Friday 17 April 2015

Bapa miliki tiga anak gemuk tidak cukup wang beli makanan

NEW DELHI – Seorang bapa di sini mengalami kesempitan wang bagi membeli barangan keperluan makanan dan kos perubatan tiga orang anaknya yang mengalami masalah obesiti.

Bagi menangani masalah itu, bapa berkenaan, Rameshbhai Nandwana, 34, kini sanggup menjual buah pinggangnya bagi membiayai kos ketiga-tiga anaknya itu yang merupakan antara kanak-kanak tergemuk di dunia.

Ketiga-tiga anaknya, Yogita, 5, Anisha, 3, dan seorang lagi anak lelaki yang berusia 18 bulan, Harsh masing-masing kini mempunyai berat 48 kilogram (kg), 34kg dan 15kg.
 
Rameshbhai bercadang untuk menjual buah pinggangnya bagi membiayai kos rawatan anaknya yang gemuk.– AGENSI

Menurut Rameshbhai, jumlah makanan bagi seminggu yang diambil oleh anak-anaknya itu cukup untuk menyara dua buah keluarga selama sebulan iaitu sebanyak 10,000 Rupee (RM587).

"Bayangkan, Yogita dan Anisha mampu makan 18 keping capati, 12 biji pisang, 1 liter susu, enam peket kerepek, lima peket biskut dan dua mangkuk sup setiap hari," katanya.

Sejak tiga tahun lalu pula, Rameshbhai telah mengeluarkan hampir 50,000 Rupee (RM2,935) untuk perbelanjaan merawat kesihatan anak-anaknya yang obesiti itu, malah doktor menyarankan supaya mereka dirujuk kepada pakar.

"Saya tidak mampu kerana tiada pekerjaan tetap. Jadi, saya bercadang menjual buah pinggang untuk membiayai kos rawatan mereka," katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0417&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3XWx7FN7U

No comments: