Thursday 5 February 2015

Terbunuh akhirnya

Amman: Pengganas IS semalam dengan bangganya menunjukkan bagaimana mereka membunuh juruterbang tentera udara Jordan, Left Muath al-Kaseasbeh dengan membakar tawanan itu hidup-hidup. Melalui klip video yang disiarkan, Muath dilihat dibawa ke dalam sebuah sangkar besi sebelum dibakar.

Kematian Muath, 26, yang disahkan tentera Jordan menamatkan drama seminggu kemungkinan berlaku pertukaran untuknya dengan wanita pengebom berani mati al-Qaeda, Sajida al-Rishawi. Jurucakap tentera Mamdouh al-Ameri berkata, Jordan akan membalas perbuatan itu.“Kami akan melaksanakan hukuman dan dendam sebesar kehilangan dirasai rakyat kami,” katanya.

Berikutan kematian Muath, jurucakap kerajaan Jordan Mohammed al-Momani berkata, Sajida dan seorang lagi anggota al-Qaeda Ziad al-Karbouly digantung sampai mati. Muath juruterbang pertama terbabit dalam serangan udara diketuai Amerika Syarikat (AS) di Iraq dan Syria menjadi tawanan IS selepas pesawatnya terhempas pada Disember lalu.

Kematiannya yang ngeri mencetus kemarahan dan demonstrasi anti-IS di Jordan. Sejak seminggu lalu Jordan menawarkan bertukar tawanan, namun tidak dilaksanakan selepas IS gagal memberikan bukti juruterbang itu masih hidup. Media Jordan berkata, Muath dipercayai dibunuh seawal 3 Januari lalu, bererti Amman mungkin mengetahui dia sudah tidak dapat diselamatkan.

Dalam rakaman video selama 20 minit disiarkan IS itu, Muath - yang menunjukkan tanda-tanda dipukul termasuk matanya lebam - dilihat berdiri di dalam sangkar yang dicurahkan minyak di kelilingnya sebelum dinyalakan seorang lelaki bertopeng. Mereka kemudian membuang batu dan puing ke atas sangkar itu sebelum dilenyekkan menggunakan jentolak. Video itu yang turut mengugut orang lain yang dikatakan juruterbang Jordan, memaparkan logo al-Furqan, perkhidmatan media IS.

Sementara itu, ayah Muath, Safi Yousef al-Kaseasbeh menghadiri perjumpaan puaknya di Amman ketika menerima berita mengenai video berkenaan. Demonstrasi turut diadakan di kampung Muath di Ai yang melihat pejabat kerajaan tempatan dibakar. Polis antirusuhan terpaksa dipanggil mengawal keadaan. Pembunuhan Muath dipercayai bagi memberi tekanan supaya kerajaan Jordan berundur dari serangan ketenteraaan AS.

Tindakan Jordan menyertai kempen serangan terhadap orang Islam tidak disokong sepenuhnya rakyatnya, namun kini ada yang beranggapan pembunuhan kejam Muath mungkin meningkatkan kebencian terhadap kumpulan militan terbabit termasuk dalam kalangan penduduk Sunni di rantau itu. Sementara itu, Raja Abdullah II dan Presiden Barack Obama dalam pertemuan di Rumah Putih sependapat bahawa kematian Muath akan terus memperkuatkan usaha antarabangsa untuk menghapuskan IS.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/28642#sthash.RwJSnMfC.dpuf

No comments: