Friday 13 February 2015

AG perjelas kenapa dakwa Anwar Seksyen 377B

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disabitkan dan dihukum penjara lima tahun bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya, didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan berbanding Seksyen 377C bagi kesalahan lebih berat.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, Kanun Keseksaan memperuntukkan dua keadaan bagi seseorang boleh didakwa bagi meliwat; Seksyen 377B yang menetapkan "dengan atau tanpa kebenaran" bukannya intipati dan Seksyen 377C adalah perbuatan meliwat dilakukan tanpa kebenaran atau paksaan terhadap orang lain.

"Ciri penting lain adalah hukuman iaitu undang-undang mengenakan hukuman minimum lima tahun di bawah Seksyen 377C," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, seksyen 337B tidak menetapkan tempoh penjara minimun.

Beliau berkata Pendakwa Raya memilih untuk mendakwa Anwar di bawah Seksyen 337B berdasarkan budi bicara pihak pendakwaan seperti termaktub dalam Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

"Pendakwa Raya menggunakan budi bicara itu dengan mengambil kira fakta dan keadaan setiap kes dan pastinya bukan secara suka-suka," katanya.

Abdul Gani berkata, oleh itu, adalah tidak wajar bagi Presiden Majlis Peguam Christopher Leong untuk menyatakan Ketua Pembangkang itu sepatutnya lebih wajar didakwa mengikut Seksyen 377C.

"Dilihat seolah-olah Presiden Majlis Peguam mencadangkan supaya beliau (Anwar) didakwa mengikut Seksyen 377C bagi kesalahan lebih berat dan akan mendedahkan Anwar Ibrahim kepada hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun," katanya.

Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan mengekalkan penghakiman Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan di sebuah unit kondominium di Bukit Damansara pada 2008.

Peguam Negara dalam kenyataan itu turut menjelaskan persepsi pihak tertentu bahawa Anwar telah didakwa dan disabitkan bagi 'victimless offence' atau 'kesalahan tanpa mangsa' yang jelas tidak disokong.

"Mohd Saiful Bukhari Azlan ialah individu yang menderita. Beliau telah memberikan keterangan bersumpah di dalam mahkamah berhubung perbuatan yang dialaminya untuk direkodkan," katanya.
Berhubung kenapa Mohd Saiful tidak didakwa bagi bersubahat, Abdul Gani menjelaskan kes itu sama seperti kes rasuah, iaitu dalam kebanyakan kes rasuah, penerima didakwa manakala pemberi digunakan sebagai saksi terhadap penerima.

Beliau turut menafikan Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang digunakan untuk mendakwa Anwar, jarang digunakan.

Katanya berdasarkan statistik Jabatan Peguam Negara dan polis, sebanyak 171 kes telah didakwa mengikut seksyen itu dari 2010 hingga 1014, dengan 34 kes didakwa di bawahnya pada tahun lepas.
Sementara sebanyak 489 kes didakwa mengikut Seksyen 337C dalam tempoh lima tahun lepas.

Beliau berkata, Anwar telah diberikan hak untuk mendapat perbicaraan adil dan diberikan semua peluang untuk melaksanakan hak perlembagaannya di mahkamah sepanjang prosiding selama enam tahun setengah.

- Bernama/Sinar

No comments: