Monday 13 April 2015

Lelaki toreh kemaluan dipenjara

KUALA LUMPUR 10 April – Padah menoreh kemaluan bekas teman wanita dengan pisau cukur sehingga cedera, seorang lelaki warga Pakistan dihukum penjara dua tahun dan sebatan dua kali oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini. Gunam Raza Sanwal, 31, yang tidak bekerja mengaku melakukan perbuatan tersebut terhadap wanita warga Filipina berusia 30 tahun itu di dalam bilik sebuah hotel, Jalan Petaling dekat sini kira-kira pukul 10 malam, 24 Mac lalu.

Berdasarkan fakta kes, lelaki itu mengajak mangsa yang merupakan seorang pelajar, berjumpa dengannya di stesen Kuala Lumpur Sentral kerana ingin memulangkan telefon bimbit wanita itu yang sebelum ini telah dirosakkan.

Semasa pertemuan tersebut, tertuduh secara tiba-tiba telah menarik dan memaksa wanita itu mengikutnya ke hotel berkenaan.

Setibanya di hotel tersebut, tertuduh telah bertindak ganas dengan menampar muka selain menanggalkan seluar dalam wanita itu dan kemudiannya menoreh kemaluan mangsa sehingga berdarah.

Tertuduh hanya membenarkan wanita itu keluar dari bilik hotel berkenaan pada pukul 6 petang keesokan harinya.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 29 Mac lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Asisten Superintenden (ASP) Nom Phot Prakdit mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada dua seksaan itu.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/lelaki-toreh-kemaluan-dipenjara-1.79826#sthash.ttgYb40w.dpuf

No comments: