Tuesday 14 April 2015

Lelaki keluar lokap bakar diri

Klang: Pelanggan di sebuah stesen minyak di Bandar Baru Klang, Bukit Raja, di sini, gempar apabila seorang lelaki bertindak membakar diri menggunakan petrol daripada sebuah kereta yang sedang mengisi minyak.

Dalam kejadian jam 1 pagi semalam, seorang lelaki yang sedang mengisi petrol meninggalkan kenderaannya dengan nozel masih di tempat minyak sementara isterinya di dalam kereta.

Bagaimanapun, sejurus meninggalkan kenderaannya untuk ke tandas, mangsa secara tiba-tiba mengambil nozel petrol berkenaan dan mencurahkan pada badan sebelum bertindak membakar diri.

Menurut sumber, mangsa baru saja dilepaskan dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan jam 8.30 malam kelmarin. Saksi yang dikenali sebagai Haniff berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Shah Alam dan singgah di stesen berkenaan untuk mengisi minyak. “Dari jauh saya nampak asal tebal dan mengesyaki ia adalah semburan asap menghalau nyamuk sebelum beberapa individu melarikan diri dalam keadaan cemas.

“Tanggapan saya meleset, apabila tiba di lokasi saya dapati seorang lelaki terbaring dengan api yang sedang membakar tubuhnya,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, pihaknya menerima laporan kejadian berkenaan jam 1.20 pagi dan ke lokasi kejadian namun mangsa sudah dibawa ke hospital.

“Kami meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak itu untuk siasatan lanjut selain melawat mangsa di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan berdasarkan kenyataan doktor, mangsa melecur 100 peratus. “Mangsa yang dikenali G Mogaventhan, 29, disahkan meninggal dunia jam 5.25 petang tadi (semalam) selepas menerima rawatan di Zon Merah HTAR,” katanya.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/43428#sthash.gEYsscYU.dpuf

No comments: