarak.



Suami merupakan pemimpin dan ketua bagi sebuah keluarga, yang
wajib dipatuhi dan berdosa besar jika isteri mengingkari dan menyalahi
perintahnya itu. Isteri wajib menunaikan hak suami ke atasnya iaitu wajib taat
kepada suami dan melakukan segala perintah suaminya dengan syarat perintah
tersebut tidak bertentangan dengan hukum syarak.



Perintah untuk mentaati
suami sebagai pemimpin keluarga ada disebut di dalam al-Quran, dan juga dalam
hadis Rasulullah Sallallahu ‘Alahi Wasallam. Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu
meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda maksudnya :
“Jika aku boleh memerintahkan supaya seseorang sujud kepada orang lain, nescaya
akan aku perintahkan seorang perempuan sujud kepada suaminya.” (Hadis riwayat
at-Tirmidzi)



Dari hadis di atas, dapat difahami bahawa isteri mempunyai
kewajipan dan tanggungjawab yang besar terhadap suaminya iaitu ketaatan dalam
menjalankan hak-hak suaminya sehinggakan kalau dibenarkan sujud kepada manusia,
nescaya kaum isterilah yang diperintahkan untuk sujud kepada para suaminya.
Tetapi dalam Islam, sujud hanya dibolehkan kepada Allah Subhanahu Wa Ta‘ala
sahaja dan tidak pada yang lainnya.



Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi
Wasallam bersabda mengenai dengan ganjaran bagi isteri yang mentaati suami dan
menunaikan hak-hak suami yang diwajibkan ke atasnya yang bermaksud : “Apabila
seorang perempuan telah mengerjakan sembahyang lima waktu, mengerjakan puasa
pada bulan Ramadhan, memelihara kemaluannya, dan taat kepada suaminya, maka
masuklah (ke dalam syurga) dari mana-mana pintu syurga yang dia
kehendaki.”



(Hadis riwayat ath-Thabarani)



Berdasarkan penjelasan
di atas, maka jelaslah bahawa Islam memerintahkan seorang isteri itu untuk
menunaikan hak-hak suami yang diwajibkan ke atasnya, antaranya mentaati suami.
Isteri yang tidak taat pada suaminya bererti dia tidak menjaga hak suami dan
perbuatannya itu boleh membawa kepada nusyuz.



Nusyuz bererti keluar dari
ketaatan. Para ulama asy-Syafi‘eyah mentakrifkan nusyuz seorang isteri ialah
keluar dari (melakukan) ketaatan yang wajib terhadap suaminya.



Terdapat
tujuh perkara yang menunjukkan ketidaktaatan kepada suami yang dianggap nusyuz
itu ialah seperti berikut:



Pertama : Keluar dari rumah tanpa keizinan
suaminya. Terkecuali daripada keadaan ini apabila isteri keluar berjumpa qadi
untuk menuntut hak, mencari nafkah apabila suami tidak berkemampuan memberi
nafkah kepadanya, meminta fatwa atau hukum jika sekiranya suaminya bukan seorang
faqih dalam bidang agama.



Jika seorang isteri meminta izin untuk keluar
rumah menziarahi kedua ibu bapanya atau ingin melihat jenazah ibu atau bapanya
atau anaknya (yang tidak tinggal bersamanya), maka suami berhak untuk tidak
mengizinkan. Walau bagaimanapun dalam hal ini, adalah lebih utama jika suami
mengizinkan isteri.



Peristiwa ini pernah berlaku dizaman Rasulullah SAW
apabila seorang suami tidak membenarkan isterinya keluar rumah tanpa izinnya
semasa beliau bermusafir. Walaupun kematian ayah wanita tersebut, Nabi SAW tidak
membenarkan wanita itu keluar rumah untuk menziarahi jenazah ayahnya. Oleh
kerana ketaatan wanita ini maka Nabi SAW menjelaskan bahawa Allah SWT telah
mengampunkan dosa ayah wanita tersebut.



Kedua : Enggan mengikut suami
berpindah ke negeri lain tanpa ada keuzuran yang dibenarkan syarak seperti
isteri sakit atau perjalanan menuju ke negeri tersebut tidak aman atau suami
berpindah ke negeri yang ditimpa wabak atau taun.



Ketiga : Tidak
membukakan pintu untuk suami masuk ke rumah atau ke bilik dengan tujuan
menegahnya daripada masuk ke dalam rumah atau bilik.



Keempat : Tidak
menyerahkan diri pada suami (ketika suami berhajat kepadanya) tanpa ada keuzuran
seperti sakit. Setakat malas atau letih bukan alasan yang
menasabah.



Kelima : Tidak mengendahkan panggilan suami kerana sibuk
dengan keperluannya.



Keenam : Isteri mendakwa suaminya telah mentalaknya
sedangkan dakwaan tersebut adalah palsu.



Ketujuh : Isteri merahsiakan
perhubungannya dengan lelaki lain, selalu chatting, talipon dan hantar pesanan
ringkas tanpa pengetahuan suami untuk berseronok-seronok dan menceritakan aib
suaminya.



Sahabat yang dimuliakan,



Para fuqaha bersepakat
mengatakan bahawa isteri yang nusyuz terhadap suaminya hukumnya adalah haram,
bahkan dia dilaknat kerana nusyuznya itu kecuali jika dia
bertaubat.



Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu,
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Apabila suami memanggil
isterinya ke tempat tidurnya lalu isteri menolak untuk pergi (kepada suaminya),
malaikat melaknatnya (isteri) sehingga (masuk) waktu pagi.” (Hadis riwayat
al-Bukhari)



Dengan berbuat nusyuz itu, hak isteri terhadap nafkah dan
qasm iaitu hak giliran bermalam bagi isteri yang mempunyai lebih dari seorang
isteri yang wajib ditunaikan oleh suaminya kepada isterinya akan
gugur.



Islam telah menggariskan beberapa tindakan yang boleh diambil oleh
suami dalam menangani dan menghadapi masalah nusyuz isteri ini:



1. Ketika
nampak tanda-tanda nusyuz pada isteri sama ada dengan perbuatan seperti isteri
bermasam muka atau berpaling padahal kebiasaannya dia menampakkan muka yang
manis kepada suaminya atau dengan percakapan seperti isteri menjawab suaminya
dengan suara yang kasar padahal kebiasaannya dia bercakap dengan lemah lembut
kepadanya, maka sunat ke atas suami memberi nasihat. Ini adalah sebagaimana
firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala maksudnya : “Dan perempuan-perempuan yang kamu
bimbang melakukan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka.” (Surah
an-Nisa: 34)



Antara cara menasihati isteri yang ditakuti berlaku nusyuz
sebagaimana yang diajarkan oleh para ulama:



- Menasihati isterinya dengan
berkata kepadanya: “Bertakwalah kepada Allah pada perkara-perkara hak-hak yang
wajib untukku ke atasmu dan beringat-ingatlah akan akibat jika engkau tidak
melaksanakannya.”



-Menjelaskan kepada isteri bahawa nusyuz boleh
mengugurkan (hak) nafkah dari suami dan hak giliran bermalam di rumah isteri
bagi suami yang mempunyai lebih dari seorang isteri.



- Menyebut hadis
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah
radhiallahu ‘anhu sebagaimana yang disebutkan di atas mengenai isteri yang
nusyuz.“Apabila suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya lalu isteri menolak
untuk pergi (kepada suaminya), malaikat melaknatnya (isteri) sehingga (masuk)
waktu pagi.” (Hadis riwayat al-Bukhari)



- Adalah sunat juga bagi suami
berbuat baik kepada isterinya itu dan mengambil hatinya dengan memberinya
sesuatu.



2. Apabila berlaku nusyuz isteri, maka suami bolehlah mengambil
tindakan dengan terus menasihati isterinya itu dan harus juga baginya untuk
mengasingkan diri dari tempat tidur isterinya atau dengan kata lain, tidak tidur
bersama-sama. Mengasingkan diri dari tempat tidur isteri adalah antara cara
berkesan untuk menghukum isteri agar tidak mengulang perbuatan
nusyuznya.



Jika nusyuz isteri berlaku berulang-ulang atau berterusan,
maka suami boleh memukulnya dengan pukulan yang ringan (bukan penderaan) jika
mengikut sangkaannya dengan pukulan itu dapat mendatangkan faedah iaitu isteri
akan kembali taat kepadanya.



Firman Allah Subhanahu Wa Ta‘ala maksudnya :
“Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan derhaka (nusyuz) hendaklah
kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) tinggalkanlah (pulaukanlah)
mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka
(dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).”



(Surah an-Nisa:
34)



Walaupun suami dibenarkan untuk memukul isteri, namun Islam juga
memberi garispanduan tentang cara memukul agar pukulan suami tidak mendatangkan
mudharat kepada isteri, iaitu suami tidak boleh memukul isteri dengan pukulan
keras, tidak boleh memukul pada wajah dan pada anggota-anggota isteri yang mudah
cedera.



Tujuan pukulan tersebut adalah bagi maslahah suami sendiri iaitu
supaya isteri kembali taat semula kepadanya. Oleh yang demikian, adalah lebih
baik jika suami tidak memukul isteri jika dirasakan tidak perlu.



Para
isteri perlu sedar akan tanggungjawab mereka menunaikan hak-hak suami. Selain
dari mentaati suami, isteri wajib berlemah lembut dengan suami, menjaga perasaan
suami, bersyukur dan menerima seadanya apa saja pemberian suami. Isteri dilarang
meninggikan suara kerana walaupun perkara tersebut bukan dianggap sebagai
nusyuz, akan tetapi ia boleh saja menjadi sebagai permulaan isteri berlaku
nusyuz terhadap suaminya.



Isteri juga diperintahkan untuk menjaga
kehormatan dirinya dan harta suami ketika ketiadaan suaminya kerana yang
sedemikian itu adalah perilaku seorang isteri solehah sebagaimana firman Allah
Subhanahu Wa Ta‘ala maksudnya : “Maka perempuan-perempuan yang solehah itu ialah
yang taat (kepada Allah) dan menjaga diri ketika ( suaminya) tidak ada, kerana
Allah telah menjaga (mereka) ”(Surah an-Nisa: 34)



Sesungguhnya ganjaran
Allah Subhanahu Wa Ta‘ala terhadap isteri yang solehah dan diredhai oleh
suaminya adalah syurga yang penuh kenikmatan, sebagaimana sabda Rasulullah
Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang diriwayatkan daripada Ummu Salamah radhiallahu
‘anha yang bermaksud : “Setiap perempuan yang mati dalam keadaan suaminya redha
kepadanya, maka perempuan itu akan masuk syurga.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi
)



Sebagai seorang isteri, rebutlah peluang mudah untuk memasuki syurga
iaitu dengan melaksanakan kewajipan terhadap Allah Subhanahu Wa Ta‘ala dan
RasulNya serta dengan mentaati suami.



Sahabat yang dikasihi,



Para
isteri wajiblah mentaati suaminya dan menjaga kehormatan diri di belakang
suaminya. Berdosa besar apabila seorang isteri menderhaki suaminya, begitu juga
haram seorang wanita yang telah bersuami bercinta dengan lelaki lain melalui
facebook atau talipon bimbit. Jauhkan diri kalian daripada menjadi isteri nusuz
kerana isteri nusuz tidak akan mencium bau syurga, jika kalian mati tidak
mendapat redha suami kalian tidak akan mendapat redha Allah SWT, kerana redha
Allah SWT bergantung kepada redha suami kalian.



Tetapi sekiranya kalian
memiliki suami yang bengis (sering memukul isteri tanpa kesalahan besar) dan
tidak bertanggungjawab kerana tidak memberi nafkah maka kalian perlulah
menasihatinya dahulu, jika tidak berkesan maka kalian perlulah mengadu di
pejabat agama untuk mendapat pembelaan dan jika perlu menuntut fasakh atau tebus
talak. Jika kalain tercedera sila buat pemereksaan doktor kerana lapuran
perubatan sebagai bahan bukti apabila berlaku perbicaraan dimahkamah syariah
nanti dalam kes tuntutan fasakh.



Setiap suami perlulah mendidik isterinya
supaya dia menjadi isteri yang solehah, pastikan isteri menutup aurat dan diberi
didikan agama yang mencukupi kerana tanggunhjawab tarbiah adalah tanggungjawab
suami. Jika suami biarkan isterinya keluar rumah dengan mendedahkan aurat atau
suami tidak prihatin isterinya bergaul bebas dengan lelaki yang bukan mahramnya
dikhuatiri suami akan menjadi suami yang dayus sesungguhnya suami yang dayus
tidak akan mencium bau syurga.








Sunber :di sini

No comments: