Monday 11 May 2015

Doa perlu berseni

Hak Allah kena diutamakan mengatasi kehendak sendiri

HATI kadang tertanya-tanya: “Mengapakah doaku sukar diluluskan, sedang si fulan itu pula barang dipinta, segera diperoleh. Apa beza aku dan dia? Mulut sama berlidah, jantung sama berhati, tangan sama menadah, tapi doanya seakan `doa kenamaan’ mudah sahaja dimakbulkan.”

Berdoa adalah suatu seni yang wajib diketahui. Seninya merangkumi seni memilih waktu, tempat, cara aturan bahasa dalam berdoa dan sebagainya. Seni doa banyak sekali, namun bicara kali ini akan menyentuh dua sahaja:

1. Memenuhi syarat Tuhan Yang Memakbulkan Doa dan menyakini penerimaan-Nya. Ini seumpama memenuhi syarat pihak yang mahu memberikan bantuan. Isi borangnya, sediakanlah salinan kad pengenalan, salinan sijil dan sebagainya jika mahu permohonan ditimbang. Usah berangan bantuan bakal menjengah pintu rumah jika borang pun tidak diisi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul. (al-Baqarah: 186)

2. Mengutamakan hak Allah dalam setiap doa. Allah sudah sangat kaya dan tidak memerlukan ibadah kita sebagai hamba-Nya, namun sikap rendah diri serta tetap meletakkan Allah sebagai keutamaan mampu memacu penerimaan doa. Lihat cara doa beberapa orang Rasul dalam ayat berikut yang bermaksud: Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian daripada zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Mekah) yang tiada tanaman padanya, di sisi rumah-Mu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian daripada manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka daripada berbagai-bagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur. (Ibrahim: 37) Utamakan hak Allah Gentar hati Nabi Ibrahim as meninggalkan anak isterinya di lembah kontang tidak berpenghuni Mekah, namun dalam doanya baginda mengutamakan hak Allah iaitu agar solat dan pengagungan Allah sentiasa dilakukan oleh keturunannya.

Doa ini menjadi permohonan dua dalam satu iaitu mengutamakan hak Allah yang lantas menjadi sebab anak isterinya diselamatkan. Indah sekali seni ini. Juga doa Nabi Zakaria memohon anak yang bermaksud: “Dan sesungguhnya aku merasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas-tugas agama sepeninggalanku dan isteriku pula adalah seorang yang mandul.

Oleh itu, kurniakanlah daku daripada sisi-Mu seorang anak lelaki.” (Maryam: 5) Walau hasrat utama baginda adalah seorang anak, hak Allah tetap diutamakan. Bimbang sungguh baginda terhakisnya penghayatan agama kaum keluarganya, semakin tidak mengenal Allah SWT. Jika dikurniakan anak pasti akan dididik dengan baik agar mampu menjaga agama Allah pada hati kaum keluarganya. Inilah antara beberapa contoh seni doa para nabi.

Hak Allah diutamakan mengatasi kehendak sendiri. Allah SWT lalu mengkabulkan permohonan mereka. Selepas ini, jika mahu berdoa, susunlah bahasanya agar hak Allah diutamakan. Jika mahu anak cemerlang dalam peperiksaannya, usah hanya berdoa: “Ya Allah, berikan kejayaan cemerlang untuk anakku.”

Sebaliknya sulamilah dengan mengutamakan Allah seperti “Ya Allah berikan kejayaan cemerlang untuk anakku agar dia menjadi hamba-Mu yang bersyukur pada-Mu dan mampu menegakkan agama-Mu di bumi ini.” Jika mahu keselamatan perjalanan ke kampung ketika cuti, sulamilah dengan indah: “Ya Allah berikan keselamatan perjalananku ini kerana aku pulang demi menggembirakan ibu bapaku dan menghubungkan silaturahim yang Engkau sarankan.”

Semoga praktik seni doa ini akan tambah menjadikan kita semua hamba Allah SWT yang sebenar.

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/agama/doa-perlu-berseni-1.88039#sthash.f5dQ3gVn.dpuf

No comments: