Portal berita Daily Mail melaporkan, jumlah tersebut turut melibatkan gaji selama dua bulan untuk semua kakitangan kerajaan termasuk askar, pelajar, dan pesara.

Selain itu, peruntukan itu turut menyediakan geran untuk persatuan profesional, kelab sukan, dan pendidikan.

Raja Salman dalam akaun Twitternya berkata; “Wahai rakyat. Kamu semua sepatutnya menerima lebih dan apa yang saya buat tidak akan dapat memenuhinya.’’

Pemerintah baharu Arab Saudi berusia 79 tahun itu ditabalkan pada bulan lepas selepas abangnya, Raja Abdullah meninggal dunia ketika berumur 90 tahun akibat radang paru-paru.

Pengagihan wang tersebut dilaporkan merupakan taktik yang sering digunakan pemerintah baharu negara ini bagi memenangi hati rakyat apabila mereka mula memegang tampuk pemerintahan.

Rakyat Arab Saudi yang gembira dengan hadiah tersebut dilaporkan membeli telefon bimbit, jam tangan mewah dan percutian.

Sejumlah lelaki turut dilaporkan menyimpan wang berkenaan bagi membolehkan mereka berkahwin buat kali pertama, kedua atau ketiga.