Friday 10 April 2015

Peniaga lancar kempen kahwin banduan wanita

Jeddah: Seorang ahli perniagaan kaya Arab Saudi melancarkan kempen menggalakkan lelaki berkahwin dengan bekas banduan wanita yang sudah insaf dan menyesal terhadap jenayah yang mereka lakukan. Fahd Saad Al-Johani sudah memiliki tiga isteri dan beberapa anak, tetapi kini merancang berkahwin seorang lagi.“Isteri saya yang keempat ialah banduan,” katanya.

Banduan wanita perlu digalakkan berkahwin supaya mereka boleh menjalani kehidupan normal apabila dibebaskan kelak. “Mengapa kita selalu memaafkan kesalahan dan jenayah banduan lelaki, tetapi tidak bersedia untuk berbuat demikian terhadap banduan wanita?” tanya Fahd.

Menurutnya, dia sering bertanya ke mana bekas banduan wanita itu pergi sekiranya keluarga mereka enggan menerima mereka selepas dibebaskan. Katanya, dia terkejut mendapati kebanyakan mereka kembali melakukan jenayah kerana keengganan keluarga dan masyarakat menerima banduan itu.“Sedangkan Allah menerima taubat dan mengampunkan pelaku dosa, mengapa tidak kita manusia biasa? “Mengapa kita tidak boleh menerima bekas banduan? Mengapa kita tidak boleh memberikan mereka kehidupan baru? Mengapa kita perlu menghalang mereka berkahwin dan menikmati kehidupan berumah tangga?” tanya ahli perniagaan itu.

Menurutnya, dia sudah menghubungi Kementerian Kebajikan untuk mengesyorkan seorang banduan wanita yang akan dibebaskan dari penjara supaya dia boleh mengahwininya dan berharap ramai lagi lelaki mengikut jejaknya. - Agensi

 - See more at: http://www.hmetro.com.my/node/42715#sthash.yfNdTiQo.dpuf

No comments: